Waran tangkap: Petronas cabar Sudan

Sebaran :

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan mencabar waran tangkap yang dikeluarkan kerajaan peralihan Sudan terhadap pengurus negaranya.

Dalam kenyataan ringkas kepada Utusan Malaysia, Petronas berkata, syarikat usaha samanya di Sudan, PetroDar Operating Company (PDOC) sedang mendapatkan bantuan guaman untuk membatalkan waran tangkap yang dianggap tidak sah itu.

Menurut Petronas, waran tangkap tersebut berkaitan dakwaan kesatuan perdagangan yang dibuat terhadap PDOC dan peguam lantikan PDOC sedang dalam proses membatalkannya.

“Perkara ini tiada kaitan dengan prosiding undang-undang yang sedang berjalan untuk mendapatkan semula hak Petronas terhadap tanah dan Kompleks Petronas di Khartoum, yang mana Petronas telah memfailkan permohonan untuk proses timbang tara di Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian Pertikaian (ICSID).

“Memandangkan proses undang-undang sudah bermula, Petronas tidak dapat memberikan maklumat lanjut berkenaan kedua-dua perkara,” katanya.

Portal Daily Sabah yang berpangkalan di Turki sebelum ini mendedahkan kerajaan peralihan Sudan mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus negara Petronas di negara itu.

Laporan itu yang memetik sumber berkata, langkah itu dilakukan susulan ketegangan kedua-dua pihak selepas pemerintah Sudan merampas aset Petronas di Khartoum.

Rampasan melibatkan ta­nah dan kompleks ibu pejabat Pe­tronas itu dibuat atas dakwaan penglibatan dalam rasuah dan pemerolehan tidak sah oleh syarikat itu ketika era pemerintahan Presiden Omar Al-Bashir.

Kerajaan peralihan Sudan bertindak merampas tanah yang sepatutnya digunakan untuk membina ibu pejabat dan kemudahan milik Petronas yang didaftarkan di bawah nama anak syarikatnya, Nada Properties Company Limited (NPCL).

Malah, Sudan turut memindahkan hak milik NPCL kepada Kementerian Kewangannya.

Petronas sebelum ini menegaskan aset-aset yang dirampas itu miliknya yang diperoleh secara sah di sisi undang-undang.

Menurut syarikat minyak dan gas itu, pihaknya telah be­ker­­jasama dengan Kementerian Luar bagi menggunakan se­mua saluran diplomatik de­ngan pihak berkuasa Sudan bagi menyelesaikan isu tersebut secara aman.

Jelasnya, sehingga kini ma­sih belum ada perkembangan positif dapat dicapai.

“(Oleh itu), Petronas telah memfailkan permohonan untuk timbang tara di ICSID tentang isu tersebut,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

Petronas terlibat dalam perniagaan minyak di Sudan lebih 20 tahun, termasuk penglibatannya dengan Greater Nile Petroleum Operating Company (GNPOC) bermula Disember 1996.

Penglibatan Petronas dalam industri minyak dan gas, terutamanya dalam penerokaan Blok 1, 2 dan 4 di Sudan juga membolehkan negara itu menjadi pengeksport minyak dunia.

Selain operasi perniagaan, syarikat itu turut aktif membangunkan modal insan tempatan di Sudan melalui program latihan, pemindahan teknologi dan pemberian biasiswa pendidikan tinggi kepada warga tempatan Sudan ke Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Pada 2005, Petronas membuka Pusat Latihan Vokasional Khartoum dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, kerajaan negeri Khartoum, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Giatmara Malaysia bagi melahirkan ramai tenaga kerja mahir di Sudan dalam bidang vokasional sebelum pusat itu diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Khartoum pada 2012.

Waran tangkap: Petronas cabar Sudan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


3 juta penduduk Lembah Klang terlibat gangguan bekalan air


Sebaran :

Leave a Reply