Pemuda UMNO mahu kerajaan segerakan sidang Parlimen


Pemuda UMNO mahu kerajaan segerakan sidang Parlimen

Pemuda Umno akan mendesak kepimpinan tertinggi parti itu untuk membuat keputusan tegas jika kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin gagal mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kegagalan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong itu boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan.

Justeru, pihaknya mendesak Putrajaya mengeluarkan notis panggilan segera bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum darurat tamat pada 1 Ogos bagi mentaati titah pandangan Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Pemuda (Umno) amat terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalih dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Bagi Pemuda Umno, sidang Parlimen ini amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang dalam keresahan di kala pandemik Covid-19 dapat dibahaskan dan diangkat secara rasmi oleh wakil mereka yang dipilih melalui sistem demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, sayap Umno itu menyokong penuh titah Agong dan Majlis Raja-Raja agar Parlimen dapat bersidang secepat mungkin bagi membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani Covid-19.

“Sewajarnya istilah ‘secepat mungkin’ yang digunakan Baginda amat jelas memberikan indikasi untuk Parlimen dibuka segera.

“Ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan sokongan Majlis Raja-Raja yang turut senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang,” katanya.

Rabu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pandangan baginda berhubung persidangan Parlimen tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.

“Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin,” katanya.

Kenyataan terbuka itu menerima kritikan pelbagai pihak dengan menganggap menteri PAS itu menderhaka kepada Sultan Abdullah.

Semalam, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan menerima laporan terhadap Takiyuddin yang merujuk kepada kenyataannya itu dan berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pemuda Umno amat terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalih dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Pemuda UMNO mahu kerajaan segerakan sidang Parlimen


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Euro2020: Bintang Ukraine ejek Ronaldo, Pogba

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker