Sebenarnya, bila Parlimen nak sidang semula?


Oleh Mohsin Abdullah

Jujur saya akui, saya buta IT. Tak tahu banyak pasal Internet, alam siber, alam maya, dalam talian dan macam-macam lagi hal teknologi.

Lalu saya kena tanya apa itu “sesi Parlimen secara hibrid”. “Hibrid” itu apa? Saya tanya sebab baru-baru ini tanggal 4 Jun 2021, Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang jaga hal ehwal Parlimen dan undang-undang, dilapor berkata kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Kata Takiyuddin, ia merangkumi aspek prasarana, teknikal, undang-undang, peraturan, dan kewangan. Menurut beliau, ketetapan itu diambil hasil mesyuarat yang disertai beliau dengan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta timbalan masing-masing.

Mesyuarat itu, menurut beliau, pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen hibrid yang berasaskan penyertaan Ahli Parlimen “secara fizikal dan juga secara maya”.

Tetapi bukankah itu yang dilakukan Umno ketika mengadakan perhimpunan agungnya tidak lama dahulu? Ada perwakilan hadir secara fizikal di Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur dan ada yang berhimpun di beberapa lokasi yang disediakan untuk mengambil bahagian secara maya.

Maknanya, kalau cakap mengenai prasarana, ia sudah ada untuk membolehkan penyertaan secara fizikal dan maya sekaligus.

Apatah lagi jika bersidang secara maya atau dalam talian semata-mata. Tanpa penyertaan fizikal. Banyak syarikat, pertubuhan, dan individu sudah dan masih menggunakan kaedah ini untuk bersidang, berseminar, berbincang, belajar, dan mengajar dari premis masing-masing tanpa perlu bertemu secara fizikal.

PKR juga sepatutnya mengadakan kongresnya secara maya sepenuhnya beberapa hari lalu tetapi dihalang Majlis Keselamatan Negara pada saat-saat akhir sehingga menimbulkan sindiran kluster Covid-19 boleh wujud di mesyuarat dalam talian jika Covid-19 penyebab halangan itu. Ini kita cerita di lain hari.

Mesyuarat Takiyuddin bersama Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersama timbalan mereka pun dijalankan secara maya. Ini kata Takiyuddin sendiri.

Oleh itu apa yang “baharunya” konsep hibrid ini? Apa bezanya dengan apa yang dilakukan pada Perhimpunan Agung Umno lalu? Tercari-cari saya akan jawapannya. Puas saya meneliti laporan media mengenai kenyataan Takiyuddin. Namun beliau tidak memberi penjelasan lanjut. Tidak dihuraikan apa itu persidangan Parlimen secara hibrid.

Jika itu memeningkan, turut memeningkan ialah pada hari yang sama Takiyuddin membuat kenyataannya itu (4 Jun) rakannya dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin iaitu Hamzah Zainudin dilapor berkata Parlimen akan hanya bersidang semula selepas negara berjaya mencapai imuniti kelompok terhadap Covid-19.

Sambil menempelak golongan yang mahu Parlimen bersidang semula secepat mungkin, Hamzah berkata jika Parlimen diadakan sebelum imuniti kelompok dicapai, ia akan hanya mencetuskan lebih banyak kluster jangkitan.

Tahun lalu pula Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, dilapor berkata persidangan Parlimen tidak boleh diadakan secara maya kerana proklamasi Yang di-Pertuan Agong memperuntukkan ia perlu berlangsung di bangunan Parlimen.

Katanya, skema undang-undang dalam Perlembagaan berkaitan Dewan Rakyat juga menjurus kepada persidangan secara fizikal. Rujuk laporan media bertarikh 23 Okt 2020 untuk mengetahui apa yang diperkatakan Azhar sepenuhya.

Mungkinkah ini yang menyaksikan cadangan sidang cara hibrid timbul dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk perundangan? Mungkin.

Kita tahu ramai yang mahu Parlimen bersidang semula. Malah Agong pun berpendapat Parlimen boleh bersidang walaupun pada waktu darurat ini. Tidak disebut sidang cara fizikal atau maya. Cuma terpulanglah kepada Perdana Menteri mencadangkan tarikh yang difikir sesuai untuk diperkenan Agong.

Jika Takiyuddin ada memberi sedikit harapan persidangan Parlimen boleh diadakan (secara hibrid, walaupun saya tak tahu apa makna hibrid), Hamzah tidak memberi apa-apa ruang. Tutup rapat sebarang kemungkinan.

Jadi mana satu yang boleh menjadi pegangan kita si rakyat biasa? Kenyataan Takiyuddin atau Hamzah?

Kalau mengikut Takiyuddin, dengan sidang cara hibridnya, “kajian lebih terperinci akan dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri”. Tidak dijelaskan berapa dekat waktu terdekat yang beliau dimaksudkan itu.

Namun bagi bekas perdana menteri Najib Razak ini “satu wayang yang tak bermakna bagi mengurangkan tekanan ke atas kerajaan Perikatan Nasional untuk sambung Parlimen setelah Darurat terbukti gagal segagalnya melawan Covid-19.”

Pandangan yang keras. Lantas beliau pun mencongak dan dihuraikan menerusi hantaran di Facebook sehari setelah Takiyuddin muncul dengan kenyataan hibridnya.

Begini perkiraan Najib: “Katakanlah kerajaan perlu masa 14 hari untuk kaji laksana sidang Parlimen secara ‘hybrid’.

“Katakanlah selepas kaji 14 hari kerajaan bersetuju untuk bersambung Parlimen secara hibrid.

“Namun PM masih perlu beri notis sekurang kurangnya 28 hari sebelum sidang Parlimen boleh dilaksanakan.

“Agong perkenan Darurat hingga 1 Ogos. Hari ini 5 Jun (hari Najib membuat catatan Facebooknya itu) bermakna tinggal 57 hari lagi sehingga Darurat berakhir. Jadi 57 hari tolak 14 hari untuk kaji. Tolak lagi 28 hari untuk tempoh minimum notis PM.

“Maka cuma tinggal 15 hari sebelum Darurat berakhir untuk Parlimen bersidang semula. Tak signifikan ke mana pun kecuali mereka berniat untuk sambung lagi darurat dengan alasan Covid masih belum terkawal.”

Kini tiga hari sudah berlalu sejak Najib membuat kira-kiranya itu. Belum ada perkembangan pelan sidang Parlimen cara hibrid.

Saya tidak dapat elak daripada merenung “kemungkinan” yang Najib katakan itu.

Jika kesimpulan beliau salah, Alhamdulillah. Tetapi bagaimana jika “ramalan” beliau itu tepat? Nauzubillah min zalik. FMT

Jawatankuasa khas teliti konsep, pelaksanaan sidang Parlimen hibrid, kata Rais

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker