Penjual durian bukit tak menang tangan

Sebaran :


Penjual durian bukit tak menang tangan

SEREMBAN: Kira-kira dua ming­gu lalu, sepanjang Jalan Labu-Gadong dekat sini dipenuhi deretan penjual-penjual durian, tidak kira gerai mahupun jualan dengan hanya menggunakan kenderaan.

Ini kerana musim durian bukit mula tiba dan Kampung Orang Asli Tekir Mentera dekat Labu juga mulai menjadi tumpuan peraih-peraih durian termasuk dalam kalangan penduduk setempat.

Tok Batin kampung tersebut, Ramli Taka, 68, berkata, sejak dua minggu lalu penduduk kampung tidak menang tangan memenuhi permintaan luar biasa terutama dari penduduk sekitar yang mencari raja buah itu.

“Sejak dua minggu lalu, kami sudah mula sibuk dengan keha­diran peraih luar yang membeli durian bukit yang mempunyai permintaan tinggi dalam kala­ngan penduduk setempat.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat tidak sangat mengganggu jualan musim durian kali ini, setiap hari ada sahaja peraih yang datang dan mereka sudah membuat tempahan awal termasuk membayar wang deposit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kampung tersebut di sini semalam.

Menurutnya, durian dari dusun seluas 12 hektar di lereng-lereng bukit dari Kampung Tekir, Labu sehingga ke sempadan Mantin dekat sini mula gugur sejak dua minggu lalu.

“Durian bukit ini rasanya berlemak susu, ada rasa pedas dan pahit namun lebih sedap berbanding durian lain. Jadi ramai yang mencari durian bukit ini apabila tiba musimnya.

“Penduduk kampung mampu meraih pendapatan sehingga RM100 sehari mengikut keluasan dan pendapatan itu berbaloi kerana mereka terpaksa memikul buah durian itu melalui lereng-lereng bukit,” katanya yang memberitahu peraih akan menawarkan harga sehingga RM7 sekilogram untuk durian bukit ini.

Ramli menjelaskan, dalam tempoh PKP ini pihaknya juga mengambil langkah dengan memastikan golongan peraih dan orang luar dari kampung itu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) jika ingin memasuki kampung berkenaan.

“Musim durian bukit ini adalah PKP kedua. Jadi, saya sudah memaklumkan kepada semua peraih atau orang luar yang ingin memasuki kampung ini perlu menjaga peraturan termasuk mengamalkan SOP yang ketat.

“Saya risau sekiranya mereka datang membawa virus Covid-­19. Kalau ikutkan sekiranya tidak ada PKP kami akan menjual sendiri buah durian ini namun disebabkan PKP penduduk kampung tidak mahu keluar,” katanya.

Sementara itu seorang pencari durian, Abd. Hadi Abdullah, 55, berkata, dia terpaksa keluar seawal pukul 4 pagi dan perlu berhati-hati untuk berjalan di lereng-lereng bukit.

“Seawal 4 pagi saya sudah keluar mencari rezeki lebih-lebih lagi buah durian ini ada yang gugur pada waktu malam dan pagi. Jadi, saya perlu keluar awal untuk mengambil durian ini untuk mengelakkan ia rosak dimakan monyet,” katanya. Utusan

Penjual durian bukit tak menang tangan


Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kemunculan durian Tupai King


Sebaran :

Leave a Reply