Pekerja ‘non essential’ tidak dibenar keluar kawasan

Pekerja ‘non essential’ tidak dibenar keluar kawasan PKPD

KUALA LUMPUR: Pekerja bukan dalam perkhidmatan perlu atau ‘non essential’ tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk ke tempat kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata majikan dikehendaki membenarkan individu terbabit bekerja dari rumah (BDR).

Pada masa sama, katanya, majikan digesa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan khususnya daripada segi kapasiti kehadiran pekerja di pejabat.

“Kementerian menerima banyak aduan daripada pekerja mengatakan diugut majikan untuk hadir bekerja dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja.

“Oleh itu jika pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan kepada kementerian menerusi aplikasi Working for Workers (WFW).

“Selain kategori aduan BDR, aplikasi ini juga mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu buruh.

“Kita sentiasa memberi perhatian terhadap aduan diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil kementerian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saravanan berkata, sebanyak 1,878 aduan diterima menerusi aplikasi WSW membabitkan isu majikan tidak membenarkan pekerja BDR, antara 23 Mei hingga semalam.

Katanya, Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 696 aduan diikuti Kuala Lumpur (505), Johor (196) dan Pulau Pinang (123).

“Dari 1 Jun hingga semalam, sejumlah 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat dan tempat kerja dikeluarkan agensi penguatkuasaan di bawah kementerian seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Dengan pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur bermula 3 Julai, kementerian akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan mengikut akta berkaitan.

“Kita menyeru supaya majikan mematuhi SOP PKPD ditetapkan sebagai langkah bersama bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya. BH

Pekerja ‘non essential’ tidak dibenar keluar kawasan PKPD


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lagi pemimpin PAS kurang senang kempen #BenderaPutih

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker