Masa terbaik untuk Hadi berundur sebagai Presiden Pas

Sebaran :

Masa terbaik untuk Hadi berundur sebagai Presiden Pas

Oleh Zulkiflee Bakar

TIDAK kira orang Melayu daripada parti manapun sama ada pembangkang mahupun kerajaan, mereka sama sekali tidak boleh menafikan sumbangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Pas dan arena politik negara.

Jasa Ahli Parlimen Marang itu cukup besar. Ketokohan ,kewibawaan dan kredibiliti beliau dihormati kawan dan lawan.

Pada tahun ini ahli politik berusia 73 tahun genap 18 tahun menjadi Presiden Pas. Beliau dikatakan tidak akan dicabar bagi jawatan yang diambilalih daripada Allahyarham Datuk Seri Fadzil Noor pada tahun 2003 itu.

Tidak pasti sama ada pendirian tersebut disebabkan beliau masih dilihat sebagai tokoh harapan walaupun Pas sudah mempunyai ramai pemimpin pelapis berwibawa atau sememangnya tradisi Pas mahu mengelakkan sebarang perebutan bagi jawatan Presiden, selepas ia kali pertama berlaku pada Muktamar Tahunan Pas Ke-61 apabila beliau dicabar oleh Ahmad Awang.

Sememangnya penulis menghormati pendekatan seperti itu tetapi persoalannya sampai ke bilakah Pas harus bergantung kepada Abdul Hadi? Bukankah sekarang waktu terbaik untuk memberi peluang kepada beliau berehat?

Penulis sama sekali tidak menafikan jasa, pengorbanan dan kehebatan Abdul Hadi dalam memimpin Pas dan penulis juga tidak mengatakan semangat perjuangan beliau semakin luntur.

Apa yang mahu ditegaskan ialah meninggalkan kerusi Presiden bukanlah bermakna hubungan Abdul Hadi dengan Pas akan berakhir atau beliau dianggap gagal.

Beliau masih boleh memberi sumbangan melalui Majlis Syura Ulama, lebih tepat lagi menjadi Mursyidul Am. Pemimpin,ahli dan penyokong Pas perlu terbuka untuk menerima hakikat itu.

Selain pencapaian politik beliau yang cukup hebat dan mungkin tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana pemimpin Pas, ahli-ahli Pas harus faham, sehebat manapun harapan mereka sandarkan, dari segi kesihatan Abdul Hadi sudah ada keterbatasannya.

Kalau sayangkan Abdul Hadi, mereka perlu berpijak di bumi nyata. Beliau perlu memberi laluan kepada pemimpin lain untuk memimpin Pas memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Tiada apa lagi yang sepatutnya ditagih daripada Abdul Hadi, beliau sudah melakukan segala-galanya untuk Pas.

Sepanjang memimpin parti tersebut, Abdul Hadi bukan sahaja memastikan Kelantan yang dikuasai pada tahun 1990 terus berada dalam genggaman Pas sehingga ke hari ini, malah beliau juga berjaya merampas Terengganu sebanyak dua kali termasuk pada PRU-14.

Selain itu di bawah kepemimpinan beliau, Pas kini berada dalam Kerajaan Pusat, tiga negeri dipimpin oleh Pas dan Abdul Hadi sendiri adalah Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah serta pernah menjadi Ketua Pembangkang. Dan jangan lupa beliau juga berjaya mewujudkan permuafakatan dengan UMNO sehingga termeterai Piagam Perpaduan Ummah pada 2019.

Piagam itu menamatkan permusuhan politik berpuluh-puluh tahun antara kedua-dua parti. Inilah salah satu jasa besar Abdul Hadi.

Penulis faham tidak mungkin ada mana-mana pemimpin, penyokong atau ahli Pas yang akan ‘berani’ membuat kenyataan terbuka meminta Abdul Hadi berehat dan menyerahkan kepada Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Mereka ada adab, sentiasa setia, patuh dan menghormati kepemimpinan parti.

Tetapi mereka tidak harus menafikan sudah tiba masanya Pas memiliki kepemimpinan baharu dalam membuat persediaan bagi menghadapi pertarungan besar pada PRU-15.

Sekarang ini pun difahamkan boleh dikatakan hampir semua mesyuarat dan soal pengurusan parti diserahkan kepada Tuan Ibrahim. Keadaan itu sudah memberi isyarat bahawa Abdul Hadi sudah boleh berehat daripada menerajui Pas.

Abdul Hadi perlu mengikut jejak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyerahkan jawatan Menteri Besar Kelantan kepada Datuk Ahmad Yaakob apabila menyedari keterberbatasan yang ada kepada Allahyarham.

Penulis yakin Abdul Hadi akan berjiwa besar dan pasti bijak bermuhasabah bagi menilai sejauhmanakah kemampuan beliau untuk memimpin Pas. Lagipun adalah lebih baik Abdul Hadi berundur ketika rekod politiknya berada dalam keadaan baik.

Tiada gunanya Abdul Hadi membuat keputusan menyerahkan tampuk kepemimpinan kepada pengganti hanyalah setelah pencapaian politik Pas merosot. Jika itu berlaku sudah pasti rekod cemerlang Ahli Parlimen Marang itu turut tercalar. Utv

Masa terbaik untuk Hadi berundur sebagai Presiden Pas


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penolong Pegawai Perubatan Dikecam Gara-Gara Dakwaan HIV Adalah Hukuman Daripada Tuhan


Sebaran :

Leave a Reply