Sidang Parlimen, Kuasa pada Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa mene­tapkan bila persidangan Parlimen diadakan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, keputusan itu tidak boleh dipersoalkan kerana Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 secara jelas menyatakan kuasa yang dimiliki Seri Paduka.

Beliau berkata, tidak timbul isu sama ada perlu ikut atau tidak akan nasihat kerajaan kerana punca kuasa terletak kepada Seri Paduka ketika darurat.

“Mahkamah sendiri pun tiada bidang kuasa untuk mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Agong.

“Ini kerana Agong sudah menimbangkan perkara ini secara mendalam dalam semua sudut dan terpulanglah kepada kerajaan sama ada menghormati pandangan baginda,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Klausa 14 (1) (b) Persidangan Darurat, Ordinan Darurat memperuntukkan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka.

Bagaimanapun, Abu Talib berharap tidak berlaku sebarang krisis antara pihak istana dengan kerajaan walaupun kedua-dua pihak sudah mempertimbangkan semua aspek kewajaran Parlimen bersidang demi kepentingan negara dan rakyat.

Dalam Perbicangan Khas bersama Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Jun lalu, Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu yang bersidang telah menzahirkan titah supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Bagaima­na­pun, sehingga kini, masih tiada sebarang petunjuk jelas berhubung tarikh sebenar pembukaan Parlimen yang tergantung sejak Januari lalu, malah Jabatan Perdana Menteri belum menyatakan pendirian muktamad mengenai perkara itu.

Senada dengan beliau, Pre­siden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir berkata, dalam keadaan biasa Seri Paduka sememangnya bertindak atas nasihat Perdana Menteri dalam memasyhurkan dan membuka Parlimen.

“Jika rujuk dalam Ordinan Darurat sudah cukup memberikan kuasa sepenuhnya untuk Agong sama ada memanggil, menggantung atau membubarkan Parlimen tanpa mengikut nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi pula berkata, sekiranya kerajaan tidak menerima titah dizahirkan Seri Paduka bagi mempercepatkan sidang Parlimen, ini sekali gus meletakkan negara terjerumus dalam krisis Perlembagaan.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus mempertahankan tindakan bahawa Agong perlu mendapat nasihat terlebih dahulu seperti yang diperuntukkan Perkara 40 (1) Perlembagaan.

“Saya berpendapat tiada keperluan semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja tersebut semasa berbincang harus berbalik kepada isu mendengar nasihat Perdana Menteri sedangkan dalam Ordinan Darurat sendiri sudah memberi kuasa penuh untuk memanggil sidang Parlimen.

“Oleh itu, Agong tidak lagi terikat dengan ‘nasihat’ Perdana Menteri kerana Ordinan Darurat ini diperkasakan oleh Perlembagaan Persekutuan selama mana mana darurat itu berkuat kuasa.

“Seri Paduka juga perlu mengambil tindakan drastik dengan memberi tempoh sesegera mungkin kepada kerajaan atau mengarahkan Speaker Dewan mengadakan sidang Parlimen,” katanya. – UTUSAN

Sidang Parlimen, Kuasa pada Agong


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

Treler rempuh kereta, kedai, seorang dikhuatiri maut


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker