Tiada MN, peluang kerjasama UMNO-Pas masih ada
SHAH ALAM – UMNO dan Pas masih boleh mewujudkan satu kerjasama politik tidak rasmi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang sekalipun ruang kerjasama rasmi melalui Muafakat Nasional (MN) sudah tertutup.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, secara teknikal, MN bukan satu pembentukan kerjasama politik di antara Pas dan UMNO yang dibuat secara formal apabila ia hanyalah satu piagam politik yang tidak didaftarkan melalui Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) sebagaimana Barisan Nasional (BN).
Tambah beliau, sekalipun UMNO berpendirian kerjasama MN tidak akan diteruskan pada PRN Melaka kelak, UMNO dan Pas, bahkan bersama Bersatu sekalipun, masih boleh meneroka pelbagai bentuk persefahaman lain secara tidak rasmi sesama mereka bagi memastikan tiada pertembungan berlaku berlaku antara parti-parti Melayu.
“Sama ada kerjasama antara Pas-UMNO atau dengan parti-parti Melayu lain boleh dimeterai secara rasmi atau tidak, bagi saya bentuk kerjasama itu tiada masalah kerana parti-parti Melayu tidak boleh berpecah-belah pada PRN akan datang.
“Paling penting adalah kesungguhan kepimpinan parti-parti Melayu ini untuk menguruskan bentuk persefahaman politik dimeterai kerana secara teknikal, rakyat di peringkat akar umbi mengharapkan kerjasama parti-parti Melayu untuk mempertahankan kerajaan Melayu di Melaka.
“Saya difahamkan dalam satu perjumpaan di antara Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan kepimpinan UMNO Melaka minggu lepas, beliau menekankan keperluan untuk mengadakan proses perundingan dengan parti-parti lain terutama Pas.
“Memandangkan tiada satu ketetapan muktamad dibuat, saya yakin perkara ini akan dibincangkan sebaiknya oleh kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Melaka,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas pada PRN Melaka yang akan datang.
Pendirian itu dikemukakan Ahmad Zahid dalam sebuah program bual bicara pada malam Rabu bersama pengacara Rafi Awang Kechik susulan moderator itu menanyakan sama ada MN bakal bertanding pada pilihan raya negeri itu kelak.
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau tidak nampak ada ‘cahaya terang’ untuk kerjasama MN bersama Pas direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil (PRK) terdahulu susulan MN itu tidak pernah didaftarkan.
Pada 4 Oktober lalu, tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan diketuai ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyebabkan kerajaan Melaka jatuh dengan DUN negeri itu kemudiannya terbubar.
Sebelum terbubarnya DUN Melaka, komposisi kerusi DUN bagi blok kerajaan diketuai bersama antara UMNO dan Bersatu adalah 13 kerusi, manakala blok pembangkang diterajui DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sebanyak 11 kerusi.
Dalam pada itu, Khaidhirah yang juga Ketua Puteri UMNO bahagian Jasin menegaskan sudah tiba masanya untuk UMNO menampilkan lebih banyak calon baharu yang lebih berketrampilan dan segar bagi mengembalikan keyakinan pengundi Melayu di Melaka terhadap parti itu.
Jelas beliau, UMNO perlu mengambil iktibar kekalahan parti itu di Melaka pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di mana faktor kekalahan bukan semata-mata berkisar isu nasional, sebaliknya disebabkan kegagalan parti menonjolkan barisan kepimpinan baharu lebih segar.
“Isu kemelut politik di Melaka ketika ini menjadi bukti betapa pentingnya usaha peremajaan parti perlu direalisasikan bagi mengembalikan keyakinan pengundi terutama pengundi muda yang sudah muak dengan karenah ahli politik Malaysia yang seolah-olah tidak berprinsip.
“UMNO kena menampilkan lebih banyak calon baharu yang lebih berintegriti kerana kita tidak mahu isu defisit kepercayaan terhadap ahli politik akan memakan diri sendiri,” katanya.
Tiada MN, peluang kerjasama UMNO-Pas masih ada
Baca Artikel Menarik :
- Kami minum teh tarik saja – Tok Mat
- Pemimpin Dap setuju mungkin kehilangan Pulau Batu Puteh kerana Mahathir
- Video erotik Syahrini disebar bapa angkat
- CEO LHDN letak jawatan?
- Jelutong pun akan duduk – Apek Cina
- Harta karun di Pulau Nangka hilang?
- Saya tidak akan guna watikah calon PRU untuk balas dendam – Zahid
- Pertembungan heavyweight di Parlimen Tambun
- Meninggal dunia selepas dos kedua vaksin campuran
- Bersatu enggan bayar Haniff Khatri yuran guamannya
- Ribut Solar Landa Bumi, Orang Ramai Diminta Tidak Panik
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.