Bina hospital kecemasan atau nasionalisasikan hospital swasta – Tok Mat


Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mencadangkan kerajaan membina hospital khusus untuk kecemasan dalam menghadapi wabak Covid-19.

Sekiranya perkara itu sukar dilaksanakan, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mencadangkan kerajaan menasionalisasikan beberapa hospital swasta sebagai hospital kerajaan.

“Kerajaan mesti segera mengupayakan sistem kesihatan negara. Jumlah ruang rawatan rapi (ICU) mesti digandakan dengan pantas.

“Field ICU” bukan solusi jangka masa panjang.

“Pembinaan hospital khusus untuk kecemasan nasional wajar dipertimbangkan. Bina dengan segera dan sepantasnya,” katanya dalam catatan di Facebook pada Sabtu.

Menurut Mohamad, hal itu boleh dilakukan dengan menggembeleng keupayaan syarikat pembinaan terbaik negara untuk tugas yang disifatkannya sebagai ‘patriotik’.

“Belajarlah dari China. Sebaik pandemik ini dikesan, perkara pertama mereka lakukan ialah membina hospital dengan pantas.

“Jika itu dirasakan sukar, maka pertimbangkan ‘nasionalisasi’ beberapa hospital swasta atau apa jua faciliti yang boleh dijadikan hospital milikan kerajaan dengan pantas,” katanya.

Ketika permulaan wabak Covid-19 melanda China pada Jan 2020, negara itu membina sebuah hospital baru hanya dalam tempoh 10 hari untuk merawat pesakit.

Hospital itu dilapor mempunyai kapasiti 1,000 katil membabitkan kawasan lebih 270,000 kaki persegi.

Menyifatkan keputusan kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’ sebagai tepat, Mohamad berkata jumlah ICU mesti dipertingkatkan untuk menyelamatkan seramai nyawa.

“Kita tidak mahu wujud keadaan kita memilih siapa yang perlu hidup dan siapa yang tidak. Namun saya terus khuatir dengan kemapanan sistem kesihatan kita.

“Pertama kerana proses vaksinasi kita sangat bergantung kepada pembekalan luar. Plan vaksinasi kita mungkin terbantut kerana perlahannya bekalan.

“Kedua kerana munculnya pelbagai varian baru yang lebih menggila. Kesiapsagaan kita harus mengambilkira ancaman pelbagai varian baru ini. Ancaman luar biasa mememerlukan respon luar biasa,” katanya.

Jelasnya lagi, ramai pihak melihat ‘total lockdown’ akan mengurangkan jumlah jangkitan namun kebolehjangkitan boleh menaik semula jika pembukaan pelbagai sektor ekonomi berlaku.

Justeru Mohamad juga mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan lambakan graduan perubatan sebagai sukaralewan dan mengambil tenaga pakar dari luar negara bagi meringankan bebas barisan hadapan.

“Sukarelawan tanpa latar belakang kesihatan pula boleh melakukan pelbagai kerja pentadbiran dan lapangan.

“Keletihan tenaga hadapan kesihatan adalah nyata.

“Justeru, pengambilan pakar yang telah bersara, pakar ekspat serta kakitangan terlatih dari negara seperti Filipina mesti segera dipertimbangkan jika sumber dalaman adalah terhad,” katanya. Mk

Menteri kena tahu had kuasa, kata Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker