Rakyat berhak pecat wakil rakyat
PADA 9 Mei 2018, hampir 85 peratus pengundi di Melaka keluar mengundi. Kali ini jangan terkejut jika kadar pengundi jatuh sekitar 70 peratus.
Kejatuhan kadar mengundi itu bukanlah penyakit tetapi simptom untuk penyakit yang lebih besar – kegagalan kita memperkasakan demokrasi dan mempertuankan pengundi ketika wabak Covid-19 serta kemelut politik.
Pandemik boleh menjatuhkan kadar mengundi dari dua segi. Pertama, motivasi untuk mengundi mungkin turun kerana takut mendedahkan diri ke dalam barisan pengundi yang panjang. Kedua, sekatan berkempen mungkin mengurangkan lagi minat pengundi tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tidak dijangka ini.
Kesan Covid-19 sebenarnya boleh dikurangkan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersikap proaktif dan inovatif bagi merancang perjalanan pilihan raya umum (PRU) atau PRN di bawah norma baharu.
Pertama, jika tempoh mengundi dipanjangkan kepada dua atau tiga hari, sudah tentu kesesakan pengundi boleh diturunkan kepada separuh atau sepertiga.
Kedua, kemudahan untuk mengundi jarak jauh seharusnya diperkenalkan supaya pengundi yang berada di luar kawasan tidak perlu balik ke kampung untuk mengundi. Isu kedua ini penting untuk Sarawak yang bakal menghadapi pilihan raya.
Ketiga, dengan pengharaman kempen fizikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), maka SPR mesti mengguna kuasanya di bawah Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan kerjasama RTM bagi memberikan ruang publisiti untuk semua calon di 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka selepas hari penamaan dan menganjurkan debat calon Ketua Menteri.
Kesan pandemik menjadi kecil jika dibandingkan dengan kemelut politik yang merebak seperti wabak.
Rakyat tertanya-tanya apa gunanya mengundi jika keputusan mengundi mungkin bertahan beberapa bulan dan bukan lima tahun? Siapa boleh memberi jaminan bahawa PRN ke-16 tidak akan berlaku lagi pada 2022 atau 2023? Penawarnya kali ini bukan di tangan SPR tetapi di tangan parti yang bertanding.
Adakah mereka sanggup bertanding sihat secara budiman dan menjamin tak kira siapa menang siapa kalah, stabiliti dan akauntabiliti politik akan menjelma selepas PRN? Sanggupkah parti-parti berjanji dan berpakat untuk meminda Perlembagaan Negeri serta meluluskan satu enakmen yang membenarkan rakyat memecat wakil rakyat yang melompat parti atau gabungan?
Wakil rakyat boleh tinggalkan atau dipecat parti tetapi sebagai bos dan pembayar gaji wakil rakyat, rakyat berhak untuk memecat wakil rakyat kalau dia sanggup menggadaikan mandat diberikan untuk kepentingan sendiri.
Sanggupkah parti-parti berjanji dan berpakat untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi memperkenalkan mekanisme Undi Tidak Percaya Secara Membina (Constructive Vote of No Confidence, CVNC) supaya seseorang Ketua Menteri hanya dapat dijatuhkan jika usul tidak percaya yang mesti mengandungi nama Ketua Menteri baharu diluluskan dengan undi majoriti mudah?
Jika kita ada CVNC di Persekutuan, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan jatuh selagi musuhnya tidak dapat mencapai persetujuan dalam kalangan mereka siapa penggantinya.
Jika kita ada CVNC di Melaka, maka Ketua Menteri tidak jatuh selagi musuhnya dapat bermuafakat atas pengganti dan jika penggantinya dapat mencari majoriti, maka kerajaan bertukar tangan tanpa PRN.
Andai mereka sanggup mengiktiraf pengundi sebagai tuan mereka yang memberikan kerja dan membayar gaji, susahkah untuk mereka menjanjikan kestabilan dan akauntabiliti politik selepas PRU15?
Sudah masanya kita menuntut parti-parti politik untuk bersaing secara sihat dan profesional pada pilihan raya supaya tak kiralah siapa yang menang, rakyat sebagai tuan kepada mereka pasti menang.
*Prof Wong Chin Huat ([email protected]) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Rakyat berhak pecat wakil rakyat
Baca Artikel Menarik :
- Dedahkan mereka, Najib mahu SPRM dapatkan senarai terima sogokan
- Mereka panggil saya ‘Padayappa’ di Baling – Azeez
- Mahathir disenarai pemimpin no. 6 terkaya di dunia dengan kekayaan RM188 billion
- Semarakkan Perjuangan, Waspada Pihak Nak ‘Bunuh’ UMNO
- Bertengkar semasa goreng kentang, suami celup muka isteri dalam minyak panas
- “Ketika Sungai Furat Kering Akan Ternampak Perbendaharaan Emas, Janganlah Ambil…”–Tanda-Tanda Kiamat Sudah Hampir
- Ustaz lawan hantu air tular
- Lawak lucah, Shuk Sahar suruh tunggu samannya
- Five Guys Kini Dibuka, Harga Burger Bermula RM35
- Baling kongsi pengalaman cakap Tamil dengan gajah, Jelutong ‘melompat naik hantu’ [VIDEO]
- Najib saman Tommy Thomas, kerajaan atas ‘pendakwaan salah’
Layari Laman Facebook MYKMU,NET
You must be logged in to post a comment.