PM ajak Keluarga Malaysia berganding bahu pulihkan negara

KUALA KUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak rakyat berganding bahu sebagai Keluarga Malaysia untuk memulihkan negara, selain menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini.

Perdana Menteri berkata, apa jua perbezaan perlu dijadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan dijadikan sebagai sumber kekuatan.

“Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.



“Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat atau pemimpin masyarakat, agama atau politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul 2021M/1443H yang disiarkan secara langsung di RTM, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kemuliaan umat Islam, malah jatuh bangun sesebuah bangsa dan negara terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya.

Sebagai contoh katanya, Rasulullah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai suku kaum yang tinggal berhampiran Madinah di wilayah utara dan selatan untuk meningkatkan kesefahaman serta memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran, selain menghindar kekacauan dan pertembungan kuasa.



“Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan, menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti”, menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, dan insani.

Katanya, semua nilai itu selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, selain 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

“Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, yang mana perpaduan dan integrasi nasional sudah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul.



“Ia dilakukan melalui penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul kepada insan yang banyak berbakti kepada masyarakat merentasi agama dan bangsa.

“Pengiktirafan ini secara langsung menyumbang ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling menghormati, selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berharap, sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dapat menghasilkan keinsafan dan kecintaan umat Islam negara ini kepada Rasulullah, dengan menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia.

 




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Teladani Inisiatif, Strategi Rasulullah Sebagai Panduan Pentadbiran Negara -PM



 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker