Cukuplah bersama Nakhoda dari negara gagal

Cukuplah bersama Nakhoda dari negara gagal. APAKAH kekusutan politik hari ini hanya dapat dileraikan dengan memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan seterusnya?

Kita harus realistik dan berpihak di bumi nyata. Demokrasi tidak boleh terhenti atau dihentikan hanya kerana pandemik Covid-19 yang melanda. Malaysia memerlukan kerajaan yang mempunyai legitimasi dan kestabilan untuk membawanya keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang memberi kesan besar terhadap rakyatnya.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau sebuah kerajaan yang baharu adalah satu-satunya jalan penyelesaian untuk mengakhiri kemelut perebutan kuasa di negara ini.

Dengan pandemik yang kita sendiri tidak pasti bila titik noktahnya, mungkin enam bulan, setahun atau dua tahun lagi, apakah kita rela rakyat dan negara terus dibelenggu dengan perebutan kuasa berlarutan? Apatah lagi dalam kedudukan kerajaan hari ini begitu goyah dengan majoriti tipis diselamatkan oleh hanya satu, dua kerusi. Bila UMNO menarik semula sokongannya menerusi 14 ahli Parlimennya, bukankah kerajaan yang ada sudah hilang majoriti?

Usul undi percaya di Parlimen pada September ini barangkali jawapannya, tetapi adakah sekiranya ia pemenang yang sama, boleh memperbaiki kelemahan sedia ada?

Kelihatannya ada pihak cuba mengalih isu kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) waktu ini kepada isu perebutan kuasa. Padahal sebenarnya bukan perebutan kuasa, tetapi hanya untuk menyekat daripada menjadi failed state. Benarkah?

Perhatikan ke negara tertentu, apabila pemimpinnya berdepan masalah, pucuk pimpinannya akan bertukar. Contohnya Jepun. Pada Ogos 2020, perdana menterinya yang paling lama berkhidmat, Shinzo Abe mengumumkan perletakan jawatan kerana masalah kesihatan yang dihadapinya. Kata Abe, beliau perlu menjalani rawatan jangkitan usus yang dihidapi, penyakit sama yang menyebabkannya berundur buat seketika pada 2007. Abe kemudian digantikan dengan sekutu lamanya, Yoshihide Suga yang memenangi pemilihan kepemimpinan Parti Liberal Demokrat.

Demikianlah juga terjadi di Amerika Syarikat. Tidak ada isu bila pucuk kepimpinan berubah daripada Donald Trump ke Joe Biden. Elok, lancar sahaja urusan pentadbiran kerajaan.

Di tanah air hari ini seperti seolah-olah semua yang dibuat serba tak kena. Kes Covid-19 semakin menggila, melepasi sejuta kes dengan jumlah kematian untuk tahun ini sahaja meragut 10,000 nyawa. Polisi cacamarba dan ada yang flip-flop, pusingan U. Sudah tujuh bulan darurat, tapi hasilnya lebih teruk. Mengapa?

Ubah nakhoda tidak menjadikan kita lumpuh sebab jentera kerajaan masih sama. Misalnya, semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan tempoh hari (24 Februari 2020), jentera kerajaan elok-elok sahaja menguruskan pentadbiran negara. Kegagalan mengekang penularan pandemik Covid-19 silih berganti dengan kelemahan menangani masalah ekonomi. Ketika kes Covid-19 tengah naik berbelas ribu termasuk melepasi 20,000 kes dalam satu dua hari, tiba-tiba kerajaan beri kelonggaran rentas negeri, dine-in dan berjemaah di masjid. Hendak ambil hati rakyat atau mahu menjaga nyawa rakyat?

KOREA, SINGAPURA

Meskipun ada tanggapan dan cakap-cakap waktu ini pilihan raya umum mengejut perlu dielakkan untuk membendung penularan pandemik, mengapa pula Korea Selatan dan Singapura boleh melakukannya?

Korea Selatan mengadakan pilihan raya pada 15 April 2020 dengan langkah berjaga-jaga Covid-19 yang serius semasa wabak itu melanda negara berkenaan. Malah, negara itu memperoleh rekod pengundi yang tinggi daripada mana-mana pilihan raya umum sejak 1992. Semasa pilihan raya dilangsungkan, Korea Selatan melaksanakan langkah-langkah seperti pemeriksaan suhu badan, memastikan jarak selamat dan mewajibkan pengundi memakai pelitup serta sarung tangan plastik.

Apabila Singapura mengadakan pilihan raya umum pada 10 Julai 2020 semasa republik itu sedang memerangi Covid-19, aspek kesihatan dan keselamatan awam menjadi pertimbangan utama. Cara pengundian dilakukan berbeza dari sebelumnya. Selain interaksi secara fizikal, parti politik dan calon memanfaatkan platform media sosial untuk mendekati kira-kira 2.6 juta pengundi. Calon-calon juga mengoptimumkan kemahiran mereka dengan baik dalam memikat pengundi kerana mereka diberi siaran televisyen peringkat kebangsaan menerusi Siaran Politik Parti dan Kawasan.

Dengan mengambil kira kesan pilihan raya negeri (PRN) Sabah sepanjang kempen 14 hari dari 12 hingga 26 September tahun lalu yang mencetuskan gelombang baharu jangkitan Covid-19, langkah-langkah ketat boleh difikirkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjayakan PRU-15 ini. Dalam hal ini, PRN Sarawak boleh dijadikan eksperimen ke arah PRU-15 apabila darurat di negeri itu berakhir 2 Februari 2022 dengan cara memanfaatkan semua teknologi digital dan komunikasi melalui maya.

Pada ketika UMNO juga masih diharapkan oleh sebahagian besar orang Melayu dalam membawa keluar suasana suram ekonomi dan pengangguran meningkat melepasi 700,000, parti itu wajib diperkuatkan. Tentunya juga agak melucukan bila mereka yang mengkhianati UMNO memberikan alasan sebab Presiden tidak ada arah tuju. Adakah ini bermaksud mereka yang berdiri di belakang Presiden semasa sidang akhbar Majlis Tertinggi (MT) minggu lepas sekadar menjadi pak turut seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Najib Tun Razak?

Kepada ahli-ahli Parlimen UMNO yang beria-ia menyokong kepimpinan kerajaan PN sekarang, kenapa mereka tidak sertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja? Kalau sudah tidak percaya pada nakhoda UMNO, pilihan terbaik ialah mereka pergi sahaja kepada nakhoda yang baharu, iaitu nakhoda PN.

Jangan diganggu-gugat dan menjadi api dalam sekam kepada UMNO. Jangan mencari dalih atau alasan untuk menghalalkan tindakan mengkhianati parti. Rakyat tunggu dan lihat sahaja pengkhianatan ini. Dan rakyat pastinya akan menghukum pemimpin yang tiada pendirian ini sehinggakan tergamak menjadi kuda tunggangan kepada nakhoda lain.

Ayuh kita bersama kapal dan nakhoda UMNO!

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Cukuplah bersama Nakhoda dari negara gagal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jangan benarkan sekolah dibuka 1 September – Tok Mat

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker