Speaker, MKN perlu buat keputusan segera

Speaker, MKN perlu buat keputusan segera. Speaker Dewan Rakyat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa untuk menilai semula kewajaran persidangan Dewan Rakyat selama lima hari bermula Isnin ini.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia berikutan seramai 35 individu yang terlibat dengan persidangan berkenaan telah disahkan positif Covid-19 menerusi ujian saringan khas di Parlimen.

Beliau berkata, situasi itu menunjukkan bahawa terdapat risiko yang tinggi bagi mengadakan persidangan bermula 26 Julai sehingga 2 Ogos ini.

“Saya bukanlah ahli Parlimen yang menentang demokrasi, bahkan saya menyokong penuh pembukaan Parlimen ini bagi membincangkan dan memperhalusi segala perkara penting melibatkan kebajikan rakyat serta dasar negara dalam menangani Covid-19.

“Saya melihat terdapat risiko yang agak tinggi. Varian Delta yang ada ketika ini dikatakan boleh menjangkiti dalam tempoh hanya 15 saat, dan berpotensi untuk tersebar melalui udara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Speaker Dewan Rakyat dan MKN perlu membuat penilaian segera kerana hanya mempunyai baki beberapa jam sebelum persidangan bermula.

Beliau juga berpandangan bahawa suntikan satu dos kepada pegawai ahli Parlimen tidak menjadi jaminan mereka bukan pembawa virus atau berpotensi mendapat jangkitan.

“Jika keadaan tidak selamat dan terlalu berisiko, mengapa tidak persidangan ini ditangguhkan dahulu buat seketika untuk tempoh tujuh hingga 10 hari.

“Semua yang bakal terlibat dengan persidangan Parlimen ini perlu mengamalkan kuarantin kendiri dahulu sekurang-kurangnya 10 hari, seperti mana yang diamalkan ketika ini dan kemudian buat semula ujian saringan,” ujar beliau.

Tambah Jalaluddin, beliau bukan mementingkan diri sendiri atau takut mendapat jangkitan, namun risau sekiranya menjadi punca penyebaran jangkitan di kawasannya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia merekodkan 17,045 kes harian positif Covid-19 yang merupakan angka tertinggi setakat ini.

“Seramai 220 ahli Parlimen yang ada pada hari ini datang dari seluruh negara.

Mungkin mereka bersih ketika memasuki kawasan Parlimen, tapi apa pula jaminan mereka juga bersih sewaktu pulang ke kawasan masing-masing?

“Kita harus mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Kerana berkumpul di satu kawasan yang berisiko tinggi dan kemudian pulang ke negeri masing-masing, akhirnya menghasilkan gelombang yang tidak tertampung sehingga kini.

“Adakah kita bersedia untuk menghadapi Kluster Parlimen pula?” soal beliau.

Speaker, MKN perlu buat keputusan segera


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Zahid beri amanah Ahli Parlimen Umno harus undi batal kuasa darurat

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker