PRN Melaka: Datuk Ali Anak Jati DUN Sg Udang Pertama Kali Bertanding

Oleh Nurul Aisyah

SEJARAH tercipta buat Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang menjadi calon dan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini. Selama lebih 36 tahun terjun ke kancah politik, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka ini belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Kini beliau merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang bagi PRN Melaka kali ke-15 ini. Datuk Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara telah bergiat aktif dalam politik sejak 1985.

Beliau dilahirkan di Bertam juga bersekolah di Bertam. Selepas persempadanan semula, Bertam merupakan sebahagian daripada DUN Sungai udang. Ini bermakna, Datuk Ali merupakan anak jati Dun Sungai Udang.



Kerusi DUN Sungai Udang (N11) bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.

PN mempertaruhkan Dr Mohd Aleef Yusof manakala Hasmorni Tamby bertanding atas tiket PH dan Mejar Jeneral (B) Mohd Zahar Hasim mewakili Bebas.

Mohd Aleef, 35, bekas doktor perubatan di sebuah hospital swasta juga merupakan calon termuda di DUN Sungai Udang manakala Mohd Zahar, 63, adalah bekas pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat selama 40 tahun di ATM, dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Perisikan Strategik dan Perhubungan Antarabangsa.

Hasmorni, 46, pula merupakan Exco Wanita PKR Pusat dan Setiausaha Wanita Cabang PKR Masjid Tanah serta pernah bertanding di DUN Kuala Linggi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi kalah kepada penyandang Datuk Ismail Othman dengan majoriti 1,732 undi.



Untuk makluman, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Pusat Penamaan Calon DUN Sungai Udang Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz membuat pengumuman pencalonan itu di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Keris Laksamana Kompleks Penjara Sungai Udang sebaik waktu penerimaan borang pencalonan ditutup pada pukul 10 pagi ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Datuk Seri Idris Haron dari BN dengan majoriti 2,229 undi menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker