Krisis Kerajaan-Istana, Mahkamah Persekutuan pilihan terakhir

Krisis Kerajaan-Istana, Mahkamah Persekutuan pilihan terakhir.  Mahkamah Persekutuan adalah pilihan terakhir untuk merungkai persoalan berbangkit berhubung Perlembagaan Persekutuan membabitkan Proklamasi Darurat dan pembatalan ordinan berkaitan yang menjadi pertikaian antara pihak istana dan kerajaan.

Mengikut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk Mahkamah Persekutuan berhubung pendapat sebarang persoalan berbangkit membabitkan isu Perlembagaan dan mahkamah itu hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal dirujuk itu secara terbuka.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, peguam veteran, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, Mahkamah Persekutuan boleh menjadi peranan penting bagi menjawab segala kekeliruan yang timbul sekali gus menjadi jalan keluar penyelesaian mengenai pertikaian pembatalan Ordinan Darurat.

Katanya, selaku mahkamah tertinggi negara ini, segala keputusan digunakan badan kehakiman itu bakal menjadi rujukan dan precedent (mengikat) membabitkan proses perundangan negara selama ini.

“Isu bidang kuasa pembatalan darurat sama ada bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri yang ditimbulkan perlu dijelaskan Mahkamah Persekutuan seperti mana dinyatakan dalam Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.

“Selagi belum dijelaskan, selagi itu timbul pelbagai persoalan hingga boleh mengeruhkan keadaan apatah lagi di dalam situasi Covid-19. Saya percaya keputusan Mahkamah Persekutuan kelak menjadi jalan penyelesaian berkenaan isu ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Perkara itu sangat penting ekoran dua persoalan sama ada penamatan darurat adalah kuasa mutlak Agong atau Seri Paduka perlu memperkenan setelah menerima nasihat kerajaan berdasarkan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan wajar menjadi platform terakhir jika tiada penyelesaian dibuat dalam masa terdekat termasuk memohon maaf kepada Seri Paduka di atas kekhilafan dilakukan oleh pihak kerajaan.

Khamis lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan sedangkan ia belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Krisis politik, Perlembagaan harus diselesai segera

Sebaliknya Pejabat Perdana Menteri menyatakan apabila darurat tidak bersambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan Kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat, namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses yang betul selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Firoz Hussein berpandangan, Kabinet tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan Ordinan Darurat kerana tiada peruntukan dalam fasal-fasal Perlembagaan Persekutuan yang menyebut punca kuasa perkara tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Perlembagaan menyatakan terdapat dua kaedah untuk membatalkan undang-undang iaitu setelah mendapat perkenan Seri Paduka atau dibahaskan dan diundi di Parlimen.

“Kuasa mengisytiharkan darurat adalah kuasa mutlak Agong, jika Seri Paduka tidak berkenan setelah menerima nasihat Kabinet, maka perkara itu tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Bagi penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku ketua kerajaan perlu menghadap Seri Paduka untuk menjelaskan isu yang berbangkit terhadap pemahaman serta tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, isu itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana ia dilihat tidak baik apabila pihak istana dan kerajaan bertentangan antara satu sama lain serta akan wujud pihak ketiga yang mengambil kesempatan.

“Malah ia amat penting demi negara dan saya percaya kedua-dua pihak mahu yang terbaik untuk tanah air.

“Tetapi jika ada pihak mahu mengalah, ia adalah amat dialu-alukan, namun perkara ini perlu dimulakan kerajaan. Bersikap bertolak ansur antara setiap adalah amat perlu demi kebaikan bersama.

“Jadinya Tan Sri Muhyiddin perlu menghadap Agong sebagai jalan tengah selaku kaedah paling minimum pertikaian apatah lagi pertemuan bersemuka dilihat mampu menjernihkan keadaan,” katanya

Krisis Kerajaan-Istana, Mahkamah Persekutuan pilihan terakhir


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ismail Sabri sahkan 40 Ahli Parlimen BN sokong Kerajaan PN adalah benar

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker