Batal darurat tanpa restu Agong rosak imej, kredibiliti kerajaan

Sebaran :

Batal darurat tanpa restu Agong rosak imej, kredibiliti kerajaan. Tindakan kerajaan mengumumkan penamatan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh merosakkan imej dan kredibiliti kerajaan.

Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir berkata, tindakan tersebut pasti akan memberi pukulan teruk terhadap reputasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat seolah-olah tidak faham akan pelaksanaan undang-undang dan perlembagaan negara.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata, kerajaan telah memanipulasi undang-undang untuk kepentingan politik mereka dan ia boleh memberi implikasi serta kesan yang cukup serius.

“Ini menunjukkan amalan moral politik pihak kerajaan yang teruk. Sebagai pemimpin negara, kerajaan harus menunjukkan contoh yang jelas bukan sahaja menghormati perlembagaan tetapi juga menjunjung tinggi Seri Paduka sebagai institusi tertinggi negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Penganalisis Politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, sekiranya kerajaan gagal memberikan justifikasi rasional berhubung isu tersebut, ia boleh memberi impak negatif terhadap reputasi kerajaan. Ujar beliau, pertembungan antara kerajaan dengan pihak istana ketika ini sudah pasti akan memberikan isyarat yang berbeza kepada masyarakat umum.

“Jadi, kerajaan harus melakukan sesuatu untuk memastikan mereka tidak berada dalam kedudukan defisit kepercayaan memandangkan pihak istana sendiri telah mengeluarkan kenyataan mengenai isu pembatalan darurat tersebut.

“Kerajaan harus membetulkan semula, barangkali mengusulkan undi untuk menyokong menghentikan perlanjutan tersebut dan juga berakhirnya darurat.

“Kemudian persembahkan kepada Seri Paduka supaya keadaan ini tidak berpanjangan. Ini kerana ia akan menunjukkan seolah-olah wujud ketegangan antara kerajaan dan istana,” jelas beliau.

Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub pula menegaskan, mana-mana pihak termasuk dalam konteks Parlimen mesti menghormati perlembagaan negara.

Beliau berkata, sebarang urusan berkaitan dengan pemansuhan proklamasi darurat atau ordinan sewajarnya dibincangkan antara kerajaan dan Seri Paduka.

“Saya melihat apa-apa tindakan yang hendak diambil oleh kerajaan atau menteri mestilah berasaskan perlembagaan,” ujar beliau.

Tambah Mohammad Tawfiq, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sehingga kini masih belum menjelaskan sejauh mana pembatalan tersebut mengikut perlembagaan atau prosedur sepatutnya.

“Namun sebagai rakyat biasa kita sewajarnya menunggu penjelasan Takiyuddin atau Peguam Negara.

“Kerajaan juga perlu berjiwa besar dan memohon ampun kepada Seri Paduka atas kekhilafan yang berlaku dan memberi penjelasan sewajarnya.

“Jika ini dilakukan, saya yakin rakyat akan memandang tinggi dan menghormati kerajaan yang berani mengakui kekhilafan,” katanya.

Batal darurat tanpa restu Agong rosak imej, kredibiliti kerajaan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Biadap pada Agong, Tok Mat nasihat Ahli Parlimen UMNO jauhkanlah diri

 


Sebaran :

Leave a Reply