Koronavirus : Eksotik bawa bala

oleh Abdul Rahman Tajudin

KORONAVIRUS ialah spesies virus tergolong dalam sub famili Coronavirinae dalam famili Coronaviridae dalam order Nidovirales.

Ia sejenis virus yang membawa penyakit di dalam kategori zoonosis.

Zoonosis mudah merebak dengan cepat di antara haiwan dan manusia.

Koronavirus ini adalah virus yang beredar pada beberapa haiwan termasuk ular, kelawar dan juga katak.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS) menegaskan bahawa virus ini sangat signifikan dengan kelawar.

Islam adalah agama yang mementingkan aspek kesihatan dan pencegahan penyakit.

Islam melarang memakan haiwan liar yang mendatangkan penyakit termasuk makanan eksotik kerana ia mungkin pembawa penyakit sekali gus mampu menjangkiti manusia dan membunuh.

Firman Allah SWT: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.” Surah Al-Maidah (ayat 3)

Maka jelas kepada kita bahawa haiwan liar haram dimakan kerana ia boleh merosakkan sistem biologi manusia.

Kini, Wuhan adalah kota pertama terjadinya virus yang melanda dunia pada hari ini.

Hal ini terjadi mungkin diakibatkan oleh budaya mereka yang gemar menikmati juadah eksotik
tanpa mengira sesetengah haiwan liar pembawa kepada virus tertentu.

Berdasarkan hadis bermaksud: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.” Hadis Riwayat Muslim (No. 1934) dan Abu Daud (No. 3803)

Larangan ini mengandungi hikmah untuk penjagaan kesihatan insan dan menjaga sistem biologi manusia agar tidak rosak oleh virus yang mungkin timbul daripada badan haiwan liar ini.

Allah SWT mengharamkan haiwan liar terbabit kerana membawa keburukan kepada manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.” Surah Al-A’raf (ayat 157)

Apabila terjadinya wabak penyakit, Nabi Muhammad SAW melarang migrasi.

Ini memberi gambaran bahawa penduduk di sesuatu kawasan yang terkena sesuatu penyakit berjangkit dilarang keluar dari tempatnya dan orang luar dilarang masuk.

Ini langkah pencegahan agar virus ini tidak merebak secara meluas dan hikmah tindakan Rasulullah SAW itu memberi gambaran secara jelas menerusi bahasa moden yang disebut sebagai kuarantin.

Rasulullah SAW ketika berbicara mengenai wabak penyakit menyarankan agar migrasi dihentikan serta-merta di mana saja dan baginda pernah bersabda dengan maksud: “Jika kamu mendengar taun (wabak penyakit) di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Hadis ini mengajar kita mengenai tindakan dalam bahasa moden sebagai kuarantin agar penyakit atau wabak ini tidak tersebar secara meluas.

Penulis adalah Felo Pusat Naratif Menangani Extremism Kekerasan (CONCAVE), Institut Pengajian Islam dan Strategik (ISSI)

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker