Mahkamah Rayuan tolak permohonan Zakir Naik

Mahkamah Rayuan pada Jumaat menolak rayuan Dr Zakir Naik terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S Raveentharan memindahkan perbicaraan saman fitnah yang difailkan penceramah bebas itu terhadapnya dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Panel tiga anggota yang terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah hari membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh peguam yang mewakili Raveentharan berhubung ketidakpatuhan peruntukan mandatori oleh peguam-peguam Dr Zakir.

Hakim Yaacob yang mengetuai panel itu berpendapat, rayuan Dr Zakir tidak kompeten kerana tidak mematuhi Peraturan 18 (6) Peraturan Mahkamah Rayuan 1994.

“Kami berpandangan bahawa Peraturan 18 (6) adalah bersifat mandatori. Ia harus dipatuhi oleh semua pihak. Tidak ada pengecualian terhadap pematuhan peraturan ini,” katanya, sambil menambah bahawa ada merit dalam bantahan awal.

Mahkamah juga menolak rayuan balas Raveentharan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan keabsahan afidavit Dr Zakir.

Dalam prosiding pendengaran rayuan yang berlangsung secara maya, peguam Raveentharan, Kernail Singh berhujah bahawa rayuan itu telah menjadi batal kerana tidak ada rekod rayuan yang teratur difailkan kerana peguam Dr Zakir tidak memberikan mereka indeks draf rekod rayuan.

Kernail Singh berkata, Peraturan 18 (6) adalah wajib dan peruntukan mandatori yang perlu dipatuhi oleh peguam cara perayu. Turut mewakili Raveentharan adalah peguam, Datuk Tharumarajah Thiagarajan.

Peraturan 18 (6) menetapkan bahawa draf indeks dokumen mesti disertakan dalam rekod rayuan dan dihantar oleh peguam cara pemohon kepada peguam cara responden atau (jika lebih dari satu) salah seorang daripadanya, yang boleh dalam tempoh 48 jam membantah terhadap penyertaan atau pengecualian mana-mana dokumen.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Dr Zakir berkata, pada waktu yang berkenaan, responden mempunyai salinan rekod rayuan, semuanya yang diperlukan telah dimasukkan ke dalam rekod rayuan.

Pada 12 Disember 2019, Dr Zakir selaku plaintif memfailkan saman terhadap Raveentharan atas dakwaan memuat naik lima kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Oktober tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa lima kenyataan itu dilakukan dengan niat jahat tanpa membuat pengesahan daripadanya berhubung kebenaran dan kesahihan dakwaan dalam hantaran itu.

Dr Zakir mendakwa, lima kenyataan yang dimuat naik itu menggambarkan bahawa dirinya sebagai orang yang jahat dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara, keamanan, dan keharmonian di Malaysia selain mendakwa kenyataan itu tidak berasas dan palsu.

Oleh itu, plaintif memohon perintah daripada mahkamah supaya defendan mengeluarkan lima kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Pada 23 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Raveentharan untuk memindahkan perbicaraan kes saman itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang turut mewakili Dr Zakir ketika dihubungi berkata, beliau akan menfailkan penangguhan bagi merayu kepada Mahkamah Rayuan, memandangkan rayuan mereka ditolak atas alasan teknikal dan merit rayuan itu tidak didengar.

Mahkamah Rayuan tolak permohonan Zakir Naik


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker