Lompatan Kecundang Idris Haron

Oleh Nurul Aisyah

TIBA-TIBA poitik Melaka bergolak gara-gara Adun Sungai Udang, Idris Haron yang juga bekas ketua menteri Melaka dan bersama tiga Adun lain mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan negeri kerajaan.

Bagi menyelesaikan kemelut ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar DUN Melaka dibubarkan. Mandat wajar dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru bagi memimpin Melaka.

Walaupun Idris Haron menjadi punca pergolakan tetapi beliau menolak cadangan Zahid yang mahukan PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu.

Beliau menegaskan PRN tidak perlu diadakan, kerana pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh setahun setengah saja lagi. Tambahan pula, pandemik Covid-19 akan menyebabkan risiko lebih tinggi. Ia juga membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi.

Harapan Idris Haron berkecai apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh, mengumumkan cadangan agar diadakan pilihan raya di peringkat negeri diterima Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam. Beliau juga mengumumkan DUN Melaka dibubarkan hari ini.

Kemelut politik di Melaka akan diselesaikan dengan mengembalikan hak untuk menentukan kerajaan negeri kepada pengundi. Ketua Menteri Sulaiman Md Ali menasihatkan TYT agar DUN Melaka dibubarkan dan ianya dipersetujui.

Sejurus mengumumkan pembubaran itu, Rauf yang juga pengerusi Umno Melaka menyerahkan proklamasi pembubaran DUN kepada Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan.

Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh meletakkan tarikh 4 Disember sebagai tarikh PRN Melaka. Ini akan memberi masa kepada mereka merangka dan merancang PRN Melaka dengan lebih teliti.

Proklamasi pembubaran DUN Melaka diwartakan hari ini, 5 Okt 2021. Ini merupakan peluang terbaik SPR memperkenalkan SOP terbaru Pilihan Raya.

Mereka boleh mencadangkan kaedah yang rasakan sesuai untuk PRN Melaka. Ianya tidak susah diadakan memandangkan sehingga malam tadi, 88.2 peratus populasi orang dewasa di Melaka sudah divaksinasi sepenuhnya. Dan dijangka pada Disember ini, vaksinasi dijangka akan mencapai 93%.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat keputusan berhubung SOP yang dicadangkan tersebut.

Dengan pembubaran DUN Melaka hari ini, negeri itu ditadbir oleh kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya negeri selesai dijalankan. Ini bermakna Idris Haron kecundang lagi dalam usaha untuk menjadi Menteri Besar Melaka dengan cara yang mudah. Lompatan kecundang itu bakal menjadi igauan ngeri beliau.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker