Pendigitalan sistem pendidikan perlu disegerakan

Pendigitalan sistem pendidikan perlu disegerakanPendigitalan sistem pendidikan perlu disegerakan

Oleh Prof Datuk Dr Norazah Nordin

SATU hal yang perlu diakui, sistem pendidikan hari ini seharusnya didigitalkan selari dengan perkembangan dunia teknologi komunikasi ditambah pula dengan senario kehidupan semasa yang dihimpit penularan pandemik COVID-19.

Malah hal ini turut disentuh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pendigitalan pendidikan seharusnya perlu disegerakan.

Menurutnya, menyegerakan proses mendigitalkan bidang pendidikan akan memudahkan lagi guru, murid juga ibu bapa berdasarkan situasi semasa. Ia juga harus dibuat dengan menyeluruh merangkumi capaian internet terutamanya di kawasan pedalaman selain penyediaan peranti yang bersesuaian.

Diakui perkembangan teknologi komunikasi mengubah banyak perkara dalam kehidupan sama ada capaian kepada maklumat sehinggalah kaedah kanak-kanak bermain malah dalam konteks hari ini, belajar.

Namun satu hal yang perlu difahami, pembelajaran dalam talian bukan hanya mengenai penggunaan teknologi.

Walaupun capaian internet adalah faktor penting dalam menjayakan pembelajaran dalam talian tetapi mendigitalkan pendidikan itu jauh lebih besar dari istilah ‘belajar dalam talian’.

Dalam menjayakan agenda pendigitalan pendidikan, komponen terpenting adalah guru. Apabila Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, guru tidak banyak pilihan selain memindahkan persekitaran pembelajaran fizikal kepada ruang maya.

Guru juga dituntut untuk menjadi lebih aktif berinovasi, memainkan peranan penting mengaplikasikan pembelajaran dan pengajaran dalam talian demi mencapai objektif pengajaran mereka.

Justeru, guru bukan hanya mengajar tetapi juga mereka bertindak sebagai perancang, pembangun iklim pembelajaran, pembimbing dan menjadi pakar rujuk kepada pelajar untuk mentafsirkan dan melaksanakan kurikulum.

Lalu, tidak harus dinafikan dalam pengajaran dan pembelajaran secara digital menjadi salah satu agenda yang sangat signifikan dalam kalangan pendidik.

Jika disemak semula, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menetapkan akses, kualiti, keadilan, kesatuan dan kecekapan sebagai aspirasi utama untuk sistem pendidikan negara kita.

Dalam mencapainya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memainkan peranan penting untuk melestarikan ekosistem pendidikan selari dengan pelan pembangunan pendidikan itu menerusi platform pendidikan digital.

Sehubungan itu, KPM sebelum ini sudah mengumumkan penyegaran semula platform pembelajaran digitalnya untuk guru dan pelajar melalui DELIMa, atau ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’.

Platform ini adalah puncak usaha KPM semenjak beberapa tahun yang lalu bersama-sama dengan pihak Google, Microsoft dan Apple. Ia menawarkan semua aplikasi dan perkhidmatan yang diperlukan oleh guru dan pelajar dalam sistem persekolahan Malaysia, termasuk teknologi dan sumber yang memperkasa pembelajaran digital seperti Google Classroom, Microsoft 365 dan Apple Teacher Learning Center.

Walaupun platform yang kondusif untuk menjayakan pendigitalan pendidikan sudah dibangunkan, namun guru perlu dilatih dengan sebaik mungkin supaya dapat mengintegrasikan aplikasi pendidikan digital dengan lebih berkesan. Hal ini selari dengan matlamat Pembangunan Kelestarian ke empat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memperjuangkan pendidikan berkualiti dan menyeluruh untuk membangunkan masyarakat yang aman dan lestari.

Sudah terbukti bahawa guru memainkan peranan penting dalam menentukan laluan pembelajaran pelajar mereka. Justeru, guru perlu diberi latihan berbentuk memberi kemahiran baharu (reskilling) dan meningkatkan kemahiran sedia ada (upskilling) bagi menyediakan guru dalam penggunaan media digital yang lebih berkesan.

Ia penting untuk membangunkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan berkesan.

Pelaburan bagi memantapkan kemahiran guru ini sangat kritikal selari dengan tujuan memodenkan amalan pengajaran dan pendigitalan pendidikan.

Ini bagi memastikan semua guru cekap dan kekal relevan dalam ekosistem pendidikan digital. Aspek penting yang perlu ditekankan ialah pedagogi digital, termasuk kewarganegaraan digital, reka bentuk pembelajaran, kepelbagaian dan juga merangkumi pelajar, maklum balas dan penilaian serta pembelajaran sepanjang hayat.

Guru juga diharapkan terus kekal inovatif dalam sesi pengajaran dengan kemahiran penerapan set pedagogi segar yang dirancang untuk konteks pendigitalan pendidikan.

Selain itu, guru perlu diberi kemahiran dalam mengaplikasi alat digital secara berkesan dan strategi pengajaran yang bersesuaian dengan era pendigitalan pendidikan, sama ada di ruang fizikal dan digital.

Malah guru dituntut menjadi lebih kreatif dalam mencetuskan rasa ingin tahu dan kegembiraan dalam kalangan murid bagi menghasilkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. BH

Penulis adalah Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

Pendigitalan sistem pendidikan perlu disegerakan


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Tanda tanya di sebalik TV Pendidikan KPM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker