Tajuddin sahkan ‘Itu memang suara saya’

Sebaran :

Tajuddin sahkan ‘Itu memang suara saya’. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan rakaman audio percakapan mirip suara beliau sewaktu mesyuarat MKT Rabu minggu lalu yang tular sejak Isnin malam, adalah sahih.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, beliau terpanggil untuk mengesahkan butiran rakaman audio tular berdurasi 15 minit itu, bagi mengelakkan dakwaan fitnah.

Jelas beliau, penegasan pihaknya yang menyifatkan keputusan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada saat rakyat bergelut dengan krisis Covid-19 adalah tidak sesuai, bersandarkan suara hati dan kehendak rakyat sendiri yang menuntut sebarang usaha berpolitiking pada saat pandemik perlu dihentikan serta-merta.

“Rakaman audio tular itu benar. Kalau saya tidak ulas, nanti macam-macam orang cakap.



“Saya membuat penjelasan panjang lebar dan mempersoalkan keputusan MKT UMNO kerana sekarang bukan ‘timing’ sesuai untuk UMNO keluar kerajaan PN.

“Hal ini disebabkan kerajaan PN sedang bertungkus-lumus untuk menangani masalah Covid-19 serta kesusahan rakyat. Waktu sekarang sepatutnya jangan kita sibuk hendak jatuhkan kerajaan kerana rakyat tengah susah dan mereka tidak puas hati dengan orang politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tajuddin berkata demikian bagi mengulas isu penularan rakaman audio percakapan beliau berdurasi 15 minit sewaktu mesyuarat MKT UMNO, Rabu minggu lalu.

Rakaman audio percakapan Tajuddin itu dipercayai mula disebarkan melalui laman Facebook Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada Isnin malam.



Kandungan rakaman audio tular itu turut mendedahkan luahan Tajuddin yang menempelak pucuk kepimpinan UMNO yang dianggap beliau melakukan banyak kesilapan dalam memutuskan beberapa kerjasama strategik termasuk membentuk kerajaan PN tahun lalu.

“Banyak keputusan yang kita buat yang lepas semuanya silap. Masuk PN (Perikatan Nasional), silap. Muafakat Nasional (MN) kita tubuhkan, kita tak jaga baik-baik, silap.

“Kita nak bekerjasama dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun silap, ‘so many things’ silap,” kata Tajuddin ketika mesyuarat itu.

Mesyuarat MKT UMNO sebelum ini membuat ketetapan bahawa parti itu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta merta.



Ketika mengumumkan keputusan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta Muhyiddin supaya berundur secara terhormat kerana telah kehilangan sokongan.

Sementara itu, Tajuddin selaku Pengarah Pilihan Raya UMNO turut mengakui tempoh masa sekurang-kurangnya setahun diperlukan parti itu bagi mengukuhkan peluang memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau juga berpandangan UMNO sepatutnya lebih menumpukan usaha memperkasakan jentera pilihan raya parti memandangkan tahap persiapan jentera di sebahagian besar kawasan pilihan raya, termasuk sebilangan kerusi pilihan raya yang UMNO menang tipis, tidak sampai 50 peratus.

“Waktu sekarang, UMNO mungkin berpeluang cerah memenangi PRU15, cuma gerak kerja mesti dipertingkatkan dan dikemaskan.

“Jangan kita bersikap ambil mudah peluang yang ada…macam orang berniagalah, kalau peluang cerah untuk berniaga, kita tidak ambil, kita akan hilang peluang itu. Segalanya bergantung kepada ‘right timing’,” katanya.

Tajuddin sahkan ‘Itu memang suara saya’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Perlantikan Ismail Sabri mendapat sokongan padu Ketua-Ketua Bahagian UMNO


Sebaran :

Leave a Reply