Perbankan Islam dan perbankan konvensional: Apa bezanya?

Kebanyakan institusi kewangan pada masa kini menawarkan pilihan di antara konsep perbankan Islam dan konvensional untuk produk-produk kewangan mereka, dari akaun simpanan, pinjaman sehinggalah pembiayaan.

Produk perbankan Islam ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja malah ia boleh dilanggan oleh sesiapa sahaja, selagi sumber kewangan yang disalurkan ke dalam bank bukan dari sumber haram seperti hasil perjudian atau dari penjualan minuman keras.

Sebagai seorang pengguna, jenis perbankan manakah yang paling bersesuaian dengan anda? Mari kita lihat perbezaan di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional seperti yang dijelaskan oleh Adlene Hanna.

Akaun simpanan

Akaun simpanan Islam merupakan sejenis akaun “pelaburan berteraskan keuntungan”, berpandukan peraturan Mudarabah di mana objektifnya adalah untuk memberi pulangan ke atas pelaburan tersebut.

Manakala untuk akaun simpanan konvensional pula, tiada pensyaratan pematuhan dari segi syariah yang dipraktikkan.

Pelanggan yang mendepositkan duit dalam akaun simpanan Islam akan menjadi mudarib, ataupun rakan kongsi kepada pihak bank.

Manakala hubungan antara pelanggan akaun simpanan konvensional dengan bank pula didefinisikan sebagai penghutang dan pemiutang.

Dana yang dimasukkan dalam akaun simpanan Islam akan dilaburkan dalam kumpulan pelaburan dana, di mana segala pelaburan akan dianggap sebagai pembelian saham pelaburan dalam kumpulan pelaburan tersebut.

Sebarang pengeluaran akan dianggap sebagai penjualan daripada bahagian pelaburan dalam kumpulan dana itu.

Dana yang dimasukkan dalam akaun simpanan Islam dilaburkan dalam kumpulan pelaburan dana. (Gambar Pixabay)

Untuk akaun simpanan konvensional pula, bank boleh menggunakan dana yang dideposit untuk segala jenis pelaburan tanpa tertakluk kepada peraturan bagi larangan syariah.

Pembiayaan

Dari aspek pembiayaan, bank konvensional akan memberikan pinjaman berdasarkan faedah dan keuntungan akan diperolehi melalui faedah tersebut.

Berbeza dengan bank konvensional, peranan bank Islam bukanlah sebagai institusi pinjaman wang tetapi berfungsi sebagai institut pelaburan.

Ini adalah kerana bank-bank Islam beroperasi di bawak garis panduan serta bersumberkan sosio-agama yang melarang pengenaan dan pembayaran faedah.

Bank Islam juga menjauhi segala transaksi yang diharamkan seperti perjudian, spekulasi, “short-selling” dan penjualan hutang (sale of debts).

Manakala untuk bank konvensional, sekatan seperti ini langsung tidak wujud. Faedah merupakan tulang belakang sistem ini dan “short-selling” serta penjualan hutang adalah perkara biasa.

Ini adalah kerana semua bank Islam mempunyai rangka kerja tadbir urus syariah yang kukuh di mana terdapat struktur organisasi yang berperanan sebagai Lembaga Syariah bagi meluluskan sebarang bentuk urus niaga dan produk berdasarkan hukum syariah.

Manakala bagi bank konvensional pula, rangka kerja sedemikian tidak diambil kira dan digunakan.

Mengambil kira serta mematuhi garis panduan serta peraturan patuh syariah, bank Islam tidak akan memberi pembiayaan kepada industri yang membawa kemudaratan kepada masyarakat, seperti industri minuman keras dan tembakau.

Berbeza pula dengan bank konvensional yang boleh menyalurkan sebarang bentuk pembiayaan kepada semua jenis industri, asalkan ia tidak menyalahi undang-undang.

Memandangkan pinjaman diiktiraf sebagai “bukan komersial” oleh bank Islam, ia dikecualikan daripada domain transaksi komersial. Sebarang pinjaman yang diberikan oleh bank Islam haruslah bebas daripada sebarang unsur faedah.

Bagi bank konvensional pula, hampir semua produk sampingan pembiayaan dan deposit adalah berasaskan pinjaman.

Produk perbankan Islam biasanya disokong oleh aset yang melibatkan aktiviti perdagangan, penyewaan aset serta merangkumi konsep keuntungan dan kerugian.

Sebaliknya, bank komersial pula menganggap wang sebagai komoditi dan meminjamkannya dengan faedah sebagai pampasan.

Oleh kerana model perniagaan perbankan Islam adalah berasaskan perdagangan, ia perlu mengambil bahagian secara aktif dalam segala aspek keseluruhan proses termasuk dalam aktiviti perdagangan dan pengeluaran.

Sebaliknya, bank konvensional tidak melibatkan diri dalam perdagangan dan perniagaan kerana mereka hanya bertindak sebagai peminjam wang.

Melalui konsep ini, pelanggan yang mengambil pinjaman dengan bank konvensional diklasifikasikan sebagai penghutang manakala pihak bank adalah pemiutang.

Ini berbeza dengan perbankan Islam di mana hubungan pelanggan dan bank diklasifikasikan sebagai penjual-pembeli dan juga rakan kongsi.

Dalam perbankan Islam, pelanggan dan bank menjadi mudarib atau rakan kongsi. (Gambar Pixabay)

Bagaimana untuk membuat pilihan?

Secara keseluruhannya, kelebihan utama memilih perbankan Islam adalah dari segi pembiayaan kadar berubah.

Seperti pembiayaan konvensional, kadar keuntungan pembiayaan Islam berubah mengikut keadaan ekonomi semasa supaya tidak terdapat unsur berat sebelah terhadap pengguna atau bank.

Namun demikian, semasa penyediaan akad, ataupun perjanjian, kadar keuntungan ini akan dikenakan had maksimum. Ini berfungsi untuk melindungi pelaburan dan memastikan komitmen bulanan tidak melebihi jumlah tertentu.

Akan tetapi, kebanyakan institusi kewangan, termasuk perbankan Islam, mengenakan yuran pentadbiran dan yuran lain-lain untuk menguruskan akaun.

Caj tambahan ini berbeza bagi setiap bank tetapi berkemungkinan tinggi setanding dengan caj produk konvensional yang bertujuan untuk mengekalkan daya saing perbankan konvensional.

Dari segi yuran, gadai janji konvensional mempunyai kelebihan dari segi penjimatan yuran sekiranya anda ingin menambah jumlah pinjaman kerana anda hanya akan dikenakan setem hasil tanpa perlu membuat perjanjian.

Dalam situasi yang sama, gadai janji berasaskan Islam mengharuskan anda untuk membuat perjanjian jual beli baru dan akhirnya melibatkan yuran yang lebih tinggi.

Namun sedemikian, kadar faedah yang dikenakan ke atas gadai janji konvensional tidak mempunyai had maksimum.

Sudah tentunya, kadar faedah ini wajar mempunyai alasan yang munasabah apabila bank melaraskan kadar asasnya, tetapi secara teorinya, ia berkemungkinan meningkat kepada kadar yang lebih tinggi tanpa had maksimum dan ini akan menyebabkan komitmen bulanan yang membebankan untuk peminjam.

Tiada had maksimum bagi kadar faedah yang dikenakan ke atas gadai janji konvensional. (Gambar Pixabay)

Walau bagaimanapun, Bank Negara Malaysia menetapkan peraturan-peraturan yang khusus bagi menguruskan kadar turun naik pasaran bagi melindungi kepentingan pengguna.

Terdapat kelebihan dan kekurangan bagi kedua-dua jenis produk perbankan tetapi dari segi konsep, keduanya melaksanakan konteks yang hampir sama cuma mempunyai ideologi yang berbeza.

Penting untuk kita ketahui bahawa tiada sekatan tanpa mengira bangsa dan agama kepada sesiapa yang ingin memohon produk perbankan. Ketetapan syarat hanyalah satu – iaitu sumber pendapatan dari sumber yang halal.

Kesimpulannya, jika anda membuat perancangan dengan betul, gabungan kedua-dua jenis produk ini mampu mempengaruhi dan membantu kewangan anda.

Yang paling penting, anda perlu membuat kajian yang menyeluruh sebelum memilih produk dan jenis perbankan supaya anda tidak menyesal di kemudian hari.

Perbankan Islam dan perbankan konvensional: Apa bezanya?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


‘The Real Tony Stark’ Gelaran Lelaki Ini Selepas Cipta Tangan Prostetik Daripada LEGO [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker