Kewajipan kerajaan adalah patuh titah Yang di-Pertuan Agong

Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain ‘wajib’ mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar pembatalan ordinan darurat perlu dibentang serta dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Malah difahamkan, penzahiran rasa dukacita terhadap sesebuah kerajaan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah pertama kali berlaku sekali gus memberi kesan kepada kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, titah Yang di-Pertuan Agong agar ordinan dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah selari dengan Perlembagaan seperti terkandung dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.



Malah katanya, penzahiran rasa dukacita tersebut bukanlah melibatkan krisis antara Yang di-Pertuan Agong dengan para menteri sebaliknya Seri Paduka telah melaksanakan kewajiban sebagai ketua negara dan pelindung Perlembagaan selain mematuhi keluhuran undang-undang.

“Darurat akan tamat pada 1 Ogos ini, kerajaan tidak ada pilihan jika berkehendakkan pembatalan ordinan, maka perlu terlebih dahulu bentangkan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, seterusnya usul untuk ungkaikannya boleh dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara seterusnya melalui proses undian.

 

“Ordinan tidak boleh dibatalkan oleh Kabinet tetapi Kabinet boleh pohon Seri Paduka batalkan ordinan selepas ia dibentang di Parlimen,” katanya merangkap Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP).



Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman pembatalan darurat di Parlimen.

Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan sudah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Sementara itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, jemaah Menteri tiada kuasa untuk membatalkan ordinan darurat kerana penggubalan ordinan tersebut adalah di bawah kuasa perundangan, dan dalam kes ordinan darurat, kuasa itu terletak pada Parlimen selaras dengan prinsip pemisahan cabang kuasa.

“Kedua, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk membatalkannya selepas ordinan itu dibentang di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta ketiga prosedur yang betul di bawah Perkara 150(3) perlu dipatuhi, justeru ordinan itu masih sah, sehinggalah dibatalkan mengikut kaedah-kaedahnya,” katanya



 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


40 Ahli Parlimen BN tetap kekal sokong Muhyiddin Yassin



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker