Umno beri PN tempoh 14 hari, atau…


Umno beri PN tempoh 14 hari, atau…

Empat belas hari – itu tempoh yang diberikan Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional memulakan langkah membuka parlimen seperti yang diisyaratkan Raja-raja Melayu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kegagalan berbuat demikian akan mendorong parti berkenaan mengadakan mesyuarat khas majlis tertinggi bagi mencari tindakan sewajarnya.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Ahmad Zahid berkata kegagalan kerajaan PN melaksanakan titah Raja-raja Melayu adalah perbuatan menderhaka serta tidak menghormati institusi istana.

“Umno berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja pemerintah agar memanggil sidang parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut bekas timbalan perdana menteri itu lagi, sebagai parti yang diasaskan untuk memelihara dan membela institusi Raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno, satu mesyuarat khas majlis tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya jika PN gagal berbuat demikian.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas apakah langkah lanjut yang akan diambil, panggilan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno boleh ditafsir sebagai permulaan langkah parti itu membuat tindakan drastik termasuk menarik diri daripada kerajaan.

Perlu kerajaan yang stabil

Keputusan untuk ahli parlimen Umno meninggalkan kerajaan sudah dibuat dan diputuskan dalam perhimpunan agung parti itu akhir Mac lalu.

Dalam perhimpunan tahunan Umno itu perwakilan bersetuju memberikan mandat kepada presiden dan ahli majlis tertinggi untuk menentukan sendiri bilakah tarikh mereka akan meninggalkan kerajaan.

Langkah itu sekali gus akan menjatuhkan PN yang kini terpaksa bergantung kepada sokongan ahli parlimen Umno untuk mendapat majoriti di parlimen.

Asalnya di sebalik tiada tarikh khusus disebut Umno memberi bayangan langkah berkenaan akan dibuat pada Ogos.

Namun beberapa perkembangan terbaru mengubah situas semasa. Misalnya penzahiran pandangan Agong berkenaan perlunya parlimen dibuka “secepat mungkin”.

Antara lain Agong berkata pada 16 Jun lalu, langkah itu membolehkan ordinan-ordinan darurat dibahaskan.

Pendirian Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah itu kemudian disokong Majlis Raja-raja yang mengeluarkan kenyataan berasingan tidak lama kemudian.

Majlis Raja-raja juga menegaskan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos, selain menekankan perlunya Malaysia ditadbir oleh sebuah kerajaan stabil dan mendapat sokongan majoriti rakyat.

Mengulas pandangan Istana Negara itu, pada hari sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan menyatakan, Agong tidak pun menyatakan tarikh khusus bilakah parlimen wajar bersidang.

Pada masa sama kerajaan PN setakat ini ditafsir sebagai masih keberatan untuk membuka parlimen.

Ahmad Zahid berkata Umno menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkenaan pembukaan parlimen.

Katanya Umno berpendirian sidang parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan semasa menghadapi Covid-19.

Parlimen juga kata Ahmad Zahid boleh memastikan wujudnya akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.

“Justeru tidak perlulah berdolak-dalik lagi mengenai maksud istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media berkenaan,” katanya. Mk

Umno beri PN tempoh 14 hari, atau…


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Parlimen perlu bersidang secepat mungkin – Agong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker