MARii sediakan platform digital bantu PKS

MARii sediakan platform digital bantu PKS

KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menyediakan platform MARii Enterprise Resource Planning (MARii ERP) bagi memacu pendigitalan operasi perniagaan di dalam negara khususnya dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MARii, Datuk Madani Sahari, berkata sistem MARii ERP yang dibangunkan institutnya, dapat mengautomasikan proses pentadbiran manual melalui pendigitalan simpanan rekod, pemusatan maklumat dan menyatukan pesanan jualan sehingga penghantaran dalam satu sistem yang dapat diakses serta digunakan pelbagai fungsi dalam operasi perusahaan.

“Sebagai contoh, pengilang dapat menggunakan sistem MARii ERP untuk membolehkan pasukan jualan menyatukan data jualan, yang diguna pakai oleh bahagian pengilangan dalam merancang operasi, inventori dan logistik, dan akhirnya direkodkan oleh jabatan kewangan secara real-time.

“Paling penting, sistem MARii ERP membolehkan perniagaan mengoptimumkan penggunaan sumber bagi memastikan tenaga kerja, infrastruktur dan peralatan digunakan untuk menambah nilai kepada operasi dan tidak dibazirkan kepada aktiviti tanpa nilai yang kini dapat dielakkan melalui digitalisasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MARii ERP adalah platform dalam talian bagi syarikat yang menguruskan fungsi utama perniagaan di bawah satu platform termasuk pengilangan, jualan dan logistik, pengurusan stok dan inventori, perolehan dan perakaunan.

Mengulas lanjut, Madani menjelaskan bahawa wabak COVID-19 telah mengakibatkan gangguan kepada ekonomi, terutama apabila negara perlu memilih antara nyawa dengan kehidupan semasa menguruskan pandemik itu.

“Walaupun sesetengah operasi perlu dilakukan di premis perniagaan, banyak PKS mengalami kesukaran melaksanakan kerja dari rumah kerana kekurangan sumber dalam mendigitalisasikan operasi yang sepatutnya dapat dibuat secara dalam talian.

“Sistem MARii ERP mewujudkan suatu persekitaran operasi perniagaan berdasarkan data dan yang paling penting, tidak dikekang oleh lokasi dan kawalan pergerakan selagi terdapat sambungan ke Internet, selaras dengan usaha kerajaan ke arah pendigitalan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Madani berkata, syarikat yang berminat memulakan pendigitalan operasi juga boleh mengikuti pelbagai program anjuran MARii bagi meningkatkan kebolehan dan keupayaan operasi mereka, selain memanfaatkan sistem MARii ERP sepenuhnya sebagai platform pusat bagi transformasi digital syarikat.

“Antara program ini ialah Technopreneur Development Programme (TDP), MARii Lean Production System (LPS), MARii Industry4WRD Technology Platform (MITP), CEO/Owner Growth Mindset Programme (COGMP) dan banyak lagi.

“Melalui ekosistem program MARii yang dipacu melalui sistem MARii ERP, MARii dapat menyesuaikan sistem dan menugaskan pakar kepada syarikat, yang akan mengkaji dan mengenal pasti proses-proses manual yang boleh melalui proses pendigitalan,” katanya.

Madani berkata sistem itu ditawarkan pada kadar langganan yang mampu milik dan mampu membantu pelbagai syarikat mencapai pulangan pelaburan dalam beberapa bulan sahaja.

“Bagi yang berminat, boleh berhubung melalui [email protected],” katanya. BERNAMA

MARii sediakan platform digital bantu PKS


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker