Asia Tenggara medan perang terburuk pandemik COVID-19

Asia Tenggara medan perang terburuk pandemik COVID-19

Asia Tenggara muncul antara ‘medan perang’ terburuk di dunia bagi wabak COVID-19, ekoran varian Delta yang cepat merebak dan kelewatan pemberian vaksin.

Dengan penduduk kira-kira dua kali ganda Amerika Syarikat (AS), momentum wabak di rantau ini melebihi negara yang terjejas teruk sebelum ini seperti Amerika Latin dan India.

Jumlah kes di Asia Tenggara melonjak 41 peratus dalam tempoh seminggu lalu kepada lebih setengah juta, demikian menurut data Universiti Johns Hopkins.

Kematian meningkat 39 peratus dalam tempoh tujuh hari hingga Rabu lalu, juga kadar terpantas di dunia dan kemungkinan meningkat lebih tinggi kerana lonjakan angka kematian biasanya menyusuli peningkatan kes.

Sementara itu, kadar vaksinasi keseluruhan Asia Tenggara hanya sembilan peratus, ketinggalan jauh berbanding kawasan maju seperti Eropah Barat dan Amerika Utara, di mana lebih separuh penduduk menerima suntikan.

Sedang sebahagian besar dunia maju dibuka semula kepada perniagaan, keadaan yang semakin buruk di sebahagian besar Asia Tenggara bermakna mereka terpaksa mengenakan langkah sekatan yang merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, hanya Singapura terkecuali, di mana sempadan yang ditutup dan kadar vaksinasi tinggi membendung virus yang terdapat dalam satu-satunya ekonomi maju di rantau ini.

Pasaran saham di seluruh rantau ini turut merosot sejak beberapa minggu lalu, dengan Indeks MSCI Asean kehilangan 1.7 peratus sepanjang bulan ini.

Sementara itu, pemerintah terpaksa melanjutkan defisit fiskal mereka dan bank pusat pula kekurangan strategi untuk menangani masalah ekonomi.

Pakar ekonomi kanan Asia di Oxford Economics yang berpangkalan di Singapura, Sian Fenner, berkata proses pemulihan ekonomi serantau adalah amat mencabar.

“Susulan langkah vaksinasi yang perlahan, kecuali di Singapura, kami jangkakan pemulihan ekonomi adalah sukar, dengan risiko jangka panjang berkaitan sekatan pergerakan yang lebih ketat.

“Peningkatan ketidakpastian juga boleh menyebabkan ketidaktentuan ekonomi terus berlanjutan,” katanya.

Indonesia, ekonomi terbesar di Asia Tenggara, mengatasi India dalam kes harian baru minggu ini, mengukuhkan kedudukannya sebagai medan penularan virus baru Asia, sementara sebilangan negara jirannya juga melihat jumlah rekod kes.

Indonesia, Thailand dan Filipina mengurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka bagi tahun ini, dengan Malaysia mengatakan ia akan segera menyusul.

Vietnam, antara ekonomi dunia yang terus berkembang kukuh tahun lalu, mencapai pertumbuhan yang lebih rendah berbanding unjuran bagi tempoh separuh pertama 2021 dan kini melawan coronavirus di kawasan menempatkan taman industri utamanya.

Sebelum pandemik, gabungan ekonomi terbesar di Asia Tenggara adalah yang kelima terbesar di dunia, di belakang Jerman, menurut data Bank Dunia. BH

Asia Tenggara medan perang terburuk pandemik COVID-19


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buat live tayang ‘v’ dalam kereta api

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker