Tiada bulan madu, PM dan Jemaah Menteri baharu perlu perbetul pelbagai kegagalan

Tiada bulan madu, PM dan Jemaah Menteri baharu perlu perbetul pelbagai kegagalan, kata Johari

Johari Ghani mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan Jemaah Menterinya tetapi memberi amaran bahawa tugas berat menanti perdana menteri baharu itu.

“Sebagai rakyat dan rakan parti, saya harapkan yang terbaik untuk perdana menteri baharu kita demi masa depan negara tercinta,” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu kepada FMT.



“Saya sebenarnya berharap perdana menteri akan membentuk Jemaah Menteri bipartisan untuk mentadbir urus semasa krisis ini atau paling tidak, perkenalkan muka baharu untuk tambah tenaga dan semangat.

“Barisan (Jemaah Menteri) ini tidak mengujakan. Saya berharap Azalina (Othman Said) dan Tok Mat (Mohamad Hasan) akan dimasukkan.”

Oleh sebab itu, perdana menteri tidak boleh mengharapkan sebarang tempoh “bulan madu,” dalam mentadbir negara, katanya.

Beliau berkata, Ismail yang juga naib presiden Umno mempunyai masa lebih kurang setahun untuk memperbetulkan pelbagai kegagalan dalam tadbir urus oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) terdahulu sebelum pilihan raya umum diadakan.



“Kesilapan besar lalu sudah pun menyebabkan jangkitan Covid-19 melonjak lebih 20,000 kes sehari, melepasi paras 1.5 juta kes secara keseluruhan.

“Setakat ini, lebih 14,000 orang telah terkorban,” kata bekas menteri kewangan II itu.

Beliau berkata, kerajaan mesti memperlihatkan tindakan segera menangani kemelut ekonomi dan krisis kesihatan yang dihadapi negara.

“Dari segi ekonomi, kerajaan harus menangani ramalan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan terbantut dibuat Bank Negara, Fitch Solutions dan S&P Global Ratings,” katanya.



“Pengangguran meningkat daripada 4.5% menjadi 4.8%, dengan 700,000 orang sekarang menganggur dan tenaga kerja 2.1 juta lagi tidak digunakan sepenuhnya,” kata Johari.

“Empat juta lagi dalam sektor informal bertungkus lumus untuk kembali bekerja, dan purata pendapatan isi rumah menurun sebanyak 11% sejak 2020.”

Sementara itu, katanya, kadar kemiskinan menokok daripada 5.6% kepada 8.4%.

“Lebih 100,000 perusahaan kecil dan sederhana terpaksa berhenti beroperasi, manakala berita pelabur yang sedia ada mempertimbangkan untuk meninggalkan Malaysia kerana dasar-dasar tidak konsisten, adalah lumrah,” katanya.



“Malaysia sekarang ketinggalan berbanding banyak negara jiran, termasuk Vietnam, yang kini pengeksport produk pembuatan terbesar di (rantau) ASEAN. Malah, pelaburan langsung asing (FDI) kita adalah yang terendah di rantau ini.

“Pelabur baharu khuatir tentang hala tuju politik dan ekonomi negara. Kerajaan harus segera berusaha mengekalkan pelabur sedia ada bagi menjamin pekerjaan untuk rakyat dan pendapatan negara.

Beliau memberi amaran kepada pentadbiran baharu agar tidak terlalu bergantung kepada sumber asli dalam tempoh sukar ini.

“Sebaliknya, kerajaan mesti terlibat urus dengan syarikat multinasional serta pelabur asing dan tempatan untuk memastikan keperluan dan apa sahaja kebimbangan mereka ditangani dengan baik,” katanya.




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Johari turut menyeru agar perdana menteri dan Jemaah Menteri menggiatkan usaha vaksinasi dan menggubal dasar sokongan yang dapat membantu sektor perniagaan beroperasi semula secepat mungkin dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan seragam.

“Kita mesti belajar daripada pengalaman negara lain,” katanya.



“Negara seperti Israel dan United Kingdom mengalami gelombang baharu (jangkitan) walaupun lebih 60% daripada populasi mereka telah menerima vaksin.

“Akibatnya, kemasukan ke ICU (unit rawatan rapi) dan kematian meningkat lagi,” katanya.

Johari juga mahu kerajaan menyusun dan melaksanakan pelan bantuan pendapatan komprehensif yang disasarkan untuk mereka yang terkesan dengan hebat akibat dasar “lockdown”, terutama golongan B40.

“Perdana menteri dan Jemaah Menterinya harus segera menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang belum pernah dialami ini untuk mengelakkan kesan berlanjutan,” katanya.

“Rakyat bukan mahukan seorang perdana menteri yang sekadar boleh baca doa pada majlis siaran langsung atau merendah diri semata-mata,” katanya.

“Rakyat inginkan perdana menteri yang berupaya membantu mereka bangkit dan membina semula kehidupan mereka seperti sebelum wabak,” kata Johari. FMT

Tiada bulan madu, PM dan Jemaah Menteri baharu perlu perbetul pelbagai kegagalan

TMJ cari penyanyi lagu saduran Azman Naim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker