#SavePalestine-Nurani ‘Besi’ Bella Hadid

Sebaran :

MEWARISI kejelitaan dan personaliti menarik terutama di depan lensa kamera daripada ibunya yang juga merupakan bekas model membuatkan Bella Hadid atau nama lengkapnya, Isabella Khair Hadid cukup disegani ramai dalam dunia peragaan.

Namun, tidak ramai sebelum ini tahu bahawa supermodel terkemuka dunia kelahiran Washington, Amerika Syarikat (AS) itu juga sebenarnya berdarah keturunan Palestin daripada bapanya, Mohamed Hadid, manakala ibunya, Yolanda Hadid berketurunan Belanda.

Bella yang diangkat sebagai Model of the Year bagi tahun 2016 dan menjadi wajah signatur jenama Dior turut menjadi pilihan jenama-jenama terkenal seperti Marc Jacobs, Victoria’s Secret, Chanel, Ralph Lauren, Samsung, Calvin Klein dan banyak lagi.



Nama Bella Hadid menjadi hangat baru-baru ini apabila gadis berketinggian 175 sentimeter itu menunjukkan keberaniannya memperjuangkan Palestin bukan sahaja di media sosial bahkan sehingga di jalanan apabila menyertai perarakan di New York, AS.

BELLA membawa sepanduk pembebasan Palestin semasa menyertai satu perarakan di London, Britain pada tahun 2017.

Serangan Israel ke atas Palestin yang berlaku baru-baru ini telah mengundang gadis itu melaungkan perjuangan tulusnya sehingga Israel menerusi akaun Twitter rasminya bertindak mengecam supermodel berusia 24 tahun itu.

Dengan memakai keffiyeh, sejenis selendang tradisional Palestin, Bella bersama ribuan penyokong Palestin berarak sambil melaungkan tanpa gentar kata-kata from the river to the sea, Palestine will be free (dari sungai hingga ke laut, Palestin akhirnya akan bebas)!


“Saya berjuang bersama dengan anda, wahai saudara dan saudari Palestin. Saya akan melindungi dan menyokong anda semua seboleh yang mampu. Saya memahami dan saya menangis demi anda.

“Saya harap saya dapat menghilangkan kesakitan anda. Kesakitan seorang bapa yang tidak dapat memeluk isteri atau anaknya lagi. Kesakitan seorang ibu yang terpaksa menanam anaknya sebelum dia berpeluang melihatnya membesar. Kesakitan seorang anak yang merupakan bakal artis atau doktor yang tidak pernah dapat pendidikan dan perhatian selayaknya,” kata Bella menerusi hantarannya di Instagram.

Perjuangan Bella terhadap Palestin itu mencipta fenomena besar apabila hantaran-hantarannya di media sosial mendapat tanda suka sehingga 10 juta selain hantaran berupa penerangannya mengenai konflik Palestin-Israel dikongsi jutaan orang di seluruh dunia.

Bella turut berkongsi cerita bagaimana datuk dan neneknya terpaksa membawa lapan anak mereka termasuk bapa Bella menjadi pelarian sejak tahun 1948 apabila mereka diusir dari tanah air sendiri. Dari Palestin, mereka menjadi pelarian ke Syria, Lebanon, Tunisia sehinggalah ke AS.

“Saya sayangkan keluarga saya. Saya sayangkan warisan budaya saya. Saya sayang Palestin. Di dalam hati saya, saya tekad akan terus kental untuk berjuang demi harapan pembebasan Palestin,” ujarnya yang merupakan adik kepada Gigi Hadid, seorang lagi supermodel terkenal dunia.

Bella (kanan) bersama ibunya, Yolanda Hadid.

Gigi, 25, turut menyuarakan perkara sama di Instagram dengan mengatakan sokongan itu bukan kerana agama tetapi merupakan isu kemanusiaan. Bagaimanapun, Gigi tidak selantang Bella dalam hal itu.

Bapa Bella, Mohamed, 72, yang merupakan ahli perniagaan hartanah pernah menyatakan bahawa keluarganya telah diusir dari Safad, Palestin oleh keluarga Yahudi yang sebelum itu menumpang di rumahnya sendiri.

Bella dalam wawancara bersama majalah Vogue pada tahun 2017 menyifatkan bapanya seorang yang kuat pegangan agama.

“Menonton berita dan melihat keperitan rakyat Palestin juga membuatkan saya menangis kerana kekejaman berterusan dari generasi ke generasi bagaikan tiada kesudahan. Saya akan berdiri demi Palestin sehingga ia bebas,” ujar Bella sambil mengatakan dirinya bangga beragama Islam.

Serentak dengan kelantangan Bella itu terdapat desas-desus yang Dior akan menamatkan kontrak bersamanya, namun dinafikan Dior selepas itu.

AURA dan keyakinan Bella di pentas peragaan tidak dapat disangkal sesiapapun.

Hakikatnya perjuangan Bella bukan bermula baru-baru ini, bahkan gadis itu menunjukkan istiqamah dalam memperjuangkan pembebasan Palestin apabila turut menyertai perarakan pembebasan Palestin di London, Britain pada tahun 2017.

Pada tahun sama apabila Bella tersenarai di tempat kesembilan sebagai model dengan bayaran paling tinggi di dunia iaitu AS$6 juta (RM24 juta) pada usia 21 tahun.

Bella yang kini memiliki nilai kekayaan sebanyak AS$25 juta (RM103.53 juta) merupakan seorang dermawan dan sudah banyak terlibat dengan kerja-kerja kemanusiaan sejak awal penglibatannya sebagai model.

Bella turut memberi sumbangan kepada Food Bank dan Feeding America untuk misi bantuan Covid-19 serta menyalurkan bantuan kepada pelarian dan kanak-kanak yang berdepan konflik peperangan di Syria, Iraq dan Lebanon.

Dia juga melelong item fesyen edisi terhadnya di rumah semasa lockdown dan 100 peratus daripada hasil tersebut disumbangkan untuk menyokong komuniti kulit hitam menerusi kempen Your Rights Camp.

Selain itu, Bella juga memberi sumbangan dana dan sokongan kepada National Association for the Advancement of Colored People (NAACP).

BELLA (tengah) bersama bapanya, Mohamed (kanan) dan kakaknya, Gigi (kiri).

Menyentuh mengenai penglibatan dalam fesyen, selain Bella dan Gigi, mereka mempunyai seorang adik lelaki, Anwar. Kesemua mereka merupakan model terkenal yang menandatangani kontrak di bawah agensi IMG Models.

Bella memberitahu, dia suka beraksi di hadapan kamera kerana dirinya seorang yang berkeyakinan tinggi.

“Keyakinan diri itu saya dapat hasil daripada kecintaan ibu terhadap sukan berkuda dan kami sering menunggang kuda bersama sejak saya kecil.

“Pada awalnya dunia peragaan ialah minat Gigi dan saya pula bercita-cita menyertai sukan Olimpik bagi acara ekuestrian tetapi semuanya berakhir apabila disahkan menghidap penyakit Lyme pada usia 18 tahun,” terangnya.

Ekoran penyakit itu, Bella tidak lagi dapat menunggang kuda dan dia terpaksa menjual kuda kesayangannya, Lego serta melepaskan impiannya bergelar atlet ekuestrian.

Penyakit Lyme disebabkan jangkitan bakteria yang ditularkan melalui gigitan kutu. Penyakit itu menyebabkan Bella berasa sakit luar biasa pada tulang belakang dan punggung pada masa itu.

Sementara itu, ibu mereka, Yolanda, 57, pula berkata, dia sentiasa memberi sokongan penuh kepada minat anak-anaknya dalam dunia peragaan.

“Saya juga selalu berpesan kepada mereka agar menggunakan platform tersebut dengan sebaik mungkin,” katanya.

Tambah Yolanda lagi, dia sering mengingatkan anak-anaknya agar tidak sekadar bergaya cantik tetapi mereka hendaklah menjadi manusia yang baik dan membuat perubahan kepada dunia.


Sebaran :

Leave a Reply