Maqasid Syariah bina sejahtera

Maqasid Syariah bina sejahtera

oleh Nor Safina Zainal

Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Keunikan ini adalah suatu keistimewaan yang dikecapi sejak merdeka sehingga kini. Bermula dengan Perdana Menteri pertama sehingga Perdana Menteri kesembilan, perpaduan dan keharmonian antara kaum sentiasa menjadi keutamaan.

Selama 64 tahun merdeka, Malaysia mampu mengekalkan keamanan dan keharmonian. Rakyat Malaysia hidup dalam sebuah ‘keluarga besar’ yang dipandu oleh agama, Perlembagaan, Rukun Negara, sistem perundangan, dasar-dasar dan nilai-nilai murni yang diamalkan oleh seluruh warga negara. Walaupun pelbagai cabaran dihadapi yang kadangkala menggugat keluarga besar ini, namun ikatan perpaduan yang terbina sejak sekian lama kekal utuh dan terus memberi kedamaian kepada seluruh rakyat yang menghuni negara tercinta ini.

Kepelbagaian ini adalah sunatullah seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Syariat Islam diturunkan dengan membawa panduan, rahmat dan kedamaian kepada seluruh alam tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Rahmat yang terungkap dalam ayat tersebut diterjemahkan ke dalam nilai Maqasid Syariah iaitu memperoleh kebaikan (Jalb al-Masalih) dan menolak keburukan (Dar ul Mafasid). Justeru, semua ajaran daripada syariat Islam terangkum dalam dua nilai tersebut yang merupakan elemen teras dalam Maqasid Syariah.

Islam datang dengan membawa konsep kehidupan yang harmoni melibatkan masyarakat Islam dan juga bukan Islam kerana asas dalam hubungan sosial sesama manusia adalah perdamaian. Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW dan amalan Khulafa’ al-Rasyidin menjadi model kehidupan yang harmoni dengan penganut pelbagai agama.

Piagam Madinah yang digubal oleh Rasulullah SAW pada tahun 1 Hijrah (622M) adalah perlembagaan pertama di dunia yang menjadi dasar berwawasan jauh dalam mengurus negara berbilang kaum dan agama. Hubungan antara rakyat pelbagai kaum dan agama dalam sebuah negara dilindungi di bawah satu perlembagaan. Model ini sememangnya diaplikasikan dalam mengatur tadbir urus masyarakat majmuk keluarga besar seperti Malaysia.

Malaysia adalah antara negara yang aman di dunia. Berdasarkan tahap keamanan dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 163 negara dan wilayah yang bebas serta mempunyai tahap keamanan yang tinggi. Malaysia juga berada dalam kalangan lima negara paling aman di rantau Asia Pasifik. Berdasarkan Indeks Demokrasi oleh Economist Intelligence Unit (EIU) pada tahun 2020, Malaysia diletakkan pada kedudukan ke-39.

Bagaimanapun menjadi lumrah mana-mana negara di dunia dan termasuk Malaysia menghadapi tahap defisit sosial yang menjejaskan kesepaduan sosial. Keharmonian dan perpaduan masyarakat kadangkala terjejas apabila berlakunya pergolakan dalam masyarakat.

Beberapa cabaran sosiopolitik masih wujud dan perlu ditangani dalam merancang wawasan jauh pembangunan masa hadapan Keluarga Malaysia yang sejahtera, yang memiliki pegangan agama yang kukuh dan jatidiri yang cemerlang.

Tadbir urus negara merupakan salah satu bidang yang sangat diberi perhatian dalam syariat Islam. Ia adalah tonggak kepada kesejahteraan hidup manusia. Di sinilah kepentingan Maqasid Syariah berfungsi bagi memastikan segala urusan kehidupan dan pentadbiran negara sentiasa menatijahkan kebaikan serta kesejahteraan kepada seluruh ummah. Kesejahteraan amat bergantung kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

Sebuah negara maju dengan rakyat hidup aman dan harmoni mampu dicapai, sekiranya perbezaan etnik, sosiobudaya dan anutan kepercayaan dapat diurus dengan bijaksana. Jalinan interaksi tidak hanya terbatas sesama kaum atau seagama sahaja, bahkan ia merentasi bangsa, kaum atau agama. Dalam mengatur tadbir urus Keluarga Malaysia berpandukan Maqasid Syariah, kesejahteraan hidup dan kualiti insaniyyah ahli Keluarga Malaysia adalah menjadi keutamaan agar hubungan insaniyyah terus erat terjalin yang akhirnya membuahkan perpaduan dan ukhuwah.

Dalam hal ini, lima prinsip utama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu diletakkan sebagai asas dalam kerangka panduan yang strategik, agar kemaslahatan fizikal dan spiritual dapat dirasai oleh setiap warganegara. Tadbir urus berteraskan Maqasid Syariah ini akan melestarikan kesejahteraan hidup semua warganegara dan menyantuni kemanusiaan melalui kepemimpinan berkesan dan berintegriti, masyarakat yang berakhlak, berilmu, penyayang dan bersatu padu. Imam al-Ghazali merumuskan lima perkara yang menjadi objektif syariah, iaitu memelihara kemaslahatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Hakikatnya, kesemua asas kebaikan dalam kehidupan seluruh manusia termasuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan khazanah alam seluruhnya, terhimpun dalam lima perkara ini. Dunia hari ini sedang berhadapan dengan situasi excellence without soul iaitu maju dan cemerlang tetapi memusnahkan. Kemajuan dibina dan dicapai tanpa mempedulikan hubungan dengan Pencipta dan hubungan sesama manusia. Nilai-nilai tauhidik, spiritualistik, humanistik dan maqasidik diabaikan demi kemajuan. Kesungguhan kerajaan terhadap pelaksanaan Maqasid Syariah akan menyuburkan lagi implimentasi tiga nilai utamanya iaitu ‘Adalah (keadilan), Insaniyyah (kemanusiaan) dan Maslahah (kebaikan) yang diyakini mampu membangunkan Keluarga Malaysia dengan cemerlang beserta nilai-nilai rabbaniyyah dan insaniyyah dalam apa jua bidang kehidupan.

Falsafah dan prinsip toleransi serta menghormati sesama warganegara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu diperkukuhkan dan perpaduan sesama rakyat wajib disuburkan bagi membina Keluarga Malaysia yang sejahtera dan harmoni yang mudah-mudahan akan menjadi nilai tambah dalam membina tamadun dan kekuatan ummah yang menatijahkan negara yang bersifat Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.

Penulis Pengarah Bahagian Maqasid Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Maqasid Syariah bina sejahtera


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Fesyen Ameera Khan disamakan karpet Nilai 3

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker