Musuh Umno suka potong ayat dan reka cerita

Musuh Umno suka potong ayat dan reka cerita

Oleh Abdul Rahman Dahlan

Tular dalam media sosial kononnya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dua malam lepas, saya telah menyatakan Umno akan rugi kalau Covid-19 turun dan ekonomi meningkat. Lalu saya dituduh kononnya saya sanggup memperjudikan keselamatan rakyat demi politik Umno.

Musuh Umno suka potong ayat saya, persembahkan dalam konteks yang salah dan disalahertikan untuk mengelirukan keadaan. Banyak hujah saya yang lain tidak dilaporkan. Biarlah saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskannya.

Mesyuarat MKT baru-baru ini adalah untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan sokongan terhadap perdana menteri atau tidak. Satu keputusan besar yang amat berat untuk diputuskan memandangkan ada banyak pandangan mengenai ‘timing’ atau ‘masa yang sesuai’ untuk berbuat demikian.

Ini mesyuarat politik parti terbesar negara. Ini bukan mesyuarat jawatankuasa kampung atau jawatankuasa koperasi. Sudah tentu MKT akan membincangkan banyak isu besar negara secara terbuka walaupun ada isu yang sensitif, nampak kasar dan berisiko untuk disalahertikan, terutamanya apabila masa yang diberi untuk berhujah agak pendek.

Kami dari awal lagi juga tahu bahawa perbincangan dalam mesyuarat itu mungkin akan ditonton oleh orang lain kerana mesyuarat diadakan secara maya atau online. Ternyata kebimbangan itu benar. Seorang menteri Umno yang bukan ahli MKT telah membantu menularkan tuduhan ini.

Sebagai seorang ahli MKT, saya wajib memberikan pandangan saya secara jujur dan ikhlas dalam mesyuarat walaupun ada risiko ia akan disalahertikan oleh musuh Umno.

Apabila saya bercakap tentang ‘timing’ untuk menarik sokongan kepada perdana menteri ialah sekarang, saya bermaksud Bersatu akan menggunakan taktik untuk ‘mengenakan Umno’ apabila keadaan sudah berpihak kepada mereka. Dalam mesyuarat MKT tersebut saya bagi tiga contoh yang telah berlaku sebelum ini.

Pertama, apabila Umno memberi sokongan kepada Bersatu untuk mengepalai kerajaan awal tahun lepas, Bersatu dengan sengaja memberikan Umno jawatan menteri yang tidak strategik. Umno juga dinafikan jawatan timbalan perdana menteri atau menteri terkanan walaupun Umno adalah rakan komponen parti yang terbesar dan signifikan dalam kerajaan. Kenapa? Kerana niat Bersatu ialah satu sahaja, iaitu melemahkan Umno. Pada mereka lemah Umno, bermakna kuatlah Bersatu. Berjanji manis semasa diperlukan, dikencingkan apabila sudah mencapai tujuan.

Kedua, pilihan raya negeri (PRN) Sabah tahun lepas. Apabila Umno dengan berat hati bersetuju untuk bekerjasama dengan Bersatu (walaupun keputusan itu mendapat tentangan kuat dari akar umbi Umno), ramai calon bebas yang mesra Bersatu ditaja untuk menidakkan kemenangan BN/Umno. Sekali lagi Umno mesti dilemahkan untuk Bersatu menjadi kuat. Berbaik bila rumit dan susah, menikam dari belakang apabila sudah mendapat apa yang dikehendaki.

Berbaik-baik semasa terdesak…

Ketiga, apabila Umno membantu perdana menteri dengan membuat keputusan untuk mengundi menyokong belanjawan pada hujung tahun lepas, Bersatu terus menekan Umno dengan berbagai taktik dan helah politik halus untuk melemahkan Umno setelah bajet diluluskan. Terkini ura-ura untuk mewujudkan perjanjian kerjasama dengan DAP untuk mengekalkan kedudukan mereka adalah hipokrasi tahap tertinggi kerana mereka jugalah yang menuduh kononnya Umno sanggup bekerjasama dengan DAP dan PH untuk meruntuhkan kerajaan sekarang (walaupun tuduhan itu sudah berkali-kali dinafikan oleh mesyuarat MKT). Berbaik-baik semasa terdesak, tetapi akan menekan apabila sudah selamat.

Pada Bersatu, konsep rakan kongsi tidak wujud dalam kamus politik mereka. Bersatu memang pandai bermain politik. Saya tabik.

Dalam konteks inilah saya menyebut tentang timing untuk menarik sokongan kepada perdana menteri. Ada yang berhujah bahawa timing sekarang tidak sesuai kerana Covid-19 masih teruk. Itu pandangan ikhlas dan boleh diterima. Tetapi saya jelaskan bahawa usaha negara kita untuk menangani Covid-19 tidak akan terhenti hanya apabila seorang perdana menteri bertukar, apatah lagi jika perdana menteri baru datangnya daripada jajaran kerajaan sedia ada.

Penjawat awam, jabatan kerajaan, pihak polis akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun ada perubahan perdana menteri. Perkhidmatan awam tidak terhenti kerana sistem perkhidmatan awam diwujudkan sebegitu rupa untuk tetap beroperasi semasa pilihan raya, darurat, krisis dan perang.

Dalam mesyuarat MKT itu, saya juga dengan tegas menyatakan bahawa berjuta rakyat Malaysia sudah bertukar status ekonomi. Yang berstatus M40 telah menjadi B40, yang B40 menjadi miskin, yang miskin jatuh ke kategori miskin tegar. Umno sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib rakyat Malaysia perlu mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan keadaan ekonomi negara yang begitu mencengkam kehidupan rakyat. Usaha dan penat lelah Umno selama puluhan tahun sejak merdeka untuk mewujudkan kelas ekonomi yang baik dan mampan untuk rakyat Malaysia khususnya orang melayu dan bumiputera, hancur dalam sekelip mata.

Saya juga berhujah bagaimana usaha menteri-menteri Umno dalam kabinet untuk menangani Covid-19 ‘disusahkan’ atau ‘undermined’ oleh sesetengah pihak dalam kabinet. Bila menteri Umno tutup pintu depan, orang lain buka pintu belakang.

Berlatarbelakangkan fakta inilah, saya berhujah bahawa tidak mustahil Bersatu tidak akan memberi kredit kepada Umno jika Covid-19 sudah reda. Saya simpati dengan menteri-menteri Umno yang diarah oleh perdana menteri untuk mengurus pandemik Covid-19 ini. Mereka telah dikritik hebat ketika Covid-19 begitu teruk. Kebimbangan saya ialah apabila Covid-19 menjadi reda nanti, kerja menteri-menteri Umno yang bersusah payah ni tidak akan mendapat kredit yang sewajarnya.

‘Saya tidaklah sebodoh yang didakwa oleh Bersatu’

Realitinya, Bersatu telah berkali-kali membuktikan sebelum ini bahawa mereka sanggup mengetepikan sumbangan Umno demi survival atau kelangsungan politiknya bila mereka sudah berasa selamat. Umno akan ‘dirugikan’ oleh Bersatu apabila Covid-19 sedang berleluasa dan ‘dirugikan’ sekali lagi apabila Covid-19 sudah reda.

Saya tidaklah sebodoh yang didakwa oleh Bersatu kononya mahu Covid-19 ini berleluasa supaya Umno mengambil kesempatan politik dalam keadaan pandemik ini. Ramai keluarga dan rakan terdekat saya meninggal dunia kerana Covid-19. Anak saya juga telah dijangkiti Covid-19 dan pengalaman itu amat menakutkan saya dan keluarga. Ramai juga kenalan saya yang berdepan dengan masalah ekonomi dan kewangan yang teruk yang akan memakan masa bertahun-tahun untuk pulih.

Isu besar di sini ialah ‘trust-defisit’ atau keyakinan merudum rakyat kepada kebolehan perdana menteri menangani pandemik Covid-19. Sebagai ketua kerajaan, jika perdana menteri tidak diyakini, apa pun yang beliau buat tidak akan mendapat sokongan rakyat kerana tahap keyakinan rakyat yang amat rendah akan menyebabkan usaha kerajaan tidak berkesan. Inilah antara sebab kenapa kempen menangani Covid-19 ini tidak berjaya.

Saya berharap penjelasan ini dapat memberi konteks yang betul dan tepat mengenai perbincangan saya dalam MKT baru-baru ini. Saya maafkan mereka yang suka memfitnah tapi saya tidak akan lupa.

Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Musuh Umno suka potong ayat dan reka cerita


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

 

 


MP UMNO sokong Muhyiddin tanggung akibatnya nanti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker