Zahid minta MP Umno yang sokong PN agar insaf dan kembali ke pangkal jalan

Kumpulan Ahli Parlimen UMNO yang masih lagi menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dinasihatkan untuk menginsafi kewajiban sebenar mereka, kata Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, mereka yang beliau maksudkan perlu memahami erti wakil rakyat yang sebenar – iaitu wakil kepada rakyat, bukan wakil kepada yang gagal menjaga rakyat.
Selain itu Ahmad Zahid berkata, kumpulan berkenaan juga digesa untuk menginsafi kewajipan mereka sebagai wakil rakyat daripada UMNO, iaitu sentiasa memihak kepada rakyat, mengutamakan rakyat dan mementingkan rakyat.
“Bukan memihak kepada mereka yang mahu mengekalkan penguasaan ke atas rakyat dan negara walau jelas telah gagal, membelakangi keluhuran Perlembagaan serta Institusi Diraja.
“Saya percaya kini adalah masanya untuk kita membuktikan kepada rakyat bahawa kita sebagai wakil rakyat daripada UMNO sanggup berpayah demi berdiri bersama rakyat. Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat telah kehilangan nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari,” katanya lagi.
Beliau dipercayai merujuk kepada barisan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang masih berada dalam Jemaah Kabinet, dan masih menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Pada 6 Ogos lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.
Naib Presiden UMNO itu berkata, selain itu kesemua Ahli Parlimen tersenarai bersetuju agar usul percaya dibentang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat, September ini.
Bagaimanapun, semalam UMNO telah mendedahkan dua warkah telah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masing-masing bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos lalu.
Ahmad Zahid memaklumkan warkah tersebut diutuskan kepada Al-Sultan Abdullah bertujuan mempersembahkan Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang membuat perakuan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Jelas beliau lagi, pendirian itu seiring dengan keputusan UMNO yang diputuskan melalui resolusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, mesej Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan juga perlu difahami, iaitu hubungan di antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, dan Ahli Parlimen UMNO mestilah diharmonikan demi kepentingan parti dan negara.
Sebagai Ahli Parlimen UMNO, tegasnya lagi, mereka semua termasuk dirinya sewajarnya lebih terkesan dengan kegagalan itu kerana rakyat yang menderita termasuk ahli-ahli UMNO sendiri.
“Juga pengundi-pengundi UMNO di kawasan kita. Kita tahu begitu ramai rakyat termasuk ahli dan pengundi UMNO tidak mampu bekerja, menjadi miskin dan muflis.
“Maka sudah tiba masa kita sebagai Ahli Parlimen UMNO menunjukkan dan membuktikan kepada rakyat bahawa kita berjuang untuk mereka,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, cara untuk membuktikan perkara itu adalah mudah, iaitu meninggalkan kerajaan PN yang gagal, dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO yang sebenar.
Selain itu Ahmad Zahid berkata, beliau turut mendoakan semua yang berkenaan melepasi ujian jawatan, kedudukan dan pesona yang sedang mereka lalui ketika ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker