Pilih pemimpin tanpa babit kepentingan peribadi, fahaman politik, Ku Li beritahu Raja Melayu



Pilih pemimpin tanpa babit kepentingan peribadi, fahaman politik, Ku Li beritahu Raja Melayu

Raja-raja Melayu bertanggungjawab memilih seorang pemimpin yang mempunyai keupayaan dan kefahaman mendalam untuk membawa negara keluar daripada krisis Covid-19 tanpa membabitkan kepentingan peribadi mahupun fahaman politik, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam kenyataan malam tadi berkata, negara sedang menghadapi “krisis bertubi-tubi” yang tidak pernah berlaku, khasnya dari segi kesihatan dan ekonomi.

“Kita ada dua pilihan, sama ada hadapinya dan selesai semua masalah atau menempuhi kegagalan. Lipatan sejarah banyak merakam kegagalan kepimpinan. Kita tidak harus memberi ruang kepada kegagalan.



“Kini perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat mengenai keadaan semasa semakin tebal walaupun ia tidak disuarakan oleh mereka. Gelombang sepi ini mencerminkan kehilangan keyakinan oleh rakyat terhadap pemimpin mereka. Kita tidak harus membenarkan keadaan ini membiak.”

Ku Li berkata, kepimpinan negara semasa memainkan peranan penting untuk membawa perubahan terhadap cara hidup rakyat dan masa depan.

“Sesungguhnya kita berada di dalam keadaan serba salah. Persoalan yang timbul adalah apakah negara ini dapat meneruskan kedudukannya seperti mana keadaan terdahulu.

“Kepimpinan seperti yang terdapat pada masa lampau kini tidak relevan lagi. Ia tidak dapat menangani pelbagai masalah berkaitan ekonomi yang dihadapi serentak, termasuklah masalah pengangguran tinggi dan kehilangan pendapatan.”



Beliau berkata, rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang miskin kini dalam keadaan terdesak dan kecewa.

Justeru katanya, Raja-raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan Perlembagaan yang dianggap penting ketika negara dalam keadaan genting selaras sumpah jawatan Agong di hadapan Raja-raja yang memilih baginda mewakili mereka.

“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.

“Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang.



“Perlembagaan dan institusi negara tidak terbentuk untuk menghadapi keadaan yang sedang melanda kita. Sama ada institusi kenegaraan kita dapat menangani keadaan ini adalah suatu keraguan kerana mutu kepimpinan pada masa kini menjadi tanda tanya.”

Perbincangan Khas Raja-raja Melayu akan berlangsung pada 2.30 petang ini dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka mengemukakan pandangan pemimpin parti politik mengenai pelbagai isu semasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, pandangan tersebut disuarakan selepas Agong berkenan menerima menghadap 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara sejak Rabu lalu hingga semalam.

Sementara itu Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li berkata, terdapat tiga “kekurangan” Dewan Rakyat yang ditauliahkan Perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih perdana menteri daripada kalangan wakil rakyat.



“Ia tidak berfungsi secara menyeluruh kerana sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan. Juga terdapat ahli yang tidak menepati peruntukan Perlembagaan berkaitan pemilihan mereka dan ini merupakan penipuan terhadap Perlembagaan.”

Katanya, tiada peruntukan di dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah itu. FMT


Layari Laman Facebook MYKMU NET




Kenapa sidang media Ku Li dibatalkan?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker