MKT UMNO mahu PM tubuh RCI siasat Tommy Thomas



MKT UMNO mahu PM tubuh RCI siasat Tommy Thomas

Umno sokong Ismail sebagai PM, mahu beliau tunaikan beberapa tuntutan, termasuk RCI siasat Tommy Thomas

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyatakan sokongan bulat kepada Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu namun mahukan beliau memastikan pentadbirannya efektif dalam menguruskan negara, menurut sumber.

Bercakap kepada FMT, sumber itu berkata MKT turut meminta Ismail meneliti dan mengambil beberapa tindakan, termasuk mempercepatkan pembaharuan institusi.

Antara lain, pembaharuan itu melibatkan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya Awam serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.




MKT juga mahukan Ismail mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

“Ini penting kerana ia melibatkan kredibiliti tindakan dan keputusan yang diambil beliau ketika menjadi Peguam Negara,” kata sumber berkenaan.

Awal tahun ini, Pemuda Umno menggesa penubuhan RCI untuk menyiasat beberapa dakwaan yang dibuat Thomas dalam sebuah buku nukilannya.

Antaranya ialah pengakuan Thomas berhubung pelantikan Ketua Hakim, Presiden Mahkamah Rayuan dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak yang melibatkan beberapa perbincangan antaranya dengan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata “beberapa panduan utama telah dibincangkan dan dipersetujui bersama oleh MKT dan Ismail termasuk “penubuhan segera” RCI terhadap Thomas.”




Ini menurut Zahid adalah “bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi-institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang Negara.”

Menurut sumber itu, MKT juga memaklumkan Ismail pada mesyuarat malam tadi bahawa ia mahukan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menghentikan “asakan keterlaluannya” berhubung keputusan parti menangguhkan pemilihannya sehingga 18 bulan.

“Keputusan itu dibuat mengikut perlembagaan parti, malah RoS sendiri memberikan kelulusan untuk menangguhkan pemilihan kerana wabak Covid-19,” kata sumber itu.

Mesyuarat malam tadi juga bersetuju MKT akan mengadakan perjumpaan dengan Ismail dan menteri-menteri Umno sebulan sekali “untuk memperkasakan kerjasama antara Umno dan kerajaan.”

“Kita melakukannya kerana ini julung kali Perdana Menteri dari Umno tetapi bukan presiden parti dan juga kerana ramai menteri Umno bukan ahli MKT,” kata sumber itu.




“Jadi perjumpaan yang diatur sebulan sekali adalah penting untuk memastikan Umno dan kerajaan mempunyai hala tuju sama dan senada,” kata sumber itu. Ismail adalah naib presiden Umno.

Sumber itu juga menegaskan MKT memaklumkan Ismail ia tidak mahukan pentadbirannya dikenali sebagai kerajaan Perikatan Nasional.

“Kami mahukan beliau menamakannya Kerajaan Keluarga Malaysia,” kata sumber itu.

Dalam kenyataannya, Zahid berkata pihaknya dan Ismail bersetuju kerajaan akan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan bukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Baca Artikel Menarik :




Layari Laman Facebook MYKMU


Beliau berkata ini memandangkan kerajaan pimpinan Ismail merupakan kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PN iaitu PPBM, PAS dan STAR serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Selain itu, Zahid berkata, MKT membuat ketetapan bahawa kerajaan mesti menyantuni kehendak rakyat, termasuk penambahbaikan pakej bantuan rakyat, moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas akibat Covid-19.

MKT juga membuat ketetapan bahawa Umno mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan.

“Ini termasuklah untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti dan campurtangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang, seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, polis dan lain-lain” kata beliau.
FMT

MKT UMNO mahu PM tubuh RCI siasat Tommy Thomas

TMJ cari penyanyi lagu saduran Azman Naim



Leave a Reply

Your email address will not be published.