Langgar SOP, empat kilang dikenakan tindakan

Langgar SOP, empat kilang dikenakan tindakan. Tiga kilang dikenakan kompaun, manakala sebuah lagi diarahkan tutup dalam ops pematuhan di kawasan perindustrian Senawang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kegagalan pekerja memakai pelitup muka, tidak mendaftar masuk ke kilang sama ada menggunakan buku daftar atau MySejahtera.

Katanya, terdapat juga kegagalan pemilik premis menyediakan laluan keluar masuk dengan tiada penjarakan satu meter serta majikan membenarkan had kapasiti melebihi 60 peratus kehadiran pekerja.

“Ops pematuhan SOP kali ini kita memberi fokus kepada kawasan kilang, sebanyak 12 kilang telah diperiksa, dan daripada jumlah itu empat kilang dikenakan kompaun kerana langgar SOP termasuk arahan penutupan selama tujuh hari kerana didapati melakukan kesalahan berulang.

“Kita akan sentiasa melakukan operasi penguatkuasaan pematuhan SOP ini secara berterusan khususnya dalam industri bagi memastikan semua pengusaha mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 di kawasan perindustrian Senawang pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Abd Hamid dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Faid Abd Rashid.

Mohd Said berkata, tindakan kompaun, notis dan arahan penutupan premis diberikan kepada individu serta pemilik premis mengikut kategori dan jenis kesalahan di bawah Peraturan 17, P.U (A) 278/2021, iaitu Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 4) 2021, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ops bersepadu tersebut disertai oleh 80 anggota penguat kuasa termasuk MKN Negeri Sembilan, Majlis Bandaraya Seremban, MITI, Jabatan Kesihatan Negeri, dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, katanya.

Langgar SOP, empat kilang dikenakan tindakan

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Anwar balas kritikan Bront Palarae

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker