CUEPACS cadang penjawat awam sumbang RM10, bantu kekang Covid-19


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan semua penjawat awam Gred 54 ke bawah menyumbang sekurang-kurangnya RM10 setiap seorang kepada Tabung Covid-19 yang boleh digunakan untuk mengekang penularan pandemik itu.

Presiden Adnan Mat, berkata bagaimanapun pengecualian itu perlu dibuat kepada petugas kesihatan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan yang terlibat secara aktif di barisan hadapan mengekang penularan Covid-19 sejak tahun lalu.

“Kita sedia maklum pandemik ini mengakibatkan pelbagai golongan terkesan termasuk pasangan penjawat awam yang bekerja di sektor swasta dan berniaga secara kecil-kecilan. Kerajaan juga telah mengeluarkan belanja yang sangat besar bagi mengurangkan lagi kesan ekonomi tersebut kepada rakyat.

“Sumbangan RM10 ini boleh dibuat melalui potongan gaji oleh kerajaan sekiranya dipersetujui kelak. Sekiranya ada dalam kalangan penjawat awam ingin memberi sumbangan yang lebih, ia adalah keputusan masing-masing dan boleh dilaksanakan melalui prosedur diputuskan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menghargai pengorbanan penjawat awam di peringkat Jusa dan Turus kerana bersetuju memotong elaun keraian sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lalu.

Dalam pada itu, CUEPACS mendesak kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua penjawat awam.

Adnan berkata, ia bagi membolehkan kakitangan awam meneruskan peranan menjayakan agenda pemulihan ekonomi rakyat dan negara dengan kembali bekerja di pejabat 100% bagi memudahkan segala proses tugasan berbanding kerja dari rumah.

“Melalui pemberian vaksin ini, sudah tentu tiada masalah untuk penjawat awam melaksanakan tugas mereka seperti biasa di lapangan masing-masing dan tidak perlu lagi BDR (bekerja dari rumah)

“Ia juga mengurangkan risiko jangkitan kepada penjawat awam dan masyarakat kerana kebanyakan tugas penjawat awam adalah memberi perkhidmatan secara langsung kepada rakyat secara bersemuka,” katanya. FMT

SOP ketika lockdown

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker