Kerajaan tidak halang suara pembangkang

Kerajaan tidak halang suara pembangkang. Ramai terkejut bila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan atas desakan bertalu-talu ahli-ahli Parlimen pembangkang mengumumkan pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu bahawa Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan proklamasi darurat baharu apabila ia tamat 1 Ogos ini. Dan ia akan membatalkan semua ordinan darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat ini.

Ekoran itu, cubaan telah dibuat oleh Ahli-Ahli Parlimen Sepang dan Puchong, Mohamed Hanipa Maidin dan Gobind Singh Deo untuk merujuk Takiyuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas dakwaan beliau mengelirukan Parlimen.

Lebih mengejutkan apabila semalam, Istana Negara sendiri mengeluarkan kenyataan menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataan yang dibuat oleh Takiyuddin kerana ia dikatakan belum lagi diperkenan oleh Seri Paduka, sekali gus dikatakan adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.



Lebih jauh lagi, ia menyebut permohonan pembatalan semua ordinan darurat yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen telah membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.

Setelah disemak kepada rekod Penyata Perbahasan Parlimen, didapati Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dicatat mengumumkan pada 26 Julai,

“Mesyuarat Khas ini juga telah membentangkan semua risalat proklamasi darurat dan ordinan darurat yang dibuat di bawah proklamasi darurat.”

Oleh itu, keperluan untuk pembentangan ini dikira telah terpenuh, hanyasanya Takiyuddin berpendapat bahawa Perkara 150 (3) yang menyebut bahawa ordinan-ordinan darurat boleh dirungkaikan oleh Parlimen jika ia tidak terlebih dahulu dibatalkan oleh kerajaan sudah tidak relevan bila ordinan-ordinan darurat sudah diputus untuk dibatalkan oleh kerajaan.



Adalah difahamkan bahawa kerajaan selaras dengan adab dan konvensyen lazim, sebenarnya tidak berhasrat membuat apa-apa pengumuman mengenai keputusan mesyuarat Kabinet pada 21 Julai sehinggalah perkenan Yang di-Pertuan Agong diperoleh.

Bagaimanapun, bila ahli-ahli Parlimen pembangkang terus-terusan mempersoalkannya, Takiyuddin selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas Parlimen dan undang-undang mungkin merasakan menjadi kewajipan beliau untuk memaklumkan Parlimen mengenai keputusan ini.

Petikan penuh kata-kata Takiyuddin mengenai hal ini: “Saya ingin mengesahkan pada hari ini di dalam Dewan ini bahawa…kerajaan telah buat keputusan berdasarkan kepada Perkara 150(3) untuk membatalkan semua ordinan darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat ini.”

Kewajipan kerajaan adalah patuh titah Yang di-Pertuan Agong



ENAM ORDINAN

Setelah didesak oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengenai tarikh keputusan ini dibuat, Takiyuddin menyebut, “semua ordinan darurat, sebanyak enam ordinan darurat yang dibuat telah diputuskan untuk dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai 2021.”

Dari sudut Perlembagaan, pembatalan ordinan-ordinan darurat adalah berada dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku pemasyhurnya tetapi sama dengan kuasa pemasyhurannya, kuasa pembatalan ini pada realitinya berada pada jemaah menteri.



Ini kerana banyak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah mengesahkan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal-soal darurat bukanlah kuasa budi bicara mutlak tetapi adalah kuasa yang dijadikan tertakluk kepada nasihat jemaah menteri.

Paling berautoritatif pastilah keputusan majoriti yang ditulis oleh Lord Diplock di dalam kes Teh Cheng Poh vs. Public Prosecutor (1979 1 MLJ 50) yang menyebut bahawa “the reference to Yang di-Pertuan Agong’s opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet.”

Begitupun, perkara ini tidak sepatutnya menimbulkan apa-apa masalah kerana kenyataan media Istana Negara sendiri menyebut Yang di-Pertuan Agong sedia maklum mengenai keperluan Seri Paduka bertindak mengikut nasihat jemaah menteri, hanyasanya Seri Paduka berpandangan bahawa Seri Paduka mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak.

Sebelum perkara ini berlanjutan menjadi satu kemelut yang merugikan negara, lebih-lebih lagi di saat semua pihak diminta fokus kepada usaha memerangi wabak Covid-19 yang kelihatan semakin membarah di negara ini, adalah amat mustahak untuk Takiyuddin segera memohon ampun maaf daripada Yang di-Pertuan Agong serta membuat pembetulan atau penjelasan yang perlu atas segala kekhilafan yang berlaku kepada Parlimen.



BERPOLEMIK

Memanglah benar Takiyuddin tidak menyebut secara langsung bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat kerana apa yang dinyatakan oleh beliau hanyalah kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkannya, tetapi apabila beliau tidak menyebut sama bahawa kerajaan sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atasnya, ramai yang mendengarnya akan terkeliru.

Adalah dipercayai Yang di-Pertuan Agong tidak akan mempunyai masalah untuk memberi perkenan ke atas pembatalan ordinan-ordinan darurat, selaras dengan pendirian Raja-raja Melayu sendiri sebelum ini yang berpandangan bahawa darurat tidak perlu diteruskan, cuma mungkin sahaja Seri Paduka mahukan ia dibuat mengikut prosedur yang betul mengikut pandangan Seri Paduka.

Tidak guna untuk berpolemik ke atas perkara yang tidak begitu perlu pada waktu keharmonian amat diperlukan sekarang. Oleh itu, jika Yang di-Pertuan Agong mahu ordinan-ordinan darurat ini dirungkaikan di Parlimen, maka perlulah diusahakan untuk ia dilakukan kerana adalah diyakini perungkaian ini akan disokong oleh semua pihak.



Semoga Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ini akan berakhir dengan baik serta mampu memberi petanda yang jelas bahawa kerajaan sentiasa akur dan tidak mahu berkonfrontasi dengan pihak istana serta kerajaan masih memberi ruang luas kepada pembangkang untuk bersuara dan mempersoalkan tindakannya.

Dr. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Kerajaan tidak halang suara pembangkang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Eksekutif langkau kuasa Agong suatu perkara serius – Presiden Persatuan Peguam Muslim

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker