Suara rakyat tak lagi bernilai jika ada isu ‘beli’ Ahli Parlimen

Suara rakyat tak lagi bernilai jika ada isu ‘beli’ Ahli Parlimen. Usul undi percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Parlimen, September ini dijangka membuka ruang kepada pihak kerajaan dan pembangkang untuk melakukan ‘tawar-menawar’ politik.

Walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertegas masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen, tindakan Perdana Menteri itu dilihat sebagai ‘delay tactic’ untuk terus mentadbir.

Penganalisis politik, Dr Ilyas Abdullah menegaskan, seandainya tindakan ‘membeli’ Ahli Parlimen – seperti didakwa berlaku – untuk mendapatkan kuasa pemerintahan menjadi norma baharu politik negara, maka suara rakyat yang diterjemahkan melalui pilihan raya tidak lagi bernilai.

“Sebaliknya, ia bertukar menjadi suara elit politik yang galak mencatur masa depan politik negara.

“Kata-kata keramat ‘daripada rakyat untuk rakyat’ juga sudah tidak relevan lagi berdasarkan senario politik semasa,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas mengenai pendirian UMNO menarik sokongan terhadap PN, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub itu berkata, ia sekali gus membawa polemik baharu berkait kestabilan kerajaan dan keabsahannya.

Katanya, perebutan tampuk kuasa tidak terhenti di situ apabila pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam satu sidang media tergempar baru-baru ini, mengumumkan sudah mendapat majoriti kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan serta mendakwa kerajaan PN sudah tumbang.

“Kepemimpinan UMNO diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menjelaskan pendirian ramai Ahli Parlimen parti itu dan BN yang selaras kenyataan PH itu.

“Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen PN termasuk UMNO dan BN menyangkal dakwaan terbabit dan dikatakan masih berdiri teguh bersama kepemimpinan Perdana Menteri, sekali gus menyangkal dakwaan terbabit.

“Hakikatnya, semua tindakan ini memberikan impak begitu besar kepada kestabilan politik dan juga imej negara,” katanya.

Katanya lagi, dalam praktis biasa, pihak yang terbukti mendapat majoriti boleh mentadbir negara.

“Bagaimanapun, dakwaan mempunyai majoriti sebaliknya disangkal pula pihak yang dikatakan sudah memberikan sokongan terhadap beliau,” katanya.

Suara rakyat tak lagi bernilai jika ada isu ‘beli’ Ahli Parlimen


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Hijrah agenda penting dalam dakwah Rasulullah S.A.W

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker