Ditindih Hantu Ketika Tidur. Ini Puncanya…

Sebaran :

Ditindih Hantu Ketika Tidur. Ini Puncanya…

Malam tadi aku kena tindih hantu..!! Tapi aku tak nampak hantu tu, cuma rasa badannya menghempap aku, terlalu berat. Aku nak bangun, tak boleh, aku menjerit, tak keluar suara, aku ingin membaca ayat suci al-Quran, tersekat di kerongkong, badan rasa seram sejuk, sakit pun ada juga. Tidak boleh bernafas dah. Namun aku kuatkan semangat juga, setelah lebih 3 minit, akhirnya dapat juga aku lepas daripada cengkaman syaitan itu..!!

Pengalaman di atas mungkin ramai yang mengalamainya kan? Kena tindih hantu di asrama sekolah, rumah baru, di tempat penginapan ketika bercuti dan banyak lagi. Perasaan takut mula menyelubungi, terus sahaja batalkan percutian, pindah ke bilik lain dan pindah rumah lagi!

Itulah kepercayaan kita sejak zaman berzaman, namun ia berbeza dengan Pengarah Pusat Gangguan Tidur di Pusat Pentadbiran Perubatan Veteran, Houston, Dr. Max Hirshkowitz melaporkan, situasi tersebut dikenali sebagai ‘lumpuh tidur’ atau ‘Old Hag’ yang terjadi semasa otak sedang mengalami peralihan fasa nyenyak, mimpi dan bangun.



Oleh itu, bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut, apakah betul kajian itu dan apakah betul tiada gangguan hantu ketika tidur, Pakar Perunding Psikiatri, Profesor Dr. Muhammad Najib Mohamad Alwi menegaskan, segala kajian tersebut adalah benar.

Menurutnya lagi, dalam tempoh tidur, setiap orang akan mengalami empat peringkat tidur dan peringkat kelima itu ialah peringkat yang paling penting, iaitu “Rapid Eye Movement (REM)’ iaitu saat lumpuh tidur itu berlaku di peringkat ini. Kesemua peringkat ini mengambil masa selama 90 minit.

“Jika tidur kita terlalu lama, seperti lapan jam, maka tahap tersebut akan berulang-ulang. Setiap tahap ini mempunyai gelombang yang bermula dengan gelombang theta di tahap yang pertama dan kedua, kemudian gelombang delta akan tercipta di tahap ketiga hingga tahap keempat.

“Tahap pertama dan kedua berlaku ketika proses tidur baru bermula, jantung mula perlahan dan suhu badan mula rendah. Di kala ini, bunyi perlahan masih boleh mengejutkan kita daripada tidur. Manakala ketika tahap tiga dan empat berlaku, tidur akan lebih nyenyak. Di dalam keadaan ini, mata kita sudah tidak nampak apa-apa walaupun kelopak mata dibuka. Bunyi yang kuat sahaja boleh mengejutkannya.”



Selepas selesai tahap keempat, maka setiap daripada kita akan mengalami tahap REM iaitu tahap terpenting sekali dalam proses tidur. Dalam tahap ini, tiga perkara yang akan berlaku iaitu aktiviti otak meningkat semula. Disebabkan itulah mimpi turut berlaku pada tahap REM.

Kemudiannya sistem badan lain meningkat dan terakhir ialah aktiviti otot dilemahkan. Justeru, perbuatan ditindih seperti yang dialami oleh kebanyakkan orang itu terjadi di tahap ini yang mana aktiviti otak cergas tetapi otot pula cacat.”

Dr. Muhammad Najib juga menjawab persoalan yang berlegar di minda masyarakat, iaitu kenapa ‘hantu’ yang dilihat ketika ditindih, bukan benda atau makhluk lain yang nampak baik, seperti bunian, kawan-kawan atau orang yang kita sayang.

Jelasnya manusia dicipta untuk mempertahankan diri dalam keadaan yang terdedah pada bahaya. Jadi, sebenarnya ‘hantu’ yang kelihatan ketika ditindih itu itu ialah apa yang otak kita tafsirkan sebagai ‘ancaman’ bagi membolehkan kita mempertahankan diri.



Tetapi, masalahnya, otot pula dalam keadaan lemah, jadi ketegangan yang dirasa, perit, jerih, sakit, takut, seram dan sebagainya adalah refleksi diri kepada keadaan yang tidak dapat dikawal kerana otot telah lumpuh. Meskipun berlaku selama beberapa minit sahaja, tetapi orang yang mengalaminya merasakan seakan begitu lama dan setelah sedar, peluh bercucuran seakan watak adi wira baru selesai berperang dengan si penjahat yang ingin menakluki bumi.

Hanya kerana letih

Tegas Dr. Muhammad Najib lagi, lumpuh tidur ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor termasuk tekanan dan pola tidur tidak teratur. Lingkungan kerja juga mempengaruhi keadaan ini seperti bekerja syifsehingga kekurangan tidur atau tidur tidak berlaku secara normal. Apabila berlakunya keadaan ini, maka ketika tidur, empat peringkat itu tidak terjadi disebabkan keletihan, peringkat tidur akan melompat terus ke tahap REM, dan kerana itulah berlakunya lumpuh tidur.

“Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, setiap daripada individu yang mengalami lumpuh tidur ini perlu melihat kembali apakah puncanya. Jika puncanya tidak cukup tidur, cuba cukupkan lapan hingga 10 jam sehari. Kalau pola tidur tidak teratur, cuba rangka atau jadualkan kembali masa tidur agar lebih teratur dan kembali pada normal.

“Andai kata berlaku sekali atau dua sahaja dalam hidup seseorang, itu adalah normal dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Namun, jika berlaku terlalu kerap, seperti seminggu dua tiga kali kena tindih, perlu mendapatkan rawatan di hospital. Ini kerana, menurut perubatan, sindrom boleh bertukar menjadi penyakit jika dibiarkan berlanjutan, dan ada rawatan disediakan untuk sindrom ‘old hag’ ini.”

Dr. Muhammad Najib juga mengingatkan tidak mengambil mudah perkara ini jika kekerapan ditindih itu adalah tinggi kerana ia boleh menyebabkan berlakunya penyakit yang dipanggil ‘Nacolepsy’. Nacolepsy adalah penyakit tidur secara tiba-tiba tanpa ada tanda-tanda mengantuk.

“Seperti contoh, seseorang yang menghidap penyakit ini tengah berucap di hadapan ribuan orang, tiba-tiba ia jatuh terjelepuk. Kawannya datang kejutkan, dia sedar. Rupa-rupanya dia tertidur sendiri. Itulah, sampai satu tahap boleh jadi bagitu sekali.”

Namun, sebagai orang beriman, yang mempercayai kewujudan alam ghaib dan makhluk lain selain manusia, Dr. Muhammad Najib tidak menolak memang betul yang mengganggu itu adalah makhluk halus lain yang mengganggu. Oleh itu, dia menyarankan kepada orang ramai agar membaca doa dan ayat al-Quran serta mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum tidur, agar terhindar daripada gangguan syaitan yang direjam.

Tambah Dr. Muhammad Najib lagi, fenomena ditindih ini bukan sahaja popular di negara kita, tetapi tersebar di merata dunia mengikut kepercayaan masing-masing. Mungkin kita akan mengaitkan ditindih ini oleh ‘hantu raya’, tetapi hantu-hantu lain juga wujud di negara-negara maju dan beberapa negara lain. Wallahu a’lam Utv

Ditindih Hantu Ketika Tidur. Ini Puncanya…


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Perangai kau tu baik sangat ke? – Diana Danielle


Sebaran :

Leave a Reply