Para Menteri tiba di Perdana Putra untuk pertemuan ketua parti PN
Para Menteri tiba di Perdana Putra untuk pertemuan ketua parti PN. Beberapa kenderaan membawa anggota Kabinet dilihat memasuki Perdana Putra di Putrajaya bermula 3.30 petang tadi dipercayai bagi membincangkan sokongan majoriti untuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Kenderaan yang membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan dilihat memasuki bangunan Pejabat Perdana Menteri itu pada 3.40 petang, disusuli Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainudin tujuh minit kemudian.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dijangka mempengerusikan perjumpaan khas ketua parti PN bagi membincangkan “langkah seterusnya”.
Terdahulu, FMT melaporkan pertemuan berkenaan akan diadakan selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Antara agenda utama dalam mesyuarat tertutup itu dipercayai mengenai usaha mempercepatkan Parlimen bersidang minggu depan dan membubarkan Parlimen.
“Nampaknya ada tekanan kepada Perdana Menteri supaya membuat usul undi percaya lebih awal dan tidak menunggu hingga persidangan Dewan Rakyat September ini,” kata sumber sambil menambah keputusan dijangka dibuat hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan rutin dengan Perdana Menteri sebelum mesyuarat Jemaah Menteri mengingatkan Muhyiddin berhubung peruntukan dalam perlembagaan berkaitan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Berdasarkan sumber di Istana Negara, Agong tidak secara eksplisit menitahkan Muhyiddin yang dikatakan kehilangan sokongan majoriti supaya meletak jawatan.
“Namun, Tuanku menyentuh Perkara 43(4) Perlembagaan,” kata sumber itu kepada FMT.
Perkara 43(4) Perlembagaan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah meletak jawatan dalam Jemaah Menteri, melainkan atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong.
Para Menteri tiba di Perdana Putra untuk pertemuan ketua parti PN
Baca Artikel Menarik :
- MACC arrests JB mayor over alleged kickbacks
- Apa tindakan UMNO seterusnya, ini jawapan Zahid
- Abang Allahyarham Siti Sarah positif Covid-19, tahap oksigen menurun
- Mastura enggan patuh tuntutan UMNO Kuala Kangsar
- Sindiran Harith Iskander dibalas baik Menteri Agama
- Resepi Sotong Goreng Madu Best Giler
Layari Laman Facebook MYKMU