10 sebab mengapa pembukaan sesi persekolahan wajar ditunda

10 sebab mengapa pembukaan sesi persekolahan wajar ditunda.  Lebih lima juta pelajar berdepan pelbagai risiko Covid-19 jika kerajaan nekad meneruskan pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September.

Timbalan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohd Said Hussin berkata, terdapat 10 sebab mengapa kerajaan perlu menangguhkan cadangan untuk membuka semula sekolah pada bulan hadapan.

“Sebab utama perlunya penangguhan untuk membuka sekolah seawal September adalah kita belum mencapai komuniti kelompok terutamanya di luar bandar. Kita bimbang jangkitan mudah merebak dan sukar dikawal di sekolah-sekolah luar bandar khususnya di kawasan pedalaman.

“Kedua, murid-murid masih dalam keadaan terkejut atau ragu-ragu untuk pergi ke sekolah dengan keadaan Covid-19 yang masih tinggi. Mereka di antara berani hendak pergi ke sekolah untuk menimba ilmu secara bersemuka dan tidak berani kerana masih belum divaksinasi,” katanya kepada Sinar Premium.

Selain itu, apa yang membimbangkan pihak sekolah dan guru-guru jika sekolah dibuka pada September ini adalah prosedur operasi standard (SOP) di luar kawasan sekolah yang sukar dikawal sehingga menyebabkan kebolehjangkitan wabak yang dibawa ke sekolah.

“SOP di sekolah memang ikut piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tegas namun apa yang membimbangkan adalah SOP di luar kawasan sekolah yang mungkin agak longgar dan merebak apabila pelajar hadir ke sekolah. Kini, periksa suhu pelajar juga kelihatan tidak relevan di mana suhu boleh berubah-ubah pada waktu pagi dan petang.

“Selain itu, kita juga bimbang terhadap pelajar yang menaiki pengangkutan awam seperti van dan bas sekolah. Kita tidak pasti SOP yang mereka amalkan apabila ramai pelajar yang naik pada satu masa yang sama dan jika salah seorang dijangkiti Covid, kita tidak tahu dari mana atau siapa puncanya,” katanya.

Tambahnya, jika ibu bapa terlepas pandang dan pelajar-pelajar ini tidak dikawal di luar sekolah, kemungkinan untuk mereka menjadi pembawa penyakit Covid-19 di sekolah pada esok hari amat tinggi.

“Ramai kanak-kanak yang mungkin kita terlepas pandang selepas waktu sekolah. Di sekolah, kita boleh mengawal mereka sehabis mungkin namun di rumah apabila ibu bapa pergi kerja dan sebagainya, anak-anak sukar dikawal apabila mereka berjumpa dengan kawan mahupun jiran sebelah rumah yang menyebabkan mereka terdedah dengan Covid-19.

“Oleh demikian, kemungkinan untuk mereka menjadi pembawa pada esok hari ke sekolah adalah sangat tinggi. Itu lah yang berlaku pada kes-kes peningkatan di sekolah sebelum ini yang menjadi kluster pendidikan,” katanya.

Mohd Said berkata, dengan varian Delta baharu, sesiapa sahaja boleh menjadi pembawa atau ‘silent carrier’ dan boleh dijangkiti wabak pembunuh itu termasuklah pelajar sekolah di bawah usia 18 tahun.

“Kes Covid-19 yang meningkat saban hari dan varian Delta baharu amat membimbangkan apabila ia mudah tersebar melalui udara. Amat bahaya jika pelajar membawa balik jangkitan kepada keluarga terutamanya jika ada warga emas di rumah.

“Sesiapa sahaja boleh menjadi pembawa kerana murid sekolah sentiasa terdedah. Sekiranya mereka jalan kaki sekalipun, kita tidak tahu perjalanan di antara pergi dan balik sekolah itu ada atau tidak mereka berjumpa dengan sesiapa. Ia amat sukar dikawal,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Victor Hoe berkata, terdapat dua faktor utama mengapa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan semula cadangan pembukaan sekolah.

“Pertama, kita harus melihat kes komuniti setempat. Ketika ini, kita bukan sahaja bimbang tentang kes di hospital namun kes dalam komuniti. Contohnya di Perlis, kes komuniti rendah jadi sekolah sesuai dibuka namun di negeri fasa pertama seperti Selangor dan Kuala Lumpur tidak sesuai kerana kes terlalu tinggi dan kanak-kanak tidak terkecuali daripada dijangkiti.

“Hospital jelas terbeban kerana ada banyak tambahan pesakit setiap hari dan pegawai kesihatan cuba sedaya upaya untuk membantu mereka jadi saya tidak rasa pembukaan sekolah pada masa terdekat adalah cadangan yang baik. Jika mereka membuka sekolah, adalah lebih baik secara bersasar untuk golongan pelajar yang hendak menduduki peperiksaan sahaja seperti pelajar Tingkatan 5,” katanya.

Selain itu, Victor berpandangan bahawa semua orang termasuk kanak-kanak patut divaksinasi secepatnya supaya sekolah boleh dibuka dengan selamat.

“20,000 kes bukanlah menunjukkan gambaran sebenar dan kita perlu lihat sama ada fasiliti kesihatan negara masih boleh menampung kes harian yang semakin meningkat. Kita boleh buka sekiranya ramai orang sudah divaksin dan kes dalam komuniti menurun.

“Vaksinasi adalah cadangan yang bagus dan kita perlu mempertimbangkan untuk memberi vaksin pada kanak-kanak tetapi mereka perlu pastikan ada data dan kajian terperinci menunjukkan ianya selamat untuk kanak-kanak bawah 18 tahun,” katanya.

Tambah beliau, varian Delta baharu juga lebih berbahaya ketika ini dan ia mudah merebak kepada semua orang termasuk orang muda atau kanak-kanak.

“Varian Delta lagi mudah merebak dan mempunyai ‘transmission’ yang lebih tinggi berbanding varian terdahulu. Kemungkinan kesan jangkitannya lagi teruk walaupun pada kanak-kanak,” katanya.

Di samping itu, Profesor Epidemiologi dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Malaya (UM), Dr Sanjay Rampal berpandangan bahawa KPM harus merancang dengan terperinci bagaimana dan bila masa yang betul-betul sesuai untuk membuka sekolah dengan selamat.

“Semua negeri perlu membuat penilaian risiko secara berasingan untuk menetapkan keputusan sama ada sekolah boleh dibuka atau tidak. Tidak banyak negara yang menutup sekolah dengan jangka masa yang panjang dan kita tidak mampu untuk mengelak serta mengabaikan isu ini dengan lebih lama.

“Oleh itu, kita perlu jelas akan faktor apa yang harus dinilai dan cara apa yang bersesuaian untuk pembukaan sekolah. Ibu bapa dan guru harus mempunyai perancangan lebih awal untuk isu ini dan perlu ada komunikasi yang bagus untuk pembelajaran mereka,” katanya.

Tambahnya, kementerian harus mempertimbangkan untuk memperkasakan sekolah dengan pembentukan wakil jawatankuasa Covid-19 mereka sendiri dari pelajar, ibu bapa, guru-guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil daerah negeri.

Dalam pada itu, dalam satu video penjelasan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada petang tadi cadangan pembukaan pada 1 September sebenarnya adalah secara berperingkat dan selain itu ia bergantung kepada keadaan semasa setiap negeri dan penilaian KKM serta MKN.

Berdasarkan penelitian semasa KPM, Radzi mengumumkan keputusan terbaru iaitu pembukaan sekolah dilewatkan sedikit kepada 3 Oktober 2021.

“Pembukaan ini juga dibuat secara berperingkat dengan dimulakan kelas-kelas peperiksaan. Perincian pembukaan sekolah mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara akan akan dimaklumkan KPM dalam masa terdekat “Namun, seperti diterangkan tadi tidak ada sekolah yang akan dibuka untuk Fasa 1 Pelan pemulihan Negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pada ketika ini, 92.4 peratus daripada 500,000 guru di seluruh negara sudah menerima suntikan dos pertama vaksin.

INFO 10 sebab mengapa pembukaan sesi persekolahan pada September patut ditangguh: 1. Belum mencapai komuniti kelompok 2. Kanak-kanak bawah 18 tahun belum divaksin 3. SOP di luar sekolah yang sukar dikawal 4. Kanak-kanak yang menggunakan pengangkutan awam terdedah dengan Covid-19 5. Kemungkinan penyebab Kluster Pendidikan 6. Varian Delta baharu yang merbahaya 7. Pelajar sebagai pembawa ‘silent carrier’ Covid-19 8. Perjalanan pelajar pergi dan balik sekolah yang terdedah kepada persekitaran Covid-19 9. Pelajar belum bersedia antara berani atau tidak untuk pergi ke sekolah 10. Trauma bagi kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 Statistik Bilangan Murid di Sekolah (Enrolmen) – Data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) sehingga 31 Julai 2020, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Prasekolah – 208, 131 murid Rendah – 2,741,837 murid Menengah – 2,037,433 murid Jumlah keseluruhan: 4,987,401 murid

10 sebab mengapa pembukaan sesi persekolahan wajar ditunda


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Muhyiddin Sah Letak Jawatan Esok

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker