Bertemu sendiri mendengar rintihan atlet : Syed Saddiq perlu belajar daripada TMJ

Sebelum ini kecoh tentang penarikan diri trio memanah compound yang dikatakan berpunca daripada faktor pemotongan elaun kepada RM500 sahaja, dengan alasan status mereka ialah atlet separuh masa.

Tetapi, beberapa hari lalu pula kecoh apabila seorang atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin yang “menyekolahkan” Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di media sosialnya.

Atlet tersebut mempersoalkan tindakan Syed Saddiq menamatkan kontrak jurulatihnya serta-merta. Namun, luahan atlet tersebut mendapat reaksi negatif Syed Saddiq.

Syed Saddiq yang tidak berpuas hati dengan situasi itu, membalas kenyataan atlet tersebut dengan berkata, beliau kesal atlet itu menggunakan media sosial sebagai medium luahan perasaan.



Malah, Syed Saddiq menasihatkan atlet tersebut untuk bertemu dengannya jika tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan dan bukannya meluahkan kekecewaan di media sosial.

Tetapi, berbeza dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil inisiatif sendiri untuk berjumpa dengan Irfan dan mendengar permasalahan sebenar dihadapinya.

Saya yakin dan pasti TMJ melakukan tindakan tersebut dengan ikhlas kerana Tunku pernah dan ada pengalaman tentang selok-belok urus tadbir sukan.

Jadi, sudah tentu Tunku sedar dan faham apa sahaja jenis sukan memerlukan sumber kewangan besar dan kukuh bagi memastikan segala proses berjalan dengan lancar.



Jadi, jika kita lihat, inilah contoh seorang pemimpin bijak dan berwibawa kerana berani tampil ke depan untuk mendengar semua rungutan tanpa mengira darjat mahupun pangkat.

Sepatutnya, apabila orang bawahan mempunyai masalah, bukan sekadar membalas kenyataan, tetapi perlu mendekati mereka dan mendengar sendiri segala masalah yang dihadapinya.

Apa salahnya Syed Saddiq sebagai menteri belia dan sukan mengambil inisiatif turun pandang berjumpa dan meluangkan masa dengan atlet negara untuk merungkai segala permasalahan yang timbul. Di mana jika dengar sejak akhir-akhir ini pun, banyak isu yang terpalit dengan atlet negara, termasuk masalah elaun atlet negara.

Lagipun, Syed Saddiq sudah menjanjikan bulan dan bintang kepada mereka sejak berada dalam kerajaan. Jadi, inilah masanya untuk Syed Saddiq menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya dan jika boleh kurangkan berpolitik, lebihkan fokus kepada industri sukan negara agar nama Malaysia terus diharumkan di persada dunia.



Malah, Syed Saddiq sebagai menteri juga perlu adil dan bijak menguruskan belanjawan melibatkan sukan elektronik dan sukan biasa. Ini penting untuk memastikan perbelanjaan atlet negara sentiasa mencukupi dari semasa ke semasa.

Jadi, jangan kerana ego dan isu kecil seperti ini kita kehilangan aset besar negara. Diharapkan masalah ini dapat ditangani sebaiknya bagi memastikan kebajikan atlet terus dijaga rapi.

Akhir sekali, saya ingin menasihatkan Syed Saddiq belajarlah daripada TMJ, jangan hanya tahu tunjuk pandai, malu apa kalau kita belajar sesuatu yang baik?

Dhia Hani ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker