Remaja disuntik picagari kosong: Petugas dihentikan tugas serta-merta

Sebaran :

Remaja disuntik picagari kosong: Petugas dihentikan tugas serta-merta

Petugas yang tular memberikan suntikan vaksin Covid-19 kosong untuk seorang remaja berusia 12 tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) telah diberhentikan tugas serta-merta.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata arahan perberhentian itu dibuat pihak Healthcare Organisation (HCO) yang dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd untuk mengendalikan program vaksinasi kepada remaja di PPV terbabit.

“Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) ingin merujuk kepada insiden seorang remaja 12 tahun disuntik picagari kosong oleh seorang petugas kesihatan (penyuntik) semasa mendapatkan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Malaya (PPVUM) pada 30 September 2021.

“CITF-A telah meneliti laporan yang diterima dan telah dimaklumkan bahawa Healthcare Organisation (HCO) yang dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd telah memberhentikan penyuntik berkenaan dari memberi vaksin di PPV UM dengan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kerajaan memandang serius insiden seperti itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna.

“Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin adalah keutamaan kami dan semua pengamal perubatan akan terus dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) berkata, bagi mengelak keraguan dalam proses vaksinasi itu, CITF-A membenarkan hanya seorang ibu, bapa atau penjaga menemani remaja sehingga ke stesen vaksinasi untuk melihat sendiri proses diberikan, mulai 3 Okt.

“Setelah selesai proses vaksinasi, ibu atau bapa atau penjaga diminta menunggu di luar bagi memastikan kerusi yang disediakan di kawasan pemerhatian mencukupi untuk remaja yang telah divaksinasi duduk dan diawasi.

“Selepas tamat tempoh pemerhatian 15 hingga 30 minit, remaja akan dikembalikan kepada jagaan ibu atau bapa atau penjaga,” katanya dengan menambah proses suntikan vaksinasi terhadap remaja juga boleh dirakam oleh dewasa yang menemani.

Terdahulu pihak CITF-A memaklumkan susulan satu video tular yang menunjukkan rakaman proses vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun diberi suntikan vaksin Covid-19 kosong,siasatan awal mendapati ia akibat penyuntik tersalah mengambil picagari kosong. FMT

Remaja disuntik picagari kosong: Petugas dihentikan tugas serta-merta


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saranan buat Syed Saddiq tentang ekuiti bumiputera


Sebaran :

Leave a Reply