Muhyiddin Berdepan Dengan Undi Tidak Percaya?
Muhyiddin Berdepan Dengan Undi Tidak Percaya? SELEPAS selesai sesi perbincangan khas antara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu pada Rabu lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan, sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang, PROFESOR MADYA DATUK DR. WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN merungkai beberapa persoalan dan polemik berhubung perkara itu.
UTUSAN: Terdapat ulasan sarjana dan tokoh masyarakat yang seolah-olah mempertikai dan meremehkan titah YDPA. Komen?
WAN AHMAD FAUZI: Tafsiran yang meremehkan kuasa dan titah YDPA berlaku kerana kaedah yang mereka gunakan tidak berlandaskan falsafah Perlembagaan Persekutuan yang bersifat watan Malaysia.
Umumnya, sistem politik negara dipopularkan sebagai raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, sebaliknya Datuk mengetengahkan frasa ‘kedaulatan raja-raja dan ‘keluhuran perlembagaan.’ Apa legitimasi kepada frasa tersebut?
Pada hakikatnya, Malaysia ialah sebuah Persekutuan yang mendukung prinsip kedaulatan raja-raja dan keluhuran perlembagaan. Kedudukan itu termaktub dalam Perkara 181(1) dan Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan. Istilah raja berperlembagaan tidak semestinya membataskan kuasa seorang raja, sebaliknya menunjukkan bagaimana sebuah pemerintahan perlu berfungsi kerana apabila ada kerajaan maka sekali gus ada Perlembagaan. Perlembagaan itu menunjukkan identiti diri sebuah kerajaan dan bagaimana sistem berkaitan sepatutnya beroperasi. Dalam konteks Malaysia, pentafsiran kuasa YDPA yang mewakili raja-raja Melayu untuk memerintah tidak boleh diabaikan undang-undang sedia ada termasuklah adat Melayu kerana prinsip itu dilindungi oleh Perkara 181(1) dan Perkara 162.
Bagaimana dengan demokrasi berparlimen, bukankah itu prinsip pemerintahan utama di negara kita?
Masih ramai sarjana yang terkhilaf apabila menganggap demokrasi berparlimen sebagai prinsip kedaulatan negara sekali gus mengagungkan amalan Westminster sebagai rujukan utama. Sistem demokrasi berparlimen di Malaysia tidak mutlak serta hanya dilaksanakan dalam kerangka undang-undang yang tertakluk pada sekatan-sekatan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kedudukan sistem demokrasi berparlimen kita berbeza dengan amalan Westminster di England walaupun sebahagian bentuknya diguna pakai di sini. Perlembagaan Persekutuan hanya mengandungi beberapa struktur yang menyerupai sistem Westminster tetapi dari sudut pemakaian prinsip kedaulatan adalah berbeza sama sekali.
Di sisi Perlembagaan Persekutuan, YDPA sebagai Ketua Pemerintahan Persekutuan mewakili Majlis Raja-Raja bertanggungjawab untuk memelihara ketinggian Perlembagaan Persekutuan berdasarkan prinsip kedaulatan yang tersimpul dalam Sumpah YDPA.
Apa kepentingan sumpah itu?
Sumpah YDPA meletakkan kewajipan buat Seri Paduka untuk memelihara agama Islam, melaksanakan pemerintahan yang adil, menjamin keamanan dalam Persekutuan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimana Datuk kaitkan sumpah itu dengan kenyataan Istana Negara pada 16 Jun lalu?
Dalam konteks ini, pandangan YDPA perlu dihormati oleh semua pihak kerana objektifnya untuk mengembalikan amalan semak dan imbang yang terjumlah dalam inti pati prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, pandangan itu bukanlah hanya hasrat YDPA tetapi adalah bersifat nasihat kerana objektifnya merupakan salah satu kewajipan di sisi perlembagaan.
Seri Paduka boleh menggunakan kuasa prerogatif, misalnya untuk menggantung Perkara 40(1) jika keengganan jemaah menteri mendengar nasihat Seri Paduka itu boleh memprejudiskan kewajipan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimana Perkara 40(1) boleh digantung?
Penggantungan Perkara 40(1) boleh berlaku melalui penggubalan Ordinan Darurat. Darurat ialah satu keadaan yang memberikan sumber kuasa kepada YDPA di bawah Perkara 150 untuk melaksanakan kuasa prerogatif di luar amalan biasa.
Penggantungan Perkara 40(1) boleh dijadikan langkah interim untuk membolehkan Parlimen kembali bersidang dalam tempoh secepat mungkin selaras semangat Perkara 150(9) dan titah YDPA.
Adakah nasihat YDPA itu masih perlu dikaji kewajarannya?
Nasihat yang dititahkan Seri Paduka untuk dipanggil sidang Parlimen ialah hasil respons daripada pelbagai pihak yang telah menyampaikan taklimat kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu. Oleh demikian, tidak wajar perkataan ‘secepat mungkin’ ditakwilkan dengan maksud masih ada keperluan untuk menimbangkan faktor-faktor seperti keadaan penularan wabak, prosedur Parlimen dan sebagainya yang sudah pun dalam makluman Seri Paduka.
Untuk mengelakkan respons kerajaan disalaherti oleh rakyat, ada baiknya pentafsiran ‘secepat mungkin’ tidak dibahaskan di media sebaliknya Perdana Menteri (PM) menghadap YDPA untuk menentukan tarikh secepat mungkin untuk memanggil sidang Parlimen seperti nasihat Seri Paduka.
Sebagai pelaksana fungsi kuasa YDPA di bawah Perkara 39, PM dan jemaah menteri perlulah menghormati hasrat dan nasihat pemilik kuasa eksekutif Persekutuan iaitu YDPA kerana kuasa itu merupakan satu amanah besar yang dipertanggungjawab di bawah Sumpah YDPA.
Kuasa YDPA untuk menyampaikan nasihat kepada PM dan jemaah menteri merupakan prerogatif raja-raja berlandaskan prinsip syura yang diwarisi daripada sistem politik tradisional Melayu sebelum merdeka.
Dari sisi sama, Parlimen merupakan majlis syura bagi YDPA untuk membereskan perkara-perkara yang jatuh di bawah pertimbangan dan bidang kuasanya.
Selain menggantung Perkara 40(1), adakah YDPA mempunyai pilihan lain untuk mengembalikan kestabilan politik di dalam negara?
Tidak dapat dinafikan penangguhan sidang Parlimen dikaitkan dengan dakwaan PM tidak lagi mempunyai undi kepercayaan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Justeru, untuk berlaku adil dan tidak hanya bergantung pada surat akuan bersumpah, YDPA boleh menitahkan ultimatum kepada PM, sama ada sidang Parlimen diadakan untuk menguji undi kepercayaan dalam tempoh tertentu, atau Seri Paduka memutuskan isu kepercayaan di luar Dewan Rakyat mengikut kaedah yang Seri Paduka perkenan.
Dalam erti kata lain, kegagalan PM menasihati YDPA tarikh secepat mungkin untuk memanggil sidang Parlimen, membolehkan Seri Paduka menimbangkan Perkara 43(4), sama ada PM dan jemaah menteri perlu meletakkan jawatan, atau atas permintaan PM, YDPA membubarkan Parlimen.
Jika ini berlaku dan Parlimen dibubarkan, YDPA berkuasa melantik jemaah menteri interim di bawah Perkara 43(2)(b) sehingga pilihan raya umum (PRU) selesai dilaksanakan.
PRU perlu dilaksanakan selewat-lewatnya 1 April 2022 jika tempoh darurat tidak dilanjutkan, dan Seksyen 12(5) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Khas) 2021 tidak terlebih dahulu dibatalkan.
Ini kerana menurut Perkara 150(7), apa-apa ordinan yang dimasyhurkan menurut suatu proklamasi darurat hendaklah terhenti berkuat kuasa apabila habis tempoh enam bulan bermula tarikh tamat proklamasi darurat itu.
Nasihat Datuk?
Kesempitan hidup dan ancaman kepada kesihatan rakyat perlu menjadi fokus jemaah menteri dan ahli Parlimen. Persidangan Parlimen perlu dimanfaatkan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat serta memberi penekanan kepada perkara-perkara yang dibutirkan dalam Kenyataan Media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos ini, ahli Parlimen diharapkan untuk mengelakkan keadaan-keadaan yang boleh mensia-siakan baki tempoh darurat. Gunakanlah masa yang ada ini sebaik-baiknya.
Muhyiddin Berdepan Dengan Undi Tidak Percaya?
Baca Artikel Menarik :
- SPRM tahan eksekutif sebuah pasar raya
- Lekas daftar ambil vaksin COVID-19 – Azizulhasni
- Potong gaji CEO bank, bukan buang pekerja
- Kerana sebungkus bihun, warga emas disamun
- ISU STAFF DILANGGAR LARI – SHUIB NEKAD TUNTUT KEADILAN
- Resepi udang rangup salut wantan
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.