Selepas vaksin dua dos apa?
Selepas vaksin dua dos apa?
Oleh Mohsin Abdullah
Sabtu lalu saya menerima suntikan vaksin dos kedua. Alhamdulillah. Ikut amalan lazim masa kini saya pun muat naik gambar di Facebook dan Instagram mengumumkan “saya sudah lengkap 2 dos”.
Ramai kawan, kenalan, dan pembaca penulisan saya “like” catatan itu sambil beri tahniah. Terima kasih saya ucapkan. Ada yang kenal saya secara peribadi mencatat dalam ruang komen sekarang bolehlah saya pergi jalan-jalan. Maklumlah dah dapat dua dos vaksin.
Mereka bergurau dan tahu saya tahu mereka bergurau. Namun respon saya begini: “Jangan. Kena tunggu dulu. Kita rakyat marhaen jangan beri peluang untuk dipersalahkan jika atau bila kes Covid-19 melonjak”. Saya nyatakan itu dengan serius kerana rakyat kerap dipersalahkan setiap kali ada yang tak kena. Lagi pun dua dos vaksin bukan bererti wabak sudah berakhir. Perang belum dimenangi.
Apa pun ketika saya menulis artikel ini, FMT baharu sahaja menyiarkan laporan bahawa kerajaan akan mengumumkan kelonggaran buat individu lengkap dua dos selepas Aidiladha. FMT memetik Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian.
Malah, kata Ismail, kerajaan juga sedang mengkaji “sektor yang boleh dilonggarkan apabila mendapat dua dos vakin”. Ini juga akan diumumkan selepas hari raya.
Sehari sebelum itu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan 100%s populasi dewasa dijangka menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada Oktober. Ini susulan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dipercepatkan.
Untuk berlaku adil perlu ditegaskan kemungkinan sasaran itu boleh dicapai.
Menurut bekas perdana menteri Najib Razak, berdasarkan laporan dan data yang diperolehi, paras vaksinasi bagi banyak negara sudah ada pada tahap yang tinggi dan kadar pemberian vaksin setiap hari mereka semakin rendah.
“Sebab itu bekalan vaksin dunia sudah mula menjadi lambakan,” kata Najib di Facebook. Kata beliau lagi “sebab itu juga beberapa negara yang sudah selesa dengan stok vaksin mereka telah menghadiahkan vaksin kepada Malaysia”. Beliau merujuk kepada Jepun, AS, dan China yang menyumbangkan jutaan dos vaksin sejak bulan lalu, sekali gus menyaksikan kadar vaksinasi di Malaysia turut naik.
Oleh itu, tidak menghairankan Muhyiddin mensasar vaksinasi 100 % populasi Oktober ini. Namun seperti dinyatakan tadi ini membabitkan populasi dewasa. Bagaimana pula dengan golongan yang belum dewasa? Khususnya murid sekolah kerana menurut Kementerian Pendidikan, sekolah akan dibuka secara berperingkat mulai 1 September.
Itu merupakan satu bulan sebelum sasaran Muhyiddin buat rakyat dewasa. Saya harap pada atau sebelum September golongan guru sudah disuntik dua dos vaksin. Berbalik persoalan tadi. Bagaimana pelajar sekolah?
Kata pemimpin Amanah, Salahuddin Ayub, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana rancangannya untuk mengendalikan pelajar yang tidak divaksin menjelang pembukaan semula sekolah. Betul kata beliau. Ringkasnya apa rancangan kerajaan?
Setiap keputusan yang diumumkan mesti diiringi perancangan rapi. Sehingga kini belum ada butiran selain pengumuman sekolah akan dibuka September ini.
Bagi Najib, kerajaan mesti mengizinkan vaksinasi bagi remaja berusia 12 tahun hingga 18 tahun. Perlu diingat ini sudah pun dilakukan di beberapa negara sejak Mei lagi, termasuk jiran kita, Singapura. Malaysia, kata Najib, perlu mengambil serius untuk membenarkan vaksinasi bagi golongan remaja tanpa paksaan.
Apa pula perancangan untuk memastikan keselamatan pelajar sekolah yang berusia bawah 12 tahun?
Bagi golongan dewasa yang telah menerima dua dos vaksin, Najib mencadangkan dos ketiga atau “booster shot” untuk meningkatkan kadar keberkesanan vaksin. Sebenarnya ini ada dicadangkan pakar perubatan awal tahun ini lagi.
Tetapi kebimbangan tetap ada meskipun tahap vaksinasi sudah tinggi. Kebimbangan itu disuarakan juga oleh Najib.
Anda mungkin bukan peminat Najib, tetapi rasanya anda juga bertanya soalan sama yang Najib tanyakan – apa akan terjadi jika kadar vaksinasi yang tinggi tidak menurunkan kes baharu dan kematian baharu Covid-19 “memandangkan kerajaan Perikatan Nasional hanya bergantung kepada vaksin ketika ini?”.
Seperti saya katakan tadi, vaksinasi bukan penamat cerita walaupun elemen memerangi Covid-19. Perang belum dimenangi. Itu realitinya.
Kerajaan mesti belajar daripada pengalaman negra lain. Perlu rancang sekarang apa perlu dilakukan. Mesti ada pelan A, pelan B, dan juga pelan C. Satu pelan sahaja tidak memadai.
Perlu belajar daripada kesilapan masa lalu. Dalam erti kata lain, mesti berani mengakui kesilapan yang telah dibuat. Hanya dengan mengaku silap boleh melahirkan rancangan baharu yang berkesan. Semoga Tuhan melindungi kita.
Salam Aidiladha buat semua. FMT
Selepas vaksin dua dos apa?
Baca Artikel Menarik :
- Polis cari warga asing solat sunat Aidiladha luar surau
- Pemuzik cedera perut ditikam penagih
- Polis kesan keluarga panjat palang besi lari dari kawasan PKPD
- Osman Sapian bidas Puad, Jaga UMNO bukan BersatuBersatu
- Ratusan ‘Solat Raya’ luar surau, Polis mohon maaf terlepas pandang [VIDEO]
- Asia Tenggara medan perang terburuk pandemik COVID-19