Sambutan Maulidur Rasul Perbuatan Bidaah? Ketahuilah Apa Kata Fatwa Peringkat Antarabangsa Ini

Sambutan Maulidur Rasul Perbuatan Bidaah? Ketahuilah Apa Kata Fatwa Peringkat Antarabangsa Ini

SETIAP tahun umat Islam menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal. Antara persoalan yang masih timbul berkaitan dengan Maulidur Rasul ialah Nabi SAW dan para sahabat tidak menyambutnya dan kenapa kita sambut?

Selain itu, tarikh 12 Rabiulawal bukan tarikh sebenar bahkan ia adalah tarikh wafat Nabi SAW, maka seolah-olah kita bagaikan meraikan hari kematian Nabi SAW dan sambut Maulidur Rasul adalah bidaah.

Terdapat beberapa fatwa di peringkat antarabangsa dan di Malaysia berkenaan dengan Maulidur Rasul. Antaranya, menurut Institusi Fatwa Negara Mesir yang dikenali sebagai Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, hukum sambutan Maulidur Rasul adalah baik dan tiada larangan di sisi syarak.

Meskipun sambutan tersebut tidak pernah dilakukan oleh golongan salaf soleh, ia dianggap amalan yang baik berdasarkan niat baik untuk mengumpul orang-orang soleh, aktiviti berselawat kepada baginda SAW dan memberi makan kepada orang yang fakir dan miskin.

Sambutan tersebut juga tidak dianggap bidaah atau haram kerana bidaah yang diharamkan adalah apabila amalan tersebut bercanggah dengan al-Quran, sunnah, athar dan ijmak atau dengan kata lain al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas. Jika ia bercangggah, maka barulah dianggap bidaah dhalalah (sesat).

Di samping itu, Institusi Fatwa Negara Jordan yang dikenali Dairah al-Ifta’ al-‘Am al-Mamlakah al-Urduniyyah al-Hashimiyyah menyatakan bahawa hukum sambutan Maulidur Rasul adalah mustahab (sunat) dan hasanun (baik).

915715

Maulid Nabi dapat memupuk perasaan cinta dan kasih kepada junjungan besar rasulullah SAW yang sentiasa menyayagi dan merindui umatnya.

Hukum pengharaman dengan hujah Nabi SAW dan para sahabat tidak buat (al-tarku) adalah kaedah yang tidak digunakan oleh para ulama.

Perkara yang tidak dibuat oleh mereka belum tentu hukumnya haram. Maka, tidak boleh menggunakan kaedah pengharaman seperti ini untuk mengharamkan sambutan Maulid Rasul.

Fatwa tersebut juga membangkitkan tuduhan sambutan tersebut sebenarnya sambutan tarikh kematian baginda SAW kerana 12 Rabiul Awal juga adalah tarikh kewafatannya.

Ini dakwaan yang salah kerana tarikh kelahiran dan kematian adalah perkara yang tidak disepakati dalam kalangan ahli sejarah.

Pemilihan 12 Rabiulawal sebagai tarikh kelahiran Nabi SAW adalah berdasarkan pandangan ahli sejarah sendiri. Jika benar tarikh kelahiran dan kematian adalah sama, ia tetap dibenarkan kerana niat sambutan tersebut adalah untuk menyatakan kegembiraan dengan Nabi SAW bukan niat untuk menyambut kematiannya.

Selain itu, Majlis Fatwa Negara Palestin yang dikenali sebagai al-Majlis al-Islami li al-Ifta’ menyatakan bahawa jumhur (majoriti) ulama memberikan hukum sunat (istihbab) ke atas aktiviti menghidupkan hari kelahiran Nabi SAW dengan amalan berzikir, berselawat, memuji-muji dan syukur asalkan tiada unsur bidaah, khurafat, percampuran lelaki dan wanita dan seumpamanya.

Fatwa tersebut juga menyentuh tentang kaedah yang salah dalam mengharamkan Maulidur Rasul iaitu Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak menyambut Maulidur Rasul maka hukumnya adalah haram.

915710

Perasaan cinta terhadap Nabi perlu dipupuk sejak kecil.

Ini kaedah yang salah kerana terdapat kaedah usul sebenar yang sewajarnya digunakan, iaitu ‘la yuhtajju bi al-tarki’ yang merujuk kepada sesuatu yang tidak dibuat oleh Nabi SAW bukanlah hujah menunjukkan perkara tersebut adalah haram.

Manakala Institusi Fatwa di Lubnan yang dikenali Dar al-Fatwa fi al-Jumhuriyyah al-Lubnaniyyah menyatakan peringatan Maulid Nabi SAW merupakan peringatan yang agung. Ia mengandungi makna luhur dalam berkasih sayang, cinta, moral dan nilai-nilai kemanusiaan.

Di Malaysia juga terdapat fatwa-fatwa berkaitan Maulid Nabi SAW. Dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 11 Disember 2016 bertajuk ‘Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul’, disimpulkan bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bidaah hasanah.

Namun, sambutannya mesti mengandungi pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah, tiada percampuran lelaki dan perempuan, menutup aurat dan tiada unsur maksiat.

Di samping itu, terdapat juga fatwa berkenaan larangan membidaahkan sambutan Maulid Nabi SAW. Fatwa tersebut telah diputuskan antaranya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 25 Mei 2012, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 22 April 2015, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 4 Januari 2016, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang bersidang pada 20 Mac 2016, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 31 Mei 2016 dan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 23-24 Mei 2017.

Sebagai contoh, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman, berkenaan Fatwa Mengenai Pembidaahan kepada Amalan-amalan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ), dinyatakan terlebih dahulu berkenaan pegangan ASWJ yang termaktub dalam perkara 33A, Undang-undang Tubuh Negeri Kedah Tahun 1959. Fatwa ini memperincikan aliran ASWJ yang dimaksudkan tersebut iaitu;

553 (1)

Umat Isam sangat dianjurkan untuk menggunakan peluang sambutan ini untuk mendedahkan pelbagai kebaikan Nabi SAW untuk dicontohi.

(a) dari segi akidah, berpandukan kepada manhaj Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi;

(b) dari segi syariat, berpandukan kepad mazhab Imam al-Syafie, manakala tiga mazhab yang muktabar iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu; dan

(c) dari segi tasawuf, hendaklah berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali, manakala aliran tasawwuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ia tidak bertentangan aliran ASWJ.

Menurut fatwa tersebut, ciri-ciri amalan yang bertentangan dengan ajaran ASWJ ialah membidaahkan pelbagai amalan dan ajaran ASWJ yang bersifat khilafiyyah (boleh berbeza pandangan).

Antara amalan yang dilarang untuk dibidaahkan ialah majlis perarakan Maulid Rasul, majlis sambutan memperingati Maulid Rasul, berzanji, burdah dan marhaban dan selawat yang tidak warid dalam majlis Maulid Rasul.

Fatwa yang telah diwartakan pada 10 November 2016 ini memutuskan bahawa, mana-mana orang Islam yang melakukan perkara tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Kedah Darul Aman.

Kesimpulannya fatwa-fatwa antarabangsa dan di Malaysia menyatakan bahawa hukum sambutan Maulidur Rasul adalah dibenarkan dan larangan membidaahkannya.

Justeru, umat Islam sangat dianjurkan untuk menggunakan peluang sambutan ini untuk mendedahkan pelbagai kebaikan Nabi SAW untuk dicontohi.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sambutan Maulidur Rasul Perbuatan Bidaah? Ketahuilah Apa Kata Fatwa Peringkat Antarabangsa Ini


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Khairy mengaku guna 4 jin

Zul Yahya Tampil Bersuara Isu KJ Nak Susahkan AntiVaksin – ‘Mereka Bukan Penjenayah Atau Pengganas’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker