Bersatu Nafikan Tarik Sokongan Pada Kerajaan Johor

Bersatu Nafikan Tarik Sokongan Pada Kerajaan Johor. Dakwaan terdapat empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia menarik sokongan terhadap kerajaan negeri adalah tidak benar.

Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam berkata, dakwaan tersebut hanyalah pandangan peribadi ADUN Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh.

Malah katanya, beliau turut dihubungi oleh beberapa nama yang dikaitkan untuk menarik sokongan itu yang memaklumkan mereka tidak tahu menahu soal tersebut.



Beliau selaku bekas Pengerusi Bersatu Johor juga tidak dirujuk oleh individu-individu berkenaan berhubung pendirian mereka untuk menarik sokongan sekiranya UMNO masih mendesak untuk menukar kerajaan di peringkat Pusat.

“Desas-desus mengatakan mengenai ramai ADUN Bersatu tarik diri dari kerajaan campuran PN adalah tidak benar. ADUN yang dikaitkan itu telah menghubungi saya bahawa mereka tidak memberi mandat kepada Che Zakaria untuk memberikan kenyataan yang menimbulkan ketegangan politik di negeri ini.

“Dakwaan ini memberi gambaran kerjasama yang dilakukan ADUN Bersatu dengan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang renggang boleh diperkukuhkan lagi,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas di sini hari ini.

Semalam, Che Zakaria mendakwa empat ADUN Bersatu Johor sedia menarik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri jika UMNO masih mendesak untuk menukar Perdana Menteri dan kerajaan di peringkat Pusat.



Menurut Che Zakaria, beliau merupakan salah seorang daripada empat ADUN berkenaan.

Dalam pada itu, Osman yang juga ADUN Kempas tidak menolak kemungkinan isu tersebut timbul ekoran hubungan kepimpinan Menteri Besar yang renggang dengan pemimpin-pemimpin serta ADUN Bersatu Johor.

“Beberapa tindakan Hasni dilihat membelakangi kepentingan Bersatu sejak akhir-akhir ini termasuk isu pelantikan ketua kampung dan ahli majlis negeri yang hanya mengutamakan pemimpin dalam kalangan UMNO sekali gus meminggirkan parti lain.

“Seharusnya Hasni perlu mewujudkan hubungan harmoni antara setiap parti yang membentuk PN Johor bagi menjaga hubungan baik selain mengelakkan berlakunya ketidakstabilan politik di negeri ini,” katanya.



Kerajaan PN Johor pimpinan Hasni ketika ini mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Bersatu Nafikan Tarik Sokongan Pada Kerajaan Johor


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tok Mat pengarah pilihanraya UMNO ganti Tajuddin



 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker