Inilah tawaran Allah untuk menjadi kekasihNya
Inilah tawaran Allah untuk menjadi kekasihNya
Inilah tawaran Allah kepada manusia untuk menjadi kekasih Nya. Syaratnya hanya satu iaitu…
“Allah berfirman, pada hari ini orang yang benar (tutur kata dan perbuatannya) itu mendapat manfaat dari (sifat) kebenaran mereka. Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Allah reda kepada mereka, dan mereka reda kepada Nya, itulah keuntungan yang paling besar” Surah al-Maidah ayat 119
Lihat pada ayat yang terakhir, “Allah reda kepada mereka, dan mereka reda kepada Nya, itulah keuntungan yang paling besar.”
Ungkapan itu merupakan satu isyarat yang paling jelas, bahawa untuk memperoleh keuntungan yang paling besar, sama ada di dunia mahupun akhirat, syaratnya dengan mendapatkan reda Allah.
Bagaimana untuk mendapat reda Allah? Mudah sahaja. Apa juga yang berlaku kepada kita, hendaklah kita terima dengan segala ketentuan Nya dan memenuhi setiap perintah Nya serta meninggalkan segala larangan Allah S.W.T.
Hakikatnya terdapat pelbagai definisi yang boleh merungkaikan persoalan berkaitan dengan reda Allah S.W.T. Jika kita melihat pendapat Imam al-Junaid, beliau merungkaikan perkataan reda sebagai meninggalkan ikhtiar atau pilihan.
Manakala menurut al-Haris al-Muhasibi, reda adalah satu bentuk ketenangan hati di bawah perjalanan hukum Allah S.W.T.
Dan menurut Zu al-Nun al-Misri pula, beliau mendefinasikan reda sebagai, rasa gembiranya hati, dengan berlakunya qada’ dari Allah S.W.T.
Terima dengan senang hati
Kita boleh simpulkan di sini bahawa, reda adalah menerima dengan rasa senang hati segala apa yang diberikan Allah baik berupa peraturan (hukum), mahupun qada’ atau sesuatu ketentuan daripada Allah.
Reda itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu, reda menerima peraturan (hukum) Allah yang dibebankan kepada kita, dan reda menerima ketentuan Allah berkaitan dengan nasib yang melingkari kehidupan kita.
Menerima hukum Allah itu adalah tunduk dan patuh dengan berlapang dada serta gembira menerima syariat yang digariskan Allah S.W.T. serta Rasul Nya sebagaimana firman Allah dalam surah at-Taubah: 59
“Dan alangkah baiknya jika mereka reda dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata, “Cukuplah Allah bagi kami. Dia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya. Sesungguhnya pada Allah kami menuju.”
Manakala reda dengan qada’ pula ialah, menerima secara terbuka segala ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah baik berupa nikmat atau musibah. Hadis Nabi s.a.w,
“Dan jika sesuatu kesusahan mengenai mu, janganlah engkau berkata, jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan, Allah telah mentakdirkan dan apa yang Dia suka perbuat. Kerana sesungguhnya perkataan, (andai kata) itu memberi peluang pada syaitan.” HR Muslim
Diriwayatkan Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada sekelompok orang, “Siapa sesungguhnya kamu?”
Mereka menjawab, “Orang-orang yang beriman.”
Baginda s.a.w. bertanya lagi, “Apa tanda keimanan kamu?”
Mereka menjawab, “Kami bersabar ketika sedang menghadapi cubaan, kami bersyukur dalam kesenangan, dan kami reda menerima keputusan takdir.”
Baginda berkata, “Demi Tuhan Kaabah ini, mereka benar-benar telah beriman.” Riwayat ini ada diceritakan dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali.
Oleh yang demikian, sesungguhnya sifat reda adalah pintu gerbang, menuju kepada Allah S.W.T.
Sesiapa yang menemui jalan menuju ke sana, itu adalah darjat dan kedudukan yang paling tinggi. Inilah syarat yang perlu dipenuhi oleh setiap orang Islam, yang ingin menjadi kekasih Allah S.W.T. Wallahu a’lam. Utv
Inilah tawaran Allah untuk menjadi kekasihNya
Baca Artikel Menarik :
- Mustapa makan di cafe, langgar sop
- Kerajaan jagalah rakyat, mereka kini menangis
- Recall system’ beri mandat kepada pengundi
- Jamal Abdillah Dipanggil Polis, Sertai Majlis Sosial Di Ladang
- Resepi Pecel Sayur & Tips Kuah Pecel Tahan Berbulan
- Resepi Sup Ekor Thai Power
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.