Cinta umat kepada Nabi Muhammad

Iman tidak sempurna dalam hati sehinggalah kita mengasihi Nabi SAW dengan kasih sayang mengatasi segala-galanya.

Tidak cukup dengan ucapan rindu kepada nabi atau menitip tulisan rindu di atas kertas tetapi ia memerlukan amalan yang membuktikan ke arah rasa kasih dan sayang kepada Nabi SAW.

Firman Allah SWT: Katakanlah wahai Muhammad: “jika bapa kamu, anak kamu, saudara kamu, isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan rugi dan rumah kediaman yang kamu sukai; jika semuanya itu menjadi perkara yang kamu lebih cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad untuk menegakkan agama-Nya. Maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan perintah azabnya dan Allah tidak akan memberi hidayah kepada golongan yang fasik.”(al-Taubah: 24)

Al-Qadhi ‘Iyadh berkata, ayat ini cukup jelas menunjukkan kepada dalil dan peringatan wajib sayang dan kasih kepada Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya jika tidak ada perasaan tersebut maka ia telah lakukan perkara yang amat bahaya kerana janji Allah di akhir ayat tersebut ialah mereka adalah golongan fasik.

Sabda Nabi SAW: Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia kasih kepada ku lebih daripada kasih kepada anaknya, ayahnya dan seluruh manusia. (Riwayat Muslim)

Allah SWT tidak meredai sesiapa pun mendahulukan kasih sayang kepada kaum keluarga dan harta benda lebih dari sayang kepada Nabi Muhammad SAW.

Realiti perkara ini boleh dilihat kepada generasi sahabat r.a. Sebagai contoh Zaid Ibn al-Dithinnah yang ditawan dan dihukum bunuh oleh musyrikin Mekah. Semasa hukuman hampir dijalankan, ditanya kepadanya adakah kamu suka jika tempat kamu sekarang ini digantikan dengan Muhammad dan kamu berada bersama keluarga bersuka ria?

Zaid ibn al-Dithinnah r.a menjawab dengan tegas: “Demi Allah, aku sekali-kali tidak suka Muhammad terkena duri di tempat baginda berada sekarang, sedangkan aku bersama dengan keluarga ku”.

Mendengar perkataan tersebut, Abu Sufyan lantas berkata: “Tidak pernah aku melihat seseorang kasih dan sayang kepada seseorang seperti kasihnya sahabat Muhammad kepada Muhammad”.

Sirah meriwayatkan kejadian peperangan Uhud pada tahun tiga hijrah yang menyaksikan 70 orang umat Islam mati syahid. Termasuklah kisah seorang wanita yang mana suami, ayah dan saudaranya syahid.

Ketika dimaklumkan kepadanya bahawa suami, ayah dan saudaranya telah syahid tidak nampak pun rasa kesedihan tetapi perempuan tersebut lebih mementingkan keselamatan Nabi SAW.

Beliau bertanya: “Bagaimanakah keadaan Nabi SAW?” Selepas diberitahu kepadanya: “Nabi SAW dalam keadaan sihat alhamdulillah” hatinya jadi tenang. Kasih dan sayang kepada Nabi SAW adalah punca mendapat kemanisan beriman.

Sabda Nabi SAW: Tiga perkara yang sesiapa ada dalam jiwanya maka dia akan mendapat kemanisan iman; kasih kepada Allah dan rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, kasih kepada seseorang hanya kerana Allah dan benci kembali kepada kekufuran sebagaimana benci dicampak ke dalam api. (Riwayat Bukhari)

Maksud kasih dan sayang kepada Nabi SAW ialah tunduk patuh kepada perkara yang diarah oleh Nabi SAW dan menjauhi perkara yang dilarangnya. Ini termasuk perkara yang melibatkan kelebihan dan kebaikan.

Sentiasa istiqamah melakukan perkara tersebut sama ada dalam masa senang atau susah, di waktu ditimpa musibah, ujian, gembira atau dukacita. Semua itu kita dahulukan kasih dan sayang kepada Nabi SAW.

Makna istilah sahabat r.a ialah mereka yang hidup sezaman dengan nabi SAW dan beriman kepada Nabi SAW. Mereka telah mengikuti Nabi SAW dalam semua perbuatan Nabi dan percakapan.

Mereka juga mengajar para tabien untuk lakukan sunnah Nabi SAW.

Kisah Umar Ibn al-Khattab r.a ketika hendak mengucup Hajar Aswad, beliau berkata: “Demi Allah, sesungguhnya aku akan kucup kamu. Sesungguhnya aku tahu bahawa kamu adalah batu yang tidak memberi mudharat dan tidak memberi manfaat. Kalaulah aku tidak melihat Rasulullah SAW mengucup kamu nescaya aku tidak akan mengucup kamu”.

Penyataan ini sebenarnya merujuk kepada kuatnya berpegang dalam mengikuti sunnah Nabi SAW. Di samping itu, ia juga untuk mengajar manusia keseluruhannya bermuamalah dengan sunnah Nabi SAW.

Sahabat r.a juga amat memuliakan Nabi SAW sehinggalah mereka merendahkan pandangan apabila bertemu Nabi SAW, tidak mampu mengangkat pandangan kecuali Abu Bakar al-Siddiq dan Umar al-Khattab.

Para sahabat r.a juga amat menjaga Baginda SAW. Satu ketika datang Urwah Ibn Mas’ud iaitu bapa saudara kepada Al-Mughhirah Ibn Syu’bah untuk berbincang dengan Nabi SAW.

Kelakuan Urwah amat tidak beradab dengan memegang janggut Nabi SAW. Melihat keadaan tersebut al-Mughirah menghalang perbuatan tersebut dengan mengalih tangan bapa saudaranya Urwah dengan pedang yang terhunus.

Bukti sayang kepada Nabi SAW adalah dengan cara memuliakan nabi dan taat kepadanya. Mengagungkan syariat yang dibawa oleh Nabi SAW dengan cara yang betul tanpa berlebihan atau mengabaikan. Sayang kepada Nabi SAW adalah tanda sayang kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: Katakanlah wahai Muhammad: Jika benar kamu kasih kepada Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasih kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (ali-’Imran: 31)

Terdapat kisah yang menyatakan bahawa Abu Lahab diringankan azab setiap Isnin kerana gembira dengan kelahiran Nabi SAW dan memerdekakan hambanya Thuwaibah.

Syamsuddin Ibn Nasruddin al-Dimasyqi membuat kesimpulan kisah ini dengan berkata: Jika seorang kafir yang telah sabit kehinaan dengan diucap celaka kedua tangannya dan kekal dalam neraka, namun setiap Isnin diringankan azab kerana gembira dengan kelahiran Ahmad. Maka bagaimana dengan seorang hamba yang sepanjang masanya gembira dengan Nabi Muhammad dan meninggal dunia dalam keadaan beriman?

Cerita ini bersumber dari mimpi Abbas Ibn Abdul Mutalib dan diriwayatkan Urwah Ibn al-Zubair. Para ulama telah menjawab isu ini dengan berkata, orang bukan Islam tidak diringankan kepada mereka azab dengan sebab kekufuran.

Ini kerana firman Allah SWT: Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka jahanam. Mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati dan terlepas dari seksa. Dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka. (Fatir: 36)

Dan firman Allah SWT: Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal yang mereka pandang baik. Lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (Furqan: 23)

Akhirnya marilah sama-sama kita tambah kasih dan sayang kepada Nabi SAW dengan perbanyakkan selawat dan salam keatasnya.
Selain itu dalamilah juga ilmu berkaitan sunnah Nabi SAW serta beramal dengannya sehingga akhirnya kita dihimpun bersama baginda SAW di akhirat.

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.

Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Zul Yahya Tampil Bersuara Isu KJ Nak Susahkan AntiVaksin – ‘Mereka Bukan Penjenayah Atau Pengganas’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker