Bekalan minyak masak bersubsidi kurang


Minyak masak paket bersubsidi yang dijual dengan harga RM2.50 sekilogram, menjadi rebutan di sini, selepas harga minyak masak botol melonjak naik.

Tinjauan di Plentong dan Tampoi di sini, mendapati beberapa kedai runcit turut kehabisan stok minyak masak paket berikutan bekalannya yang berkurangan.

Namun, beberapa kedai runcit yang lain pula didapati masih mempunyai bekalan minyak masak paket yang baru tiba sejak semalam.

Pekerja kedai runcit, Saiful Nizam Ahmad, 27, berkata bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) yang tidak konsisten menyebabkan ada kawasan yang terputus bekalan itu sejak seminggu lalu.



Katanya, majikannya juga baru menerima bekalan minyak masak paket semalam selepas terputus stok sejak seminggu lalu.

“Minyak masak paket satu kg memang menjadi rebutan sekarang malah ada pembeli menuduh saya menyorok bekalan berkenaan selepas kedai saya terputus bekalan seminggu lalu.

“Alhamdulillah, semalam tiga kotak minyak masak paket baru tiba. Majikan memesan lima kotak namun pembekal menyatakan stok minyak masak paket mendapat permintaan luar biasa sehingga melebihi permintaan.

“Majikan saya terpaksa mengehadkan pembelian dua paket bagi setiap pembeli bagi membolehkan lebih banyak pengguna dapat membelinya.



“Walaupun majikan menyatakan hanya untung lima sen bagi setiap paket, minyak masak paket ini sebenarnya sebagai pelaris kedai kerana pelanggan akan turut membeli barangan lain dan jika tiada stok, pengguna akan pergi ke kedai lain tanpa membeli barangan lain,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di Tampoi, Iskandar Talib, 56, mendakwa sejak seminggu lalu beliau tidak lagi menerima bekalan minyak masak paket walaupun sudah membuat pesanan kepada pembekal.

“Kebiasaannya saya beli sekotak besar minyak masak paket setiap dua hari, namun sejak seminggu lalu bekalan belum lagi dihantar, bila saya minta untuk beli lebih pun pembekal kata tiada.

“Pembekal mendakwa stok tiada selain menyatakan mereka menerima permintaan lebih tinggi dari biasa sejak bulan lalu dan tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi,” katanya.



Sementara itu, pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Fauziah, 46, berkata beliau berharap pihak berkuasa meletakkan harga siling pada minyak masak botol lima kg yang melepasi harga RM33 di pasaran ketika ini.

“Saya kasihan pada keluarga kurang mampu kerana jika minyak masak paket kehabisan, mereka tidak mampu beli minyak masak dalam botol.

“Saya yang bekerja pun rasa terbeban dengan kenaikan mendadak minyak masak botol, bayangkanlah pada keluarga kurang mampu. Sebab itulah, saya elak beli minyak paket walaupun harga minyak botol mahal.

“Namun saya harap pihak berkuasa meletakkan harga siling pada minyak masak botol seperti dilakukan terhadap petrol berikutan mungkin harganya boleh melepasi RM40 selepas ini sekali gus meresahkan pengguna,” katanya. BH



Jangan diam diri saja, Najib beritahu kerajaan berkait isu minyak masak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker