Sekarang bukan masa tarik balik sokongan – Tajuddin

Sekarang bukan masa tarik balik sokongan – Tajuddin

Semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju menarik sokongan untuk kerajaan sedia ada, tetapi mereka tidak bersetuju melakukannya sekarang, kata ahli MKT, Tajuddin Abdul Rahman yang mengingkari arahan presiden parti.

Tajuddin mengesahkan satu rakaman video di media sosial yang menunjukkan beliau tidak bersetuju dengan pemimpin parti adalah “tulen”.



Dalam rakaman hampir 15 minit itu, Tajuddin mempersoalkan jika langkah Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan itu dilakukan pada “waktu yang betul”.

Katanya, beliau membuat ucapan berkenaan pada mesyuarat MKT minggu lepas.

“Saya tak mahu menjadikannya sesuatu yang terbuka kerana itu apa yang saya katakan pada mesyuarat. Seseorang merakam dan mendedahkannya kepada umum. Memandang ia sudah didedahkan, saya sahkan ia adalah tulen,” katanya kepada FMT.

Dalam video itu, Tajuddin didengar memberitahu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang beliau menyokongnya selama ini, tetapi “waktu ini, saya merayu untuk berbeza (pendirian)”.



Keputusan perhimpunan agung Umno

Beliau berkata, ini kerana keputusan itu dibuat ketika perhimpunan agung Mac lalu, berbeza dengan apa yang dihadapi sekarang.

Katanya, keputusan itu kemudian ditolak DAP, PKR dan Bersatu.

“Mandatnya adalah untuk presiden dan ahli MKT memutuskan tarikh menarik balik sokongan daripada kerajaan.



‘”Kami setuju untuk tarik balik. Siapa yang tak setuju tarik balik? Semua setuju. Ahli MKT Umno setuju, Ahli Parlimen Umno setuju.”

Tetapi, Tajuddin berkata, mereka tidak bersetuju melakukannya “sekarang”.

“Saya yang menyatakan bahawa masanya tidak sesuai,” katanya sambil menambah ada sebahagian yang merasakan masanya tepat (untuk tarik sokongan).

Tidak bersedia untuk PRU



Tajuddin berkata, keputusan perhimpunan agung Umno ialah menarik balik sokongan terhadap kerajaan dan bukan hanya menarik sokongan untuk Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang diumumkan baru-baru ini.

“Sekarang berbeza. Adakah ini difikirkan semula? Ini adalah langkah taktikal kerana menarik diri daripada kerajaan tidak dapat dibuat. Tidak boleh dilaksanakan. Ini memanipulasi keputusan yang dibuat ketika perhimpunan agung Umno.”

Beliau turut memberi amaran Umno tidak bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU).

“Adakah kamu tahu status kawasan pilihan raya kita? Adakah kamu bersedia menghadapi pilihan raya? Saya nak beritahu, kamu perlu lagi setahun untuk mengukuhkan jentera pilihan raya,” kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu.



Katanya, ahli Umno sibuk bercakap mengenai “parti, parti, parti, tetapi kerja tak berjalan”.

Beliau berkata, walaupun Umno menarik sokongan daripada kerajaan, Bersatu mungkin mendapat sokongan daripada DAP, yang “mungkin tidak akan menyertai kerajaan, tetapi akan menyokong, memberi undi kepada perdana menteri”.

Keputusan salah Umno

Tajuddin juga membangkitkan isu krisis ekonomi dan kesihatan.



“Seseorang berkata sebentar tadi, jika kita gagal selepas mengambil alih, ia akan lebih teruk,” katanya sambil menambah banyak keputusan salah sudah dibuat.

Beliau memberi contoh menyertai Perikatan Nasional adalah satu kesilapan dan “Muafakat Nasional yang ditubuhkan (bersama PAS) tidak dipupuk sebaiknya. Itu satu kesilapan. Kita mahu bekerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim – itu juga satu kesilapan”.

Katanya, beliau tidak akan mengikut arahan parti secara membuta tuli lagi dan mendesak Umno menunggu “masa sesuai” menarik sokongan daripada kerajaan.

Beliau berkata, kebanyakan ahli MKT tidak mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri.

“Adakah kita patut mengabaikan ucapan daripada ketua Umno bahagian. Mereka gembira. Kita tak gembira.”

Katanya, kerajaan semasa bukan milik Muhyiddin, tetapi Ismail yang berpeluang menunjukkan Umno bekerja untuk rakyat.

Beliau juga meminta parti bersabar untuk enam bulan lagi atau lebih untuk PRU dilaksanakan dan memenanginya dengan mengukuhkan jentera pilihan raya terlebih dulu. FMT

Sekarang bukan masa tarik balik sokongan – Tajuddin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kita mahu PM yang menyakinkan, bukan beli katak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker